Manusia tidak akan mampu menjalani kehidupannya tanpa cinta.
Tanpa cinta, kehidupan akan gersang, hati menjadi keras, tubuh menjadi kurus
kering laksana mayat. Memang seharusnya manusia itu hidup dengan perasaan cinta
kasih. Manusia yang kehilangan perasaan cinta, biasanya tubuhnya laksana mayat,
atau menderita depresi dan gangguan kejiwaan atau kesedihan. Kerana dia telah
kehilangan sesuatu yang sepatutnya menjadi pemacu utama dalam satu nilai
kehidupan.
Semakin besar rasa cinta, semakin kencang denyut nadi kehidupan
seseorang. Maknanya, setiap kali cinta seseorang bertambah hebat, cinta itu
akan menambah denyut kehidupan manusia, kehidupannya menjadi lebih baik dan
semakin dipenuhi dengan kasih sayang.
Lantas, apa yang kita cintai?
Ramai manusia yang mencintai harta. Tetapi sedar atau tidak,
harta tersebut akan hancur binasa. Di saat ketika menemui ajal, kita akan
meninggalkan harta-harta kita, dan ianya akan dibahagi-bahagikan setelah kita
mati. Bahkan lebih malang apabila ada orang yang sanggup mati kerana harta.
Ada juga yang mencintai takhta dan kekuasaan! Tetapi sedar
atau tidak bahawa apa yang dimilikinya itu akan lenyap atau minima akan ada orang
lain yang menggantikan dia.
Ada juga yang tergila-gila pada wanita, wanita pula tergila-gila
pada lelaki. Sedar atau tidak itu hanyalah dorongan syahwat. Ia akan hilang,
akan berakhir atau mungkin akan berakhir dengan tragedi. Jika cintanya itu
bukan berbasiskan kerana Allah, ia hanya “rayuan kosong” belaka, dan ia akan
berakhir secara alami, lalu lenyap tidak meninggalkan kesan, atau berakhir
dengan kematian salah satu daripada pecinta, atau akan ranap kerana pengkhianatan.
Semua ikatan itu akan berakhir.







