الْقَلْب (Al-Qalb). Tepatnya jika ditukarkan dalam bahasa Inggeris bermaksud, heart. Jika ditukarkan ke bahasa Melayu bermaksud jantung. Cuma, kebiasaan bagi masyarakat kita mereka mengumpamakan Al-Qalb itu sebagai hati. Hmm. Ada masalahkah?
Tiada masalah pun sebenarnya.
Kalau kita lihat ke dalam hadith Rasulullah SAW.
أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
[رواه البخاري ومسلم]
"Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah hati“.
[HR Bukhari dan Muslim]
Jika Al-Qalb itu jantung. Maka kita semua tahu bahawa jika baik jantung itu, maka eloklah badan seseorang itu. Jika jantungnya bermasalah, maka tubuh seseorang itu juga akan ada masalah. Jika jantung itu mati, maka matilah seseorang itu. Baik mati secara real, atau secara perumpamaan.
Sama juga jika Al-Qalb itu dilambangkan sebagai hati (liver). Basic dalam biologi masa sekolah dulu, hati merupakan platform yang akan menerima segala apa yang masuk ke dalam badan, dan akan menapisnya. Jika penapisnya elok, maka sihatlah badan itu. Jika penapisnya rosak, maka rosaklah segala fungsi badan.
Jadi, sejauh mana jantung atau hati kita ini telah sihat atau jernih? Atau, sebenarnya ia sedang tertutup? Atau mungkin ia sedang retak? Atau mungkin ia sedang bernajis?
Untuk memudahkan perbahasan. Saya akan menggunakan Al-Qalb itu sebagai hati.
Amru Khalid menggunakan satu perumpamaan yang sangat tepat saya rasakan untuk menunjukkan realiti masyarakat kita hari ini dalam bukunya, Islahul Qulub. Iaitu, dia mengatakan bahawa berapa ramai manusia pada hari ini yang menghabiskan hampir seluruh hidupnya hanya kerana mahu menghias pakaian atau wajah mereka kerana risau jika ia ditotoni oleh manusia dalam keadaan yang tidak cantik dan sempurna. Tetapi, berapa ramai pula di antara manusia yang merisaukan hampir seluruh hidupnya mengenai satu objek yang mungkin tidak dapat dilihat oleh mata manusia, tetapi ianya menjadi tumpuan oleh Allah SWT.
"Allah tidak memandang pada rupa-rupa dan harta-harta kalian, tetapi Dia memandang pada hati-hati dan amal-amal kalian."
[HR. Muslim]
Adakah hati kita sedang bernajis? Atau ianya sedang retak? Atau ia sebenarnya sedang tertutup? atau ia seperti air yang jernih…






