Jagalah Hubungan Dengan Kekasih Kita
Hubungan. Dalam bahasa Inggeris, relationship.
Bila kita berbicara tentang masalah hubungan, kebanyakan daripada kita akan mula mengaitkan benda ini dengan hubungan sesama keluarga, kawan-kawan, kalau yang masih tak sedar-sedar lagi bahawa couple tu haram, maka dia akan akan kaitkan relationship itu dengan awek atau teman lelaki dia.
Cuma, mungkin relationship yang saya cuba cerita sekarang ini tidak merujuk kepada mereka semua, kerana saya yakin, dah banyak dah buku atau pakar-pakar motivasi dari seluruh dunia bercerita mengenainya. Baik yang Islam atau tidak. Ramailah yang penting. Tetapi, saya nak ajak kita sama-sama memikirkan satu benda. Pernah tak kita terfikir tentang relationship kita dengan Allah.
Selama 15 atau 50 tahun kita hidup, berapa banyak masa yang kita peruntukkan dalam usaha untuk menjaga hubungan kita dengan manusia? Baik dengan keluarga kita, adik beradik, sanak saudara, teman sekerja atau sekuliah dan kekasih halal, ataupun kekasih ‘haram’ kita bagi yang belum bernikah?
Cuba hisab semula diri kita, adakah pernah kita memikirkan tentang hubungan kita dengan Allah dengan kadar waktu yang sama? Atau mungkin lebih daripada itu.
Perkara yang penting dalam menjaga satu-satu hubungan
Banyak sebenarnya yang kita boleh senaraikan jika mahu membahaskan tentang perkara-perkara yang penting dalam menjaga satu-satu hubungan. Cuma saya akan membincangkan tiga benda yang saya rasa paling penting.
1- Kepercayaan.
Saya rasa, semua di antara kita pernah dengar akan perkataan.
“Kepercayaan kepada Tuhan”
Selalunya masa perhimpunan hari Isnin di sekolah dulu. Atau mungkin lain sikit bunyinya kalau dalam kelas Asas Fardhu Ain atau mana-mana kelas pengajian Islam,
“Beriman kepada Allah”
Iman itu kalau ikut silibus sekolah, percaya dengan hati, ungkapkan dengan lisan dan lakukan dengan perbuatan. Betullah tu. Tetapi, sejauh mana aplikasinya dalam setiap sudut dan saat kehidupan kita? Kenapa setiap sudut dan setiap saat? Kerana ada di antara kita yang mungkin percaya kepada Allah ini hanya dalam sudut-sudut atau saat-saat tertentu sahaja dalam kehidupan.
Dalam kelas Pendidikan Islam, maka Islamlah dia. Habis kelas, dah tak tahu dah agama apa dah. Inikah yang maknanya percaya atau beriman kepada Allah? Dan, sudut serta saat yang paling popular ialah di saat kita mengahadapi kesukaran dalam masalah kehidupan.
“Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk bahaya yang telah menimpakannya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan.”
[QS Yunus, 10:12]
Tanyakan pada diri kita, sejauh mana kita sudah meletakkan kepercayaan kita kepada Allah?
Di saat kita menghadapi kesukaran kewangan, sejauh mana kita telah meletakkan kepercayaan kita kepada Allah bahawa Dia-lah yang akan membawa kita keluar dari masalah yang ada?
Di saat kita keliru tentang pasangan hidup, sejauh mana kita telah meletakkan kepercayaan kita kepada Allah bahawa Dia-lah yang akan memberikan kepada kita pasangan yang sesuai untuk kita di sudut dan saat yang terbaik untuk kita?
Di saat kita takut, kita sedih, kita keliru dan keseorangan. Kemudian diserang maslah dari segala penjuru. Sejauh mana kepercayaan kita kepada Allah bahawa keadaan yang ada ini akan bertukar hanya sekelip mata sahaja, jika Dia menghendaki.
“Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir mengusirnya (dari Mekah); sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, ketika itu dia berkata kepada sahabatnya, “Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya (Muhammad) dan membantu dengan bala tentera (para malaikat) yang tidak terlihat olehmu, dan Dia menjadikan seruan orang-orang kafir itu rendah. Dan firman Allah itulah yang tinggi. Allah Mahaperkasa, Mahabijaksana.”
[QS At-taubah, 9:40]
Dan sebanyak mana di antara kita yang benar-benar percaya akan setiap kata dan janji-Nya dengan sebenar-benar percaya? Dan bukan setakat mempercayainya, tetapi berjuang dan berkorban demi menegakkan segala perintah dan suruhan-Nya kerana mahu mendapatkan apa yang dijanjikan-Nya?
Percayanya seorang anak bahawa ayahnya akan menyambutnya |
2- Kesetiaan.
Ramai orang cakap lelaki susah nak setia. Betulkah?
Beginilah, seandainya dia bukan seorang yang beriman, tidak kiralah lelaki atau perempuan, maka kesetiaan tiada dalam kamus hidupnya. Mungkin sahaja dia setia pada zahirnya, tetapi batinnya siapa tahu?
Kerana jika orang yang ditarbiyah, orang yang beriman, orang yang soleh dan mengajak orang menjadi soleh pasti akan menjadi seorang yang setia. kerana paksi kepada kesetiaannya itu adalah pada iman.
Kita dapat lihat bagaimana seorang askar itu sangat taat dan setia pada setiap perintah orang atasannya. Suruh sahaja apa sahaja; membunuh bahkan sanggup di bunuh. Atas dasar apa? Entah, tanyalah mereka jika berkesempatan.
Tetapi sudah berapa banyak kuantiti dan kualiti kesetiaan yang telah kita tebarkan untuk bukti kita cintakan Allah atas dasar cinta? Untuk buktikan bahawa kita adalah kekasih-Nya dan Dia adalah kekasih kita?
Atau mungkin kita masih sahaja bertapi-tapi dan berdalih lalu membenarkan kemaksiatan yang pasti akan terserlah kejelekannya kelak menyelubungi diri kita? Jika bukan di dunia, PASTI di akhirat nanti.
“Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.”
[QS Al-Hujurat, 49:10]
3- Komunikasi.
Hmm. Komunikasi. Saya teringat kata seorang ikhwah ketika dia menceritakan apa pesanan ibunya kepada dia,
“Selalulah kamu berdialog dengan Allah..”
Benar. Cuba lihat dalam diri kita. Setiap saat kehidupan kita, berapa banyak masa yang telah kita peruntukkan secara spesifik demi berbual atau mengadu dengan Allah SWT? Tidak berbayar. Bahkan itulah kunci untuk kita mendapatkan kebahagiaan.
Kita cukup risau kalau kredit kita habis. Kita takut seandainya nanti apabila dia mesej, tetapi kita tidak dapat membalasnya. Nanti dia akan mula menjauhi dan ikatan cinta kononya itu akan semakin pudar. Maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kredit yang kosong itu tadi kembali terisi. Sanggup jalan kaki ke bank, paksa mak ayah, curi duit orang dan lain-lain. Hanya kerana sesuatu yang tidak pasti. Hanya kerana ingin menjaga komunikasi antara kita dan dia supaya tidak terputus. Agar sentiasa terasa dekat. Walaupun cinta jarak jauh. Dan itu hanya andaian sahaja!
Adakah kita berbuat perkara yang sama dengan Allah?
Di saat kita semakin jauh dari Allah, kita merasa takut dan cuak sekiranya Allah sudah tidak mahu mendengar kata-kata kita lagi. Lalu kita cepat-cepat untuk mentop-up iman kita kembali.
Kita kata Alah kekasih kita. Tetapi, sekerap mana kita berkomunikasi dengan Dia?
Sekerap mana kita berusaha untuk berkomunikasi dengan Dia agar kita sentiasa merasa dekat dengan kita?
“Sesungguhnya Allah itu Maha Malu dan Maha Pemurah, Allah malu jika ada seseorang yang menadahkan kedua tangan kepada-Nya, tapi kemudian menolaknya dengan tangan hampa”
[HR Abu Daud, At-Tirmidhi, dan Ibn Majah]
Allah sentiasa ada di sisi kita menanti suara kita memohon kepada-Nya, cuma kita sahaja kadang-kadang terlalu sombong untuk berbuat demikian |
Muhasabah hubunganmu
Semahal apa kepercayaan yang kita berikan?
Semahal mana juga nilai kesetiaan yang diberikan?
Semahal apa komunikasi yang kita berikan untuk Allah?
Inikah nilai cinta kita untuk Allah?
Perbaharuilah hubungan kita dengan Allah. Letakkanlah kepercayaan kita kepada Allah dengan sebenar-benarnya dalam setiap saat dan sudut kehidupan kita. Ketika menghadapi peperiksaan, ketika berhadapan dengan bos yang menekan, ketika berhadapan masalah keluarga dan lain-lain. Kita yakin bahawa Dia akan tolong kita seandainya kita berada di pihak yang benar.
Tingkatkanlah kesetiaan kita pada Allah. Tidak lagi cinta di hati kita terlalu mencapah-capah seperti benang yang bercabang sukar untuk memasuki jarum yang akan menjahit cinta kita dengan Allah. Tinggalkan cinta yang haram. Jangan ragu-ragu jika kesetiaanmu benar-benar untuk Allah dan Rasul-Nya dan kamu beriman kepadanya dengan benar-benar keimanan!
Keraplah berkomunikasi dengan Allah. Sentiasa menadah tangan memohon kepada Allah untuk setiap tindak tanduk kita. Apabila sedih, mintalah pertolongan dari Allah. Apabila gembira, berkongsilah bersama Allah. Tak rugi pun. Bahkan mungkin sahaja kita akan mendapat sesuatu yang lebih hebat dari itu!
Keyakinan.. Kesetiaan.. Komunikasi..
Untuk kekasih Agung kita. Itulah Allah….
“Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah, dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji.”
[QS Fathir, 35:15]
"new chapter"
khir al-imtiaz
12.04pm
16-9-2011
Keyakinan.. Kesetiaan.. Komunikasi..
ReplyDeleteTerbaek~