Showing posts with label iman. Show all posts
Showing posts with label iman. Show all posts

Sunday, 30 October 2022

Aku Tidak Tahu Nabi Mencintaiku atau Tidak

Aku terbaca hadis dalam Musnad Imam Ahmad no. 17113 semalam mengenai saat-saat kewafatan seorang sahabat Nabi Muhammad ﷺ yang mulia, iaitu Saidina Amru bin Al-Ash -radhiAllahu anhu-.


Anaknya Abdullah bin Amru -radhiAllahu anhu- berkata sesuatu ketika melihat keadaan ayahnya;


يَا أَبَا عَبْدِ اللَّهِ مَا هَذَا الْجَزَعُ وَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُدْنِيكَ وَيَسْتَعْمِلُكَ

Wahai Abu Abdullah (iaitu Amru bin Al-Ash), "Keresahan apakah ini? Bukankah Rasulullah ﷺ benar-benar rapat dengan engkau dan baginda juga telah memperkerjakanmu (memanfaatkanmu)?"

Aku terasa sebak dan air mata hampir mengalir ketika membaca dia mengatakan;


 وَلَكِنِّي أَشْهَدُ عَلَى رَجُلَيْنِ أَنَّهُ قَدْ فَارَقَ الدُّنْيَا وَهُوَ يُحِبُّهُمَا ابْنُ سُمَيَّةَ وَابْنُ أُمِّ عَبْدٍإِنِّي وَاللَّهِ مَا أَدْرِي أَحُبًّا ذَلِكَ كَانَ أَمْ تَأَلُّفًا يَتَأَلَّفُنِي

"Sebenarnya aku demi aku tidak tahu (Nabi ﷺ dekat dan memanfaatkankanku) itu dari kecintaan baginda kepadaku atau hanya sekadar toleransi (atau keharmonian) yang diberikan kepadaku? Tetapi aku bersaksi atas dua orang laki-laki, meskipun mereka telah meninggal namun Baginda ﷺ mencintainya; Ibnu Sumayyah (Ammar bin Yassir) dan Ibnu Ummu 'Abd' (Abdullah Ibnu Mas'ud)."


Istanbul, kota bersemadi jasad sahabat Nabi SAW yang sangat mulia, Abu Ayyub al-Ansari


Ya Allah. Begitulah risaunya seorang sahabat yang padahal sempat hidup bersama Rasulullah ﷺ, mungkin sempat ketawa menangis suka dan duka bersama. Sempat berjihad bersama. Bahkan diarahkan oleh Rasulullah ﷺ dengan beberapa pengarahan secara langsung. Sahabat lain juga menjadi saksi kedekatan mereka berdua.


Selepas kewafatan Baginda Nabi ﷺ, Amru Bin Al-Ash malah masih terus 'berfungsi' dan 'difungsikan' untuk Islam sehingga menjadi antara watak utama pembukaan Islam di Shams (Syria, Lubnan, Palestin, dan Jordan) dan Mesir serta sehingga ke Tripoli (di Libya).


Tetapi dia masih ragu-ragu! Ragu-ragu sama ada adakah cinta Nabi ﷺ bersama dengannya atau tidak! 😭 Hidup sedekat zaman dan tempat tetapi masih lagi tidak tahu Nabi cinta padanya atau tidak.


Kita ni jauh pada zaman dan tempat Nabi ﷺ. Belum lagi jika mahu dibandingkan amal dengan sahabat bernama Amru itu. Adakah cinta Nabi untuk kita?


Kita kadang-kadang buat sesuatu kerana kita rasa Nabi SAW akan suka. Tapi benarkah baginda SAW suka?


Ya Allah. Kami terlalu selesa dengan kehidupan kami sehingga kami lupa adakah Engkau dan Nabi-Mu ﷺ sedang mencintai kami atau tidak.

Thursday, 27 October 2011

Iman Perlukan Latihan


Apa khabar iman?

Alhamdulillah. Segala puji kepujian dan kebaikan kita pulangkan kepada Allah SWT, Rabb atau Penjaga sekalian alam. Selawat dan salam untuk semua rasul dan para nabi yang pernah diutus Allah SWT demi kebaikan umat manusia. Tak lupa juga pada Nabi Muhammad SAW yang menjadi qudwah dan uswah kita dalam menjalani kehidupan yang bersifat ujian ini. Juga selawat dan salam untuk mereka yang telah pergi, yang telah mengorbankan hidup mereka demi Islam, hinggalah kita pada hari mampu untuk mengecapi dua nikmat yang terbesar tetapi sering terlupakan, itulah nikmat islam dan iman.

Bila kita berbicara tetang masalah hati, maka ..insya-Allah.. ramai yang akan terkesan. Ramai yang akan mula terdetik untuk melakukan perubahan. Ramai yang mungkin sahaja tersedar daripada lamunan kelekaan duniawi yang menipu, dan mahu kembali kepada kebenaran. Alhamdulillah.

“Ya, aku tahu aku sudah tersilap dan aku mahu berubah. Apa yang harus aku buat sekarang?”

Ya, itulah persoalan yang perlu dijawab dengan benar dan baik. Jika tidak, maka objek dakwah kita yang tadinya bersemangat untuk berubah, mungkin sahaja dia akan kembali hilang, atau menjadi seperti sesuatu yang tidak pernah kita jangkakan.

Ayuh kita perhatikan sebuah analogi mudah. Dalam hadith Rasulullah SAW jelas mengatakan hati setiap daripada kita ini terlahir dalam keadaan yang fitrah, bersih. Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, 

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi sebagaimana seekor hewan melahirkan seekor hewan yang sempurna. Apakah kau melihatnya cacat?” 
[HR. Bukhari] 

Kemudian Abu Hurairah membacakan ayat-ayat suci ini: 

"(Tetaplah atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. (Hukum-hukum) ciptaan Allah tidak dapat diubah. Itulah agama yang benar. Tapi sebagian besar manusia tidak mengetahui." 
[QS Ar-Rum, 30:30]

Maknanya, hati seorang manusia itu tidak kira apa sekalipun latar belakangnya, agamanya, bangsanya, pekerjaannya dan lain-lain. Mereka pada asalnya mempunyai hati yang bersih.

Hati yang bersih ini kita mampu untuk mengumpamakan ia seperti tanah yang pada awalnya subur.

Sunday, 2 October 2011

Mereka yang Berani Berprasangka Baik

Assalamualaikum..

Kehidupan kita semua terlalu abstrak jika mahu dirungkaikan apa sebenarnya yang tersembunyi dalam setiap saat hembusan nafas kita.

Masih jauh, tetapi tidak lama

Musibah.. Nikmat.. Dua perkara yang sentiasa menjadi tema dalam kehidupan kita sehinggalah kematian datang menjemput.

Saya tidak mahu membahaskan mengenai kenapa seseorang itu ditimpa musibah (azab atau ujian). Kenapa pula orang itu mendapat nikmat, bukan aku? Kenapa itu? Kenapa ini? Dan lain-lain.

Insya-Allah, saya lebih tertarik untuk membahaskan mengenai apa sikap yang paling tepat apabila kita menghadapi semua perkara tadi. Baik ianya merupakan nikmat, mahupun musibah.

Contoh, apabila seseorang itu ditimpa musibah, seperti keputusan gagal atau tidak mencapai sasaran. Maka kita akan dapat lihat berbondong-bondong manusia yang pada asalnya dekat dengan masjid, selalu baca Al-Quran, aktif berusrah atau halaqoh, giat dalam melakukan kerja-kerja amal islami mula mencair dan menjauhkan diri. Dengan alasan,

"Benda-benda inilah yang telah merosakkan keputusan aku!"

Ada juga manusia yang pada zahirnya kita dapat lihat dia seolah-olah menerima nikmat. Tetapi, kemudiannya dia semakin jauh dari tanggungjawab dia yang pada asalnya dekat dengan masjid, selalu baca Al-Quran, aktif berusrah atau halaqoh, giat dalam melakukan kerja-kerja amal islami. Contoh, ada sahaja 'mereka' yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi selepas itu membuat keputusan untuk keluar dari kerja-kerja kebaikan tadi kerana beralasan,

"Aku takut nanti sibuk dengan benda-benda ni. Nanti result aku jatuh, susah!"

Jadi sebenarnya, apa yang dia mahukan agar dia tetap bersama Islam? Sedangkan kalau kita perhatikan, Allah akan bertindak begitu kerana Dia mencintai kita. Diberinya ujian yang baik, agar semakin subur iman dan islam di dalam hati kita. Bukan semakin menjauh. Diberinya ujian yang buruk, agar kita semakin membara dan bersemangat dalam mendekatkan diri kepada Allah. Bukan semakin menjauh.

Monday, 22 August 2011

Mencari Cinta di Sepuluh Yang Terakhir

Alhamdulillah..

Suasana beriktikaf di masjid sudah mula terasa. Tersentuh juga apabila melihat si ayah membawa anak-anaknya yang masih kecil tidur bersama-sama di masjid. Subhanallah.. Indahnya..

Masjid mulai terang.

Bacaan ayat-ayat al-Quran terus bergema tiada henti dari lisan mereka yang mencari cinta.

Walaupun yang memeriahkan malam-malam penghujung Ramadhan ini masih lagi terlalu sedikit jika mahu dibandingkan dengan mereka yang memeriahkan pasar raya dan kedai langsir. 

Tapi, insya-Allah. sedikit peringatan untuk semua dan yang paling penting untuk diri ini yang sangat hina di mata Rabb-nya. 

Akankah aku bertemu dengan malam itu. Jika aku menemuinya sekalipun, aku menemuinya untuk apa?


Cukuplah. 

Jika 20 malam yang sudah berlalu itu kita lalui sama sahaja dengan malam-malam yang lain. Dipenuhi dengan kemaksiatan, buang masa. Ada yang mungkin juga penuh dengan Dota dan counter strike, tak kurang juga yang masih lagi seronok berdating iftar sama-sama di dalam bulan yang Allah muliakan ini. Sesuatu yang sepatutnya menjadi satu ibadah, tapi malangnya sedar atau tidak ianya dicemari dengan nilai-nilai hina kemaksiatan.

Thursday, 18 August 2011

Hati Kita Semakin Subur atau Terkubur?

18 Ramadhan 1432H. Sekejap sahaja masa berlalu. Sejauh mana aku dah manfaatkan ia? 

Wah, mungkin tidak sepenuhnya lagi? 

Jadi bila? 

Persoalan yang menarik. Terima kasih. =) 


“Macam mana nak memenuhi keperluan seorang manusia?” 

Keperluan Seorang Manusia 

Perkara pertama yang harus ditinjau kembali ialah definisi keperluan itu sendiri. Adakah keperluan yang dimaksudkan itu berasaskan hawa nafsu, atau berasaskan keimanan terhadap Allah dan hari akhir? 

Kalau kita dapat lihat pada hari ini, secara umumnya masyarakat kita semuanya berlumba-lumba dalam memenuhi keperluan masing-masing. Tapi, macam yang saya cakap tadi, keperluan berasaskan apa? 

Kalau kita dapat lihat berapa ramai manusia yang sanggup tidak tidur siang dan malam hanya kerana mencari duit untuk keluarga. Kereta di hadapan rumah sampai 7 biji. Rumah ada beratus bilik, tapi yang duduk di dalam rumah tu cuma 2 hingga 3 orang sahaja. Inikah keperluan kita?

Wednesday, 10 August 2011

Senyumlah Wahai Da'ie

Gelak. Lawak. Huh. Itu mungkin fenomena biasa apabila ikhwah bertemu ikhwah. Asal berjumpa je, mesti ada gelak. Asal berjumpa je, mesti ketawa. Kalau masa serius, wah mereka memang sangat serius. Tapi, habis sahaja saat serius, terus ketawa, gelak dan macam-macam. Penat gelak je kadang-kadang. 

Itulah ikhwah. Banyak gelak. =) 

Islam mengajarkan hidup yang suci, bersih, jauh dari tingkah laku buruk, jauh pula dari perbuatan yang sia-sia. Maka, sering dipersepsi bahawa menjadi seorang Muslim yang soleh bererti harus menjadi peribadi yang beraut muka dingin, tak nak ketawa, inikan pula mahu bergurau.

Bahkan ada pula yang mengatakan,

"Diamnya adalah berfikir, bicaranya adalah zikir, langkahnya adalah jihad."

Kalau tidak, maka dia bukanlah Muslim yang sejati. Benarkah?

Selepas mendengar ada seorang ikhwah yang berkongsi tentang apa yang dibacanya dalam buku Fikh Hiburan karangan Dr. Yusuf Qardhawi, saya tertarik untuk berkongsi dengan semua tentang satu sirah yang kita mungkin jarang dengar. Tetapi, secara hakikatnya. Kehidupan pada zaman Rasulullah dengan kehidupan kita memang tidak banyak bezanya. 

+++ 

Sejarah yang Sangat Berwarna


Thursday, 28 July 2011

Cinta Allah Hanya Ilusi?

Tingkatan Cinta kepada Allah


Sejatinya, cinta kepada Allah 'Azza wa jalla memiliki sebuah "analogi misal". Saya merasa malu menceritakan analogi itu, tetapi kerana tidak ada analogi lain yang lebih mudah difahami -sungguh sangat disayangkan- saya terpaksa harus menceritakannya. Dengan ini saya berharap manusia boleh untuk mencintai Allah. Walillahil matsalul a'la (milik Allah-lah perumpamaan yang tinggi).

Analogi ini adalah, tentang seorang lelaki yang mencintai seorang wanita. Ia merasa tertarik pada wanita itu, kemudian merasa susah tidur, sering memikirkan dan merenungkannya. 

Ketika manusia membicarakannya, ia seakan semakin larut memikirkannya. Ia menjadi sibuk kerananya. Akalnya bersama si wanita tersebut, dan memikirkan dirinya. 

Ketika manusia bertanya, "Apa yang kau lakukan?", ia merasa tidak melakukan kesalahan. Ia hanya tertarik pada "si dia" saja dan pada taraf ini ia tidak melakukan perbuatan haram.

Setelah tahapan tertarik, ia semakin tenggelam dalam lautan cinta, hingga ia akan membandingkan semua hal dengan "si dia". Apakah ia lebih suka melakukan sesuatu yang ia sukai atau "si dia" sukai?

Setelah itu, ia akan memasuki tahapan 'jatuh hati' (al-'Isyq). Ertinya, jatuh hati seperti air yang jatuh dari atas ke bawah. Ia tidak lagi mampu menguasai hati. Barang siapa yang jatuh cinta pada wanita, ia tidak mampu menguasai hatinya, hingga ia siap menantinya di bawah jendela rumah 6 atau 7 jam, siap pergi ke mana sahaja, menunggu tidak masalah, yang penting ia dapat pergi bersama dia. Seperti Qais dan Laila. Untuk melewati desa tempat tinggal Laila sahaja, ia harus menenangkan hati sambil berkata,

Thursday, 7 July 2011

Adakah Kita Sedang Lalai?


“Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat).” 
[QS al-Anbiya’, 21:1]

Kiamat sudah dekat. Dunia akan hancur. Segala yang jahat akan melihat kesan dari kejahatan mereka. Setiap yang baik pula akan melihat apa ganjaran untuk mereka. Amal-amal yang mungkin dulu kita ditertawakan jika melakukannya, mula menunjukkan siapa yang berada di jalan yang benar. Amal-amal yang dahulunya dikejar dengan penuh komitmen, akan menguak menunjukkan wajah sebenar mereka di masa yang akan datang itu nanti.

Maka setiap dari kita akan diperhitungkan. Akan dinilai. Bukan lagi atas dasar kekeluargaan, paras rupa, kekayaan dan pangkat. Tetapi, berasaskan amal.


Mari kalau kita dapat ambil pengajaran dari ayat di atas.

“Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat).” 
[QS al-Anbiya’, 21:1]

Persoalannya. Siapakah mereka yang lalai itu?

Friday, 3 June 2011

Layan Syaitan itu seperti Musuh!!!

Perang!!! 

Itu sahajalah kata yang mungkin paling layak dilaungkan apabila kita berhadapan dengan satu musuh. 

Musuh yang mana sememangnya kita telah tahu bahawa dia sudah berikrar akan memerangi kita. Tidak ada lagi pendamaian dan tolak ansur. Musuh yang sangat licik, hebat dan bersungguh-sungguh dalam memerangi kita, sehinggalah kita menyertai barisan mereka. 

Barisan apa? 

Barisan yang menuju ke neraka! 


Itulah syaitan. 

Tapi, siapa syaitan itu? 


Friday, 27 May 2011

Jangan Putus Asa, Yakinlah dengan Allah

Assalamualaikum.. 

Segala yang terpuji itu hanya milik Allah. Dan selawat serta salam kepada Rasulullah SAW, serta tidak dilupakan juga selawat dan salam untuk semua para nabi dan rasul sebelum beliau. 

Alhamdulillah. Sejak kebelakangan ini, ramai insan yang mula merespon terhadap post Aku Mahu Berubah, Tapi.. baik secara personal atau tidak. Menyatakan masalah mereka dalam mahu melakukan perubahan, cabaran dan sebagainya. Baguslah tu. Kerana dalam suasana masyarakat yang semakin membarah sekarang ni dengan ideologi-ideologi songsang, ditambah lagi dengan perisa perang pemikiran yang melampau-lampau. Masih ada jiwa-jiwa yang mahu keluar dari kepompong zon selesa mereka. Untuk kembali kepada fitrah kejadian mereka. Iaitu tunduk kepada kehendak Allah. Iaitu Islam. 


+++ 

Jika sebelum ini saya membahaskan mengenai masalah ‘Determination’ atau keikhlasan dan ‘Effort’ atau usaha. Sekarang saya akan sambung dengan dua poin yang seharusnya menjadi driving force yang seterusnya untuk kita terus tetap dan teguh, atau secara umumnya kita panggil istiqomah dalam mahu melakukan perubahan. 

Saturday, 14 May 2011

Berkorban Demi Cinta

Cinta perlukan pengorbanan. Satu kalimat yang sering di dengar, dan sudah terlalu banyak figur-figur yang sudah membuktikannya. Kita lihat dalam sejarah, matinya firaun kerana pangkat, matinya Qarun kerana harta, matinya Abu Jahal kerana kesombongan, matinya Romeo kerana seorang wanita. 


Persoalannya, kenapa mereka sanggup mati untuk benda-benda mengarut tu? Maaf.

Kerana mereka cintakan benda-benda tu.

Dan apa yang orang akan buat bila dah mula cinta akan sesuatu perkara tu, tak kisah lah benar ke batil?

Pengorbanan. 

Ok fine. Itu cerita lama, sekarang zaman dah maju. Zaman dah moden. Tak main dah Abu Jahal, firaun ni. Ok, baik, kita beralih ke pada sesuatu yang lebih up-to-date.. 

+++ 

Pernah dengar tentang Mother Teresa. Dia dilahirkan pada 26 Ogos 1910 dan mati pada 5 September 1997. Mother Teresa merupakan seorang wanita yang dikatakan sangat berjasa baik terhadap masyarakat miskin di India dan juga agama yang dianutinya, iaitu kristian. Dia meninggalkan kebahagiaan dan keseronokan pada usia 18 tahun, dengan meninggalkan rumahnya di bahagian timur eropah dan menjadi rahib di India. 

Wednesday, 4 May 2011

Cerpen: Jangan Ubati Dirimu Dengan Racun

“Macam tak sihat je?”  
“Ana ok. Tak sakit apa-apa pun.” 
+++ 

UTP sekarang telah pun memasuki satu fasa yang dinamakan sebagai, study week. Fasa yang sangat rawan bagi sesetengah pelajar. Terutamanya bagi para dai’e. Inilah fasa di mana mereka harus all out habis-habisan untuk akademik mereka. Dalam masa yang sama, kerja-kerja dakwah tidak akan sekali cuba untuk dianak-tirikan, inikan terus tinggalkan. Baik dari segi dakwah pada diri sendiri, mahupun kepada orang lain. 

+++ 
“Antum solat di mana tadi?” 
“Err. Di bilik.”  
“Kenapa di bilik? Kenapa tak turun ke surau? Bukan jauh pun.”  
“…”  
“Antum sakit ke?” 
+++ 
“Akh, ana tak tahulah nak cakap macam mana. Fizikal mungkin sihat, tapi dalaman teruklah. Mutabaah down gila-gila sejak seminggu dua minggu ni.”   
“Hmm. Biasalah tu, akh. Kita bukan para nabi dan rasul, inikan pula malaikat. Iman kita memang akan sentiasa menaik dan menurun. Normal lah tu.”  
“Tapi kali ni melampau-lampau. Tahajjud cuma 3 kali je minggu ni, itupun buat setakat gitu-gitu je. Tak de feeling. Tilawah pun teruk. Study lagi lah tak de mood.” 
“Hmm. Macam ni, akh. Let’s stop talking about the issue, now we move into the solution, ok? Apa usaha antum dah buat untuk selesaikan masalah antum tu?” 

Wednesday, 13 April 2011

Malu Mengejar Cahaya

"Akh, ana malulah nak jadi budak baik." 
"Malu?! Kenapa?" 
"Takut nanti mereka cakap macam-macam lak tentang ana nanti. Dah lah dulu ana jahat." 
"Akh, antum nak malu dengan mereka atau dengan Allah?"

***

Malu. Merupakan satu perasaan yang normal. Wujud dalam setiap diri manusia secara fitrah. Malu melakukan sesuatu yang mengaibkan. Dan tidak malu dalam melakukan suatu yang namanya kebaikan. Itulah fitrah semula jadi manusia yang sepatutnya ada dalam diri setiap manusia zaman sekarang ini. Terutamanya mereka yang bergelar Muslim. Kerana apa? Kerana nabi mereka telah berpesan.

"Sesungguhnya sebagian yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: "Apabila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.""
[HR Bukhari]
Cuma kenapa kebanyakan Muslim hari ini tidak menunjukkan sikap seperti fitrah yang saya sebutkan tadi? Kerana cara hidup mereka dan corak pemikiran mereka telah berjaya diatur atau direka mengikut kehendak "mereka-mereka" yang mahukan kehancuran Islam.

Friday, 8 April 2011

Hilangnya Keghairahan Memburu Syurga?

"Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang palin tinggi, jika kamu orang-orang yang beriman"
[QS Ali 'Imran, 3:139]

***
"Akh, lately ni ana terasa lemah lah.."
"Samalah. Ana pun terasa lemah."

***

"Salam, antum sihat?"
"Alhamdulillah. antum bagaimana?"
"Secara fiziknya sihatlah. Tapi, secara imaniyah. semakin lemah.."
"Ana pun sama."

***

Assalamu'alaikum.

Kitaran kehidupan semakin laju. Masa yang dikurnikan semakin singkat. Tanggungjawab yang dibebani semakin berat. Ditambah masalah dalam masyarakat yang semakin membarah.

Tapi,

Terdapat satu permata berharga yang semakin pudar di dalam diri ini. Disamping ditemani dengan kegembiraan, keseronokan mahupun ketenangan yang menambah perisa keindahan dalam menyelesaikan semua perkara. Namun, dengan kehilangan permata ini, semua yang menemani itu seolah tiada harga. Itulah permata iman.

"Akh, ketika dalam halaqoh macam ni, kita semua ana yakin merasakan terlalu cinta akan Allah, manisnya  iman dan ukhuwwah, indahnya dakwah. Tapi, kadang-kadang rasa itu hilang sebaik sahaja halaqoh ni habis. atau bila kita dah berpeleseran di muka bumi,  iman kita pun mulai menurun dan melemah."

"Soalan yang antum tanya ana ni sama dengan apa yang Hanzhalah dan Abu Bakar pernah tanya pada Rasulullah SAW. Dalam Kitab Shahih Muslim disebutkan dia berkata:

Sunday, 27 March 2011

Teguhlah Dalam Keimanan


“Maka istiqomah (tetaplah) engkau (Muhammad)(di jalan yang benar), sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
[QS Hud, 11:112]
+++

“Khir, macam mana nak istiqomah?”
“Hmm.. Berat ni nak jawab. Cuba bagi case study sikit. Baru mudah nak settle.”
“Contohnya bila kita rasa insaf. Kita rasa nak sangat buat baik. Tapi, bila lama-lama, perasaan tu hilang. Macam mana ek?”
“Tak payah lama-lama. Kejap je dah hilang kadang-kadang. Betul tak?”
“Hehe..”
+++


Istiqomah

  

Istiqomah atau pun komitmen semangnya sangat mudah dilafazkan. Tetapi sangatlah amat berat untuk kita mengaplikasikannya. Bayangkan, dikatakan bahawa Rasulullah SAW beruban, ketika turunnya ayat yang memerintahkan agar dia untuk istiqomah.
“Maka istiqomah (tetaplah) engkau (Muhammad)(di jalan yang benar), sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
[QS Hud, 11:112]

Saad bin Abi Waqqash mengatakan bahawa,
“Setiap apa yang diperintah kepada Rasulullah SAW, itu juga perintah untuk setiap Muslim yang membaca al-Qur’an.”
Maka, perintah untuk istiqomah yang disebutkan dalam ayat tadi itu bukan hanya tersangkut kepada Muhammad SAW sahaja, bahkan semua umat islam, yang membaca al-Quran.

Istiqomah terhadap apa?

Tentunya bukan istiqomah terhadap maksiat. Kerana jika istiqomah terhadap maksiat, tidak perlu kita susah-susah fikir bagaimana untuk istiqomah terhadapnya. Kerana syaitan akan sentiasa mengilhami kita dengan pelbagai idea supaya kita beristiqonah dalam kemaksiatan.

Contohnya, berapa ramai di antara kita yang boleh beristiqomah dengan mudah terhadap main games atau tengok movie? Tetapi berapa ramai pula yang boleh beristiqomah dengan mudah untuk membaca al-Quran atau menjauhi perkara-peraka berdosa?

Jadi, istiqomah terhadap apa yang membuatkan Muhammad SAW beruban? Istiqomah terhadap apa yang telah diperintahkan Allah kepada kita (rujuk firman di atas).

Apa pula yang diperintahkan Allah hingga beruban kepala Muhammad SAW? Adakah perintah untuk solat lima waktu sudah cukup membuatkan dia beruban? Atau mengerjakan haji? Maaf, tentu sahaja bukan perkara-peraka ini yang dirisaukan oleh Muhammad SAW. Tetapi, Muhammad SAW beruban tentang bagaimana untuk istiqomah dalam dakwah. Kekal dalam keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Lain? Cuba lihat firman Allah dalam surah al-Kahf, ayat ke-28,

“Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia; dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti keinginannya dan keadaanya telah melewati batas.”
[QS al-Kahf, 18:28]

Dan surah al-‘Asr, ayat pertama hingga akhir, 
“Demi masa. Seseungguhnya insan itu berada dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman, dan beramal soleh, saling berwasiat dengan kebenaran, dan saling berwasiat dengan kesabaran.”
[QS al-‘Asr, 103:1-3]
Perlu kita fahami bahawa hal-hal yang menyebabkan seseorang itu keluar dari jalan tarbiyah dan dakwah ini lebih banyak daripada hal-hal yang menyebabkan seseorang itu kekal (istiqomah) dalam tarbiyah dan dakwah.

Kita perlu berusaha sehabis mungkin untuk memahamkan seseorang itu bahawa jalan dakwah dan tarbiah ini adalah jalan hidupnya. Itu pun belum tentu berjaya. Namun, kita tidak perlu berusaha jika untuk membuat seseorang itu keluar dari halaqoh dan lain-lainnya. Bahkan, mereka yang akan berusaha sendiri ke arah itu.

Sikap kita seharusnya apabila ditimpa ujian atau musibah, kita berfikir,

“Bagaimana aku nak mendekatkan diri lagi dengan Allah, agar Allah bantu aku lepas ni”

Bukannya mengambil jalan singkat dengan tinggalkan dari halaqoh, tinggalkan teman-teman yang soleh, mencari ketenangan dengan arak dan perempuan dan lain-lain.

Kerana apa? Kerana ujian pasti akan terjadi. Survive atau tidak survive, itu bergantung kepada diri kita macam mana nak tempuhinya.
“Dan Kami pecahkan dunia ini menjadi beberapa golongan; di antaranya ada orang-orang soleh dan ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”
[QS al-A’raf, 7:168]
Kenapa diberikan ujian? Agar kita kembali kepada kebenaran. Tetapi, siapakah yang akan kembali kepada kebenaran itu? Mereka ialah orang-orang yang soleh. Apabila diuji dengan kebaikan, mereka bersyukur. Apabila diuji dengan keburukan, mereka bersabar. Di kedua-dua situasi mereka mendapat kebaikan.

Sebaliknya orang yang tidak soleh ialah mereka yang apabila mendapat ujian, mereka bahkan semakin jauh dari kebenaran. Semakin kaya, semakin lupa akan Pemberi Kekayaan itu sendiri. Semakin miskin, maka semakin hilang erti kesabaran dan akhirnya terjun ke lembah pelacuran secara rasmi atau tidak. Kemudian siap menyalahkan lagi, Pemberi Ujian itu sendiri. Nauzubillah min dzalik.

Itulah kunci kepada istiqomah. SYUKUR dan SABAR.

Syukur ketika mendapat nikmat.

Sabar ketika mendapat musibah.

Kedua-duanya menghala kepada kebenaran.

Seterusnya, bersihkanlah hati. Binalah semula keikhlasan kita  dalam menganut agama islam.

Jangan hanya ketika susah baru mahu jadi islam. Jangan hanya ketika senang baru mahu menjadi islam. Jangan hanya ketika kita tua, baru mahu menjadi islam. Tetapi, islamlah secara keseluruhan. Dari sekarang, hingga kita menghadap Allah kelak.
“Maka istiqomah (tetaplah) engkau (Muhammad) (di jalan yang benar), sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
[QS Hud, 11:112]
Istiqomah dalam hal-hal ukhrawi, tetapi tidak pernah melupakan untuk istiqomah dalam berjaya dalam akademik dan duniawi.



"mencari semula semnagat yang hilang"
khir al-imtiaz
2205 hours
27-03-2011

Thursday, 24 March 2011

Nilai Sebuah Keikhlasan

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Alllah, Rabb semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku..”
[QS Al-An’am, 6:162-163]

***

Ikhlas. Sebuah perkataan yang sangat mudah diungkapkan dengan lidah. Namun terkadang terasa amat berat untuk mengimplementasikannya. Sebuah kata yang sangat ringkas. Tetapi mempunyai maksud yang sangat mendasar hingga kita jarang dapat mendalaminya.

 Saya yakin, ramai sahaja di antara kita yang masih keliru, bahkan tercari-cari akan makna keikhlasan yang sebenar. Keikhlasan yang dikatakan akan mendatangkan kebahagiaan. Manakala, ketiadaan keikhlasan dikatakan mampu menyebabkan segala amal kita tidak ada maknanya. Maka, kita dapat lihat betapa ramai manusia yang keluar dari jalan tarbiyah hanya kerana mengatakan di mereka tidak ikhlas dalam berbuat. Apa sebenarnya hakikat keikhlasan yang perlu kita tahu?


Definisi ikhlas


Ikhlas didefinisikan sebagai murni, bersih, suci atau kosong.

Ikhlas dapat dimaksudkan dengan menghalakan segala ucapan, perbuatan, diam, bergerak, yang dirahsiakan, yang ditampakkan, hidup atau mati, berorientasikan hanya untuk redha Allah semata-mata.

Ikhlas ialah mengkhususkan tujuan semua perbuatan hanya untuk Allah semata-mata.

Ikhlas adalah melupakan pandangan manusia, sehinggakan kita hanya melihat Sang Pencipta sahaja.

Ikhlas ialah tidak memaksudkan perbuatan agar disaksikan orang, namun berharapa agar mendapat saksi dari Allah semata-mata.

Ikhlas adalah rahsia antara Allah dan hamba-Nya. Ia tidak diketahui oleh malaikat, sehingga dia tidak mempunyai kuasa untuk menuliskannya. Tidak pula diketahui oleh syaitan, sehingga dia tidak mampu merosakkannya.

Itulah ikhlas. Kunci kepada amalan hati. Semua amal soleh tidak akan sempurna tanpa dilandasi keikhlasan.

Wednesday, 23 March 2011

Jagalah Lisanmu



“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya”
[QS al-Isra’, 17:36]

***

Perkataan seseorang tidak akan berguna jika ia mengucapkan perkataan yang sia-sia. Sebaliknya, ia hanya akan berguna dan terjaga apabila hanya mengharapkan keuntungan dan peningkatan dalam agamanya. Jika seseorang itu ingin mengatakan sesuatu, maka dia akan melihat, apakah dalam perkataannya itu mengandungi kebaikan dan faedah atau tidak. Jika dalam perkataannya tidak mengandung manfaat, maka ia akan menahan ucapannya itu.


Jika kita ingin mengutarakan apa yang ada di dalam hati kita, maka ungkapkanlah dengan lisan. Kerana, lisan akan mengungkapkan segala apa yang ada di dalam hati, baik ia menginginkan sesuatu atau atau ia menolak sesuatu.

Yahya bin Mu’adz berkata,
“Hati bagaikan periuk yang mendidih kerana apa yang ada di dalamnya dan lisan adalah gayungnya. Lihatlah seseorang ketika ia berbicara kerana sesungguhnya lisannya yang akan mencedok segala apa yang ada dalam hatinya; dari yang manis, yang asam, yang tawar, yang masin atau yang lainnya, dan akan menjelaskan kepadamu segala cita rasa yang ia inginkan dengan perantara lisannya.”
Selalunya, kita akan merasakan makanan yang ada di dalam bekas dengan lisan kita, maka barulah pengetahuan akan makanan itu akan diketahui dengan hakikat yang sebenarnya. Begitu juga dengan cita rasa yang ada di dalam hati seseorang. Ianya hanya dapat diketahui melalui lisannya.

Muhammad SAW pernah ditanya mengenai sesuatu yang menjadi penyebab utama dimasukkannya manusia ke dalam neraka. Baginda menjawab:
“Mulut dan kemaluan.”  
[HR Ahmad, Ibn Majah, dan at-Tirmidzi]
Mu’adz juga pernah bertanya kepada Muhammad SAW tentang perbuatan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga dan menjauhkan dari neraka. Muhammad SAW pun memberitahukan pokok perkara dalam islam dan puncak tertingginya. Baginda bersabda:
“Mahukah engkau aku beritahu tentang perkara yang boleh menjaga hal tersebut?”
Mu’adz menjawab,
“Mahu, Ya Rasulullah”
Kemudian Muhammad SAW memegang lisannya seraya bersabda,
“Jagalah oleh mu ini (lisan)” 
Mu’adz bertanya,
“Bukankah kita akan dimintai pertanggungjawaban dari segala apa yang kita katakan?”
Muhammad SAW menjawab,
“Celakalah engkau wahai wahai Mu’adz! Bukankah yang menjerumuskan manusia ke dalam api neraka dengan wajah tersungkur adalah akibat lidah mereka? 
[HR at-Tirmidzi]
+++

Namun secara realitinya, ramai di antara kita yang lebih mudah untuk menjaga dirinya daripada memakan sesuatu yang haram, berbuat zalim, berzina, mencuri, meminum khamar, memandang sesatu yang diharamkan dan sebagainya. Tetapi, sangatlah amat payah untuk kita menjaga lidah kita. Bahkan, seseorang yang terkenal dengan agamanya, ibadahnya, dan kezuhudannya, boleh sahaja mengatakan perkataan yang dapat mendatangkan kemurkaan Allah. Dan lebih malang laig jika dia tidak merasakan bahawa perkataannya itu tercela. Dia mengatakan satu ucapan yang ucapan itu jauh antara timur dan barat.


Berapa ramai pula manusia yang mampu menjaga diri dari kekejian dan kezaliman, namun lidahnya berdusta dengan kedustaan yang mencapai puncaknya. Sampai-sampai dia tidak peduli dengan apa yang dia katakan. Jika kita ingin mengetahui hal apa itu, lihatlah apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam shahihnya dari hadits Jundub bin Abdullah. Muhammad SAW bersabda:
“Seseorang berkata, ‘Demi Allah, Allah tidak akan mengampuni si Fulan,’ maka Allah berfirman, ‘Barang siapa yang bersumpah kepada-Ku bahawa aku tidak akan mengampun si Fulan, sesungguhnya Aku telah mengampuni si Fulan dan Aku akan menghapuskan segala amal perbuatanmu."
Nauzubillah min dzalik. Inilah gambaran seseorang yang mungkin ibadahnya sangat hebat kepada Allah dengan melakukan apa sahaja yang dikehendaki Allah, namun hanya dengan satu kata sahaja, seluruh amal perbuatannya terhapus kerana perkataannya.

Perkara seperti ini ditegaskan dalam hadits Abu Hurairah, Abu Hurairah berkata, 
“Bicaralah hanya dengan satu ucapan, maka apa yang kamu usahakan di dunia dan akhirat semuanya akan musnah.”
Di dalam Shahihain dari hadits Abu Hurairah dari Muhammad SAW, baginda bersabda:
“Sesungguhnya seorang hamba yang mengatakan satu perkataan dari apa yang Allah redha kemudian dia tidak menghiraukannya, maka Allah akan mengangkat darjatnya. Dan sesungguhnya seorang hamba dengan mengatakan satu perkataan yang dapat mendatangkan kemurkaan Allah kemudian dia tidak memikirkan akibatnya, maka dia akan dilempar ke dalam jahannam.”  
[HR Bukhari]
Imam at-Tirmidzi juga menyebutkan dengan sanad yang shahih dari Muhammad SAW:

“Di antara tanda-tanda kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat bagi dirinya” 
[HR Muslim dan at-Tirmidzi]
Di dalam hadits lain juga ditegaskan:
“Apabila seseorang bangun di waktu pagi, maka sesungghunya anggota badannya itu tunduk kepada lisannya. Anggota badan itu berkata kepada lisan : takutlah engkau kepada Allah dalam menjaga hak-hak kami, kerana sesungguhnya kami akan mengikutimu, jika kamu sitiqomah (dalam ketaqwaan) maka kami juga akan istiqomah, namun jika kamu berbelok maka kami juga akan berbelok.”
Maka, marilah kita sama-sama memerhatikan semula, apa yang mahu dikatakan oleh lidah kita. Agar segala yang keluar itu bukan sahaja bermanfaat untuk diri insan yang sedang mendengarnya, tetapi yang penting adalah setiap kata-kata kita itu akan bermanfaat dan menjadi peringatan untuk diri kita sendiri.


Lidah adalah senjata yang sangat berbahaya. Namun kita kena ingat bahawa sesuatu yang berbahaya itu jika kita mampu mengawalnya dengan benar, iaitu dengan tatacara Islam, maka ia akan menjadi satu senjata yang sangat hebat dalam memberikan manfaat untuk Islam itu sendiri, dan kepada pemiliknya.

Ingat kembali pesan Allah kepada kita,

“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya” 
[QS al-Isra’, 17:36]

Wa Allahu ‘Alam

p/s: bukan nak menghalang para dai'e dari berkata-kata, cuma mengharapkan agar kata-kata kita selepas ini lebih bernadakan Islam dengan hujah, agar kita tidak rugi dengan penat lelah kita berkata-kata... =)


"sabar"
khir al-imtiaz 
0613pm 
23-03-2011

Sunday, 20 March 2011

Agar Kedua Tangan Tetap Mengadah ke Langit


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan otrang yang mendoa apabila dia berdoa kepada ku”

[QS al-Baqarah, 2:186]


Ibadah Yang Terindah

Ibnul Qayyim mengatakan,

“Sesungguhnya di dalam hati terdapat satu sobekan yang tidak boleh dijahit kecuali dengan menghadap penuh kepada Allah. Di dalamnya juga ada sebuah keterasingan yang tidak mampu diubati kecuali dengan menyendiri bersama Allah ‘Azza Wajalla.

Di dalam hati juga ada sebuah kesedihan yang tidak mampu diseka kecuali oleh kebahagiaan yang tumbuh kerana mengenal Allah ‘Azza Wajalla dan ketulusan berinteraksi berinteraksi dengan-Nya. Pun di dalam hati terdapat sebuah kegelisahan yang tidak mampu ditenangkan kecuali berhimpun kerana Allah dan pergi meninggalkan kegellisahan itu menuju Allah. Ada juga gejolak api yang tidak mampu dipadamkan kecuali oleh keredhaan akan perinttah, larangan dan keputusan Allah, yang diiringi dengan ketabahan dan kesabaran sampai tiba saat perjumpaan dengan-Nya.

Di dalam hati juga terdapat tuntutan yang kuat tidak akan berhenti sebelum Allah menjadi satu-satunya tujuan. Di dalamnya pun ada keperluan yang tidak akan terpenuhi kecuali oleh kecintaan kepada Allah ‘Azza Wajalla, mengingat-Nya terus menerus, serta keikhlasan penuh kepada-Nya, Bahkan jika hati ini diberi dunia beserta segala isinya, keperluan tersebut tetap tidak akan terpenuhi.”



Monday, 14 March 2011

Salah Menanam Cinta

Oleh: Panggih Waluyo


Di dalam sebuah kamar bercat merah jambu, menangislah seorang anak muda belia, pelan namun lama kelamaan semakin mengeras. Sudah beberapa kali ibunya mengetuk pintu kamar itu, tapi tidak juga ia hiraukan. Hingga terasa habis air matanya, ia masih terbayang bagaimana kedua orangtuanya melarangnya untuk memakai jilbab. 

Tidak cukup sampai disitu, anak itu juga pernah mengajukan permintaan kepada nenek kesayangannya, namun lagi-lagi larangan dan omelan pula yang ia dapatkan dari nenek kesayangannya itu. Tidak ada pihak yang membelanya. 

Betapa tersiksanya rasa batin anak itu ketika keinginannya untuk mencontoh seorang ibu guru sekolahnya yang memakai selalu jilbab, mendapat larangan oleh orang-orang terdekatnya.


Sampai, beberapa hari ia hanya mengurung menyendiri di kamar…, hingga di suatu sore, …tok-tok…tok…, pintu kamarnya ada yang mengetuk, ternyata ia dipanggil oleh ibunya dan memberitahu kepadanya bahwa ada seorang ustadz datang khusus untuk membahas permintaannya selama ini.

Friday, 11 March 2011

Identiti Iman


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah."
[QS Al-Anfal, 8:2]


“Jom kita solat berjemaah di masjid. Nak tak?”
“Erm.. Insya-Allah, kau pergi dulu kot. Nanti aku follow.”

“Awak tak takut ke kalau mak awak nampak kita berpegangan tangan ni?
“Alah, pegang tangan je pun. Kat sini takde orang nampak punya.”

“Mak, kenapa ayah asyik balik lewat ya?”
“Sebab ayah kamu tu bertungkus lumus mencari duit, untuk makan minum keluarga kita. Tak pe lah.”

Pencemaran. Dapat didefinisikan sebagai sesuatu keadaan yang sedang mengalami kerosakan kerana adanya campur tangan dari pihak lain.

Udara yang bersih dikatakan tercemar apabila tedapat campur tangan daripada bendasing yang terdapat di dalamnya seperti jerebu, asap, bau yang kurang enak dan sebagainya.

Air dikatakan tercemar apabila air terdapat campur tangan daripada bakteria atau sesuatu yang membuatkannya rosak seperti racun.

Sungai atau laut dikatakan tercemar apabila adanya campur tangan daripada bangkai haiwan yang mati di dalamnya, tumpahan minyak, kesan dari pembuangan sampah sarap ke dalamnya dan sebagainya.



Pelbagai kempen yang dianjurkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta. Baik secara kecil-kecilan, mahupun secara besar-besaran. Berjuta-juta duit kerajaan mahupun swasta dihabiskan hanya kerana mahu mewujudkan kesedaran rakyat baik secara lokal mahupun global. Konsert, artis, iklan, kempen bergerak dan lain-lain. Baik yang muda, mahupun yang tua, semua sepakat setuju untuk sama-sama berkerja keras untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar ini.

Alhamdulillah, ini merupakan satu usaha yang sangat kita boleh banggakan. Kerana menjaga alam semula jadi itu, menjadi satu kewajipan bagi orang-orang yang mengatakan bahawa diri mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhir.
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu di dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”. 
[QS Al-Qasas, 28:77]
Namun, berapa ramaikah di antara mereka yang terlibat dengan usaha di atas ini, atau mungkin kempen-kempen lain seperti pilihan raya, jangan merokok, pencegahan AIDS, keselamatan jalan raya, penderaan kanak-kanak dan lain-lain, yang ada rasa walau sedikit pun dalam hati mereka akan mengenai satu masalah, yang pada saya yang lebih besar sepatutnya untuk diperhatikan berbanding dengan masalah pencemaran udara, air, dan lain-lain yang disebutkan tadi. Bahkan bukan hanya diperhatikan, tetapi berbuat untuk menyelesaikannya.


PENCEMARAN IMAN
Ya. Pencemaran iman. Pelik, atau mungkin kita tidak pernah dengar istilah “pencemaran iman” ini. Tapi kenyataannya, itulah yang sedang menyerang hampir kesemua jiwa muslim pada hari ini, baik di dalam negara mahupun di luar negara. Ayuh kita kecilkan skop kita, melihat ke dalam negara kita tercinta, Malaysia.

Kenapa saya kata iman kebanyakan masyarakat kita sekarang ini sedang tercemar?

Ayuh, kita tak perlu menuding jari ke arah sesiapa. Cukup hanya dengan melihat ke dalam diri kita sendiri. Kerana diri kita sebahagian dari masyarakat.

Masih sucikah iman dalam diri kita? Atau masih, pernah atau sedang mengalami bibit-bibit pencemaran? Atau kita memang tidak pernah ambil tahu pun tentang kehadiran iman di dalam sanubari kita? Cukup hanya yang kita tahu bahawa, “Aku dah mengucap syahadah, dan solat lima waktu, maka penghuni syurga lah nampak gayanya”. Astaghfirullah.


Berbalik kita kepada ayat Surah al-Anfal, 8 ayat ke-2,

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. 
[QS Al-Anfal, 8:2]

Di dalam surah ini, Allah telah meletakkan beberapa indikator dalam kita mengukur sejauh mana tahap keimanan kita. Adakah ianya seperti jerebu yang mana cahaya tidak mampu menembusinya, atau seindah laut yang jernih di mana rumpai laut yang berada di dasarnya segar menghijau?

Perlu kita faham bahawa, Islam dan iman adalah dua entiti yang berbeza. Orang yang beriman, memang pastilah dia orang yang islam. Tetapi, orang yang islam, belum tentu beriman.

Orang-orang "A'raab" berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: `kami telah Islam'. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya, Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". 
[QS al-Hujurat, 49:14]

Jelas dalam ayat ini Allah menyuruh Muhammad SAW untuk menegur orang-orang yang mengatakan dia sudah beriman, degan membetulkan semula penyataan mereka dengan mengatakan "kami telah islam". Kerana apa? Apakah orang islam itu tidak dikira beriman lagi?


Kerana antara sikap orang beriman itu (rujuk QS 8:2) adalah:


PERIBADI IMAN

1.      Apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka.

Gementarlah hati mereka!

Cuba kita refleks dalam diri kita sama-sama. Ketika mana kita mendengar azan berkumandang memanggil setiap hati yang mengatakan diri mereka muslim ini menghadap Rabb mereka. Ada sahaja hati-hati yang sudah mula ber-matematik dengan Allah,

“Nanti kalau aku ke masjid, dah 10 minit, tunggu bilal iqamat, 15 minit lagi, tunggu rapat saf, 5 minit lagi, tunggu habis solat 20 minit lagi, baca doa lagi, jalan balik lagi. Huh, nanti aku dah burn masa study aku. Lagipun, Asar lama lagi. Rileks dulu lah. 5 minit nak Asar nanti baru aku solat. Jimat masa.”

Astaghfirullah.

Allah SWT tak pernah berkira-kira dalam mencurahkan pelbagai nikmat kepada kita dari kemampuan kita untuk bernafas walaupun setiap nafas kita itu disertakan dengan zikir kepada kekasih nafsu kita (wanita, harta, kuasa) berbanding yang kononnya dikatakan kekasih hati iaitu Allah dan Muhammad SAW, kemampuan kita untuk melihat dan membaca walaupun mata kita lebih terarah untuk melihat benda-benda lucah berbanding tanda-tanda kebesaran Allah, kemampuan kita untuk makan dan mencerna walaupun sumber makanan kita itu berasalkan sumber yang haram. Tidak pernah! Tetapi persoalannya, bagaimana sikap kita terhadap Allah?

Berapa kali kita membaca al-Quran dalam sehari, atau mungkin setiap minggu? Tetapi berapa kali pula kita mengulang-ulang baca mesej yang dihantar kekasih nafsu kita?

Berapa banyakkah harta dari segi material mahupun spiritual yang kita sudah korbankan untuk Allah dan Rasul-Nya tanpa pernah berkira-kira. Tetapi berapa banyakkah harta yang sudah kita habiskan untuk kekasih nafsu kita tanpa pernah kita berkira-kira, bahkan rela?

Adakah kita sudah layak digelar peribadi mu’min? Maka perdengarkanlah ayat-ayat Allah. Seandainya masih ada rasa gementar, maka bersyukur dan binalah rasa gementar itu agar menjadi lebih hebat kerana,

Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara taqwa (takut); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal. 
[QS al-Baqarah, 2:197]
Seandainya tidak ada, maka kembalilah kepada Allah. Jangan menangguh-nangguh lagi, kerana tiada siapa yang dapat memberikan jaminan kehidupan kepada kita pada saat selepas ini.

 
 
2.      Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman.

Bertambah iman mereka!

Cuba kita sama-sama tanyakan pada diri kita, “Bertambahkah keimanan aku jika aku mendengar al-Quran?”

Atau hanya seronok dilantunkan dengan pelbagai jenis tarannum.

Atau, apabila kita mendengar sahaja perkataan “al-Quran”, sudah mula wujud bibit-bibit atau rasa-rasa untuk melarikan diri daripada aktiviti-aktiviti yang akhirnya hanya akan membuang masa tanpa ada faedah langsung dari segi material?

Dengar sahaja azan di TV atau radio, terus tukar ke saluran lain.

Maaf,

Ramai di antara kita yang menjadikan al-Qura’n ini hanya sebagai hantaran perkahwinan, tetapi bukan main reference dalam mencipta satu syurga perkahwinan.

 
Ramai di antara kita yang mengenal al-Qur’an hanya ketika ada upacara-upacara kematian. Tetapi bukan sebagai main reference untuk kita bersedia untuk menghadapi kematian itu sendiri.

Jarang sekali di antara kita yang menjadikan al-Quran itu teman dikala takut dan sedih. Sedangkan apa kata Allah jika itu keadaan yang mereka hadapi?

“Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang beriman.”
[QS Ali ‘Imran, 3:139]

Ketika mana kita buntu dalam kesusahan, maka Allah hadir di sisi kita dengan berkata,

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (bersama) orang-orang yang sabar.”
[QS Al-Baqarah, 2:153]

Atau mungkin,

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
[QS Al-Ghafir, 40:60]

Bagaimana kita nak tahu benda ini semua?

Dengan membaca al-Qur’an. Dan, bukan setakat membaca, tetapi menghayati dan mengamalkannya.


Atau mungkin kita lebih prefer,

Aku  : "Awak, saya tension lah"
Nafsu: "Tak pe, mari saya hiburkan awak"

Saya yakin, hanya orang-orang beriman sahaja yang akan yakin tanpa ada rasa ragu-ragu walau sekelumit pun terhadap kata-kata Allah di dalam surat cinta-Nya, yang hanya dibaca oleh insan-insan yang mengimaninya.

Bukan setakat berislam, kerana ramai sahaja orang yang mengatakan diri mereka islam, tetapi hanya pada nama.  Bukan pada praktikal. Islamnya hanya pada kopiah, tetapi merokok. Islamnya hanya pada tudung, tetapi bercouple. Islamnya hanya ketika susah, tetapi tidak ketika waktu senang.

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk bahaya yang telah menimpakannya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan.” 
[QS Yunus, 10:12]

Na’uzubillah


INTROSPEKSI IMAN

Cukuplah. Mulakanlah perubahan dari dalam diri anda, kemudian di persekitaran anda.

Tiada istilah tidak mampu, dalam hendak berubah. Tiada istilah tidak kuat, dalam hendak berubah. Tiada istilah belum sampai seru, dalam hendak berubah. Tiada istilah tidak cukup ilmu, dalam hendak berubah.

Yang ada cuma,

MAHU atau TIDAK MAHU.

Kalau tidak mahu, maka kekal lah kamu duduk dalam keadaan yang indah dari mata pandangan nafsu di dunia ini, tetapi insya-Allah tidak di akhirat.


 
Kalau mahu, maka berhijrahlah kamu tanpa pernah cuba memberikan alasan, tetapi berusaha dalam mencari "jalan". Berhijrah ke mana? Bukan nak suruh ke Madinah atau Habsyah, tetapi kepada Allah SWT. Cukup.
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk (mencari keredhaan) Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” 
[QS Al-Ankabut, 29:69]

Kembali kepada al-Qur’an.
 
Dari Aisyah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” 
[HR Muslim]
  
Segan? Malu?

Janganlah segan dengan mata manusia, tetapi seganlah dengan Allah SWT.

Janganlah malu dengan mata manusia, tetapi malulah kita dengan Allah SWT.

“Dan sesiapa yang berpaling dari pengajaran Allah Yang maha Pengasih (Al-Qur’an), Kami biarkan Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), dan menjadi  temannya karibnya.” 
[QS Az-Zukhruf, 43:36]

Kembali kepada al-Qur’an.

Baca. Hayati. Berhukum. Sampaikan.

Dan,

Mencintainya...

Serta ikhlaskan niat serta amal-mu, kerana Allah semata-mata.




“mencari semula fokus”
Khir al-imtiaz
12.15am
11-03-2011
V2A 105, UTP

Dakwah: Susahkah?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ “Hari Khamis free tak? Malam.”  “ Free . Kenapa?”  “Aku ada buat usrah malam tu, ...