Iman Perlukan Latihan


Apa khabar iman?

Alhamdulillah. Segala puji kepujian dan kebaikan kita pulangkan kepada Allah SWT, Rabb atau Penjaga sekalian alam. Selawat dan salam untuk semua rasul dan para nabi yang pernah diutus Allah SWT demi kebaikan umat manusia. Tak lupa juga pada Nabi Muhammad SAW yang menjadi qudwah dan uswah kita dalam menjalani kehidupan yang bersifat ujian ini. Juga selawat dan salam untuk mereka yang telah pergi, yang telah mengorbankan hidup mereka demi Islam, hinggalah kita pada hari mampu untuk mengecapi dua nikmat yang terbesar tetapi sering terlupakan, itulah nikmat islam dan iman.

Bila kita berbicara tetang masalah hati, maka ..insya-Allah.. ramai yang akan terkesan. Ramai yang akan mula terdetik untuk melakukan perubahan. Ramai yang mungkin sahaja tersedar daripada lamunan kelekaan duniawi yang menipu, dan mahu kembali kepada kebenaran. Alhamdulillah.

“Ya, aku tahu aku sudah tersilap dan aku mahu berubah. Apa yang harus aku buat sekarang?”

Ya, itulah persoalan yang perlu dijawab dengan benar dan baik. Jika tidak, maka objek dakwah kita yang tadinya bersemangat untuk berubah, mungkin sahaja dia akan kembali hilang, atau menjadi seperti sesuatu yang tidak pernah kita jangkakan.

Ayuh kita perhatikan sebuah analogi mudah. Dalam hadith Rasulullah SAW jelas mengatakan hati setiap daripada kita ini terlahir dalam keadaan yang fitrah, bersih. Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, 

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi sebagaimana seekor hewan melahirkan seekor hewan yang sempurna. Apakah kau melihatnya cacat?” 
[HR. Bukhari] 

Kemudian Abu Hurairah membacakan ayat-ayat suci ini: 

"(Tetaplah atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. (Hukum-hukum) ciptaan Allah tidak dapat diubah. Itulah agama yang benar. Tapi sebagian besar manusia tidak mengetahui." 
[QS Ar-Rum, 30:30]

Maknanya, hati seorang manusia itu tidak kira apa sekalipun latar belakangnya, agamanya, bangsanya, pekerjaannya dan lain-lain. Mereka pada asalnya mempunyai hati yang bersih.

Hati yang bersih ini kita mampu untuk mengumpamakan ia seperti tanah yang pada awalnya subur.



Cuba kita berfikir sejenak.

Jika kita tidak mengusahakan tanah yang pada awalnya tadi subur, apakah logik tiba-tiba yang akan tumbuh itu pokok pisang, durian, rambutan dan semua jenis pokok yang mampu memberi manfaat kepada umat manusia? Sekali lagi saya ulang, jika kita tidak mengusahakan tanah yang pada awalnya tadi subur, apakah logik tiba-tiba yang akan tumbuh itu pokok pisang, durian, rambutan dan semua jenis pokok yang mampu memberi manfaat kepada umat manusia?

Jawapannya, tidak. Kerana sesubur manapun tanah yang ada itu jika tidak ada yang pernah mengusahakannya, maka ia akan menjadi tanah subur yang terbiar. Dan apabila ianya mejadi tanah yang terbiar tanpa pengawasan, maka yang akan tumbuh ..pasti.. hanya lalang, rumput dan duri yang tiada manfaat apapun melainkan kerosakan. Menjadi rumah kepada ular, tikus dan macam-macam lagi agen perosak.

Begitulah juga hati.

Jika kita tidak pernah cuba untuk berusaha menyuburkan dan menanamkan iman serta ketakwaan ke dalamnya, apakah logik iman dan takwa itu akan tumbuh dengan sendirinya? Maaf. Tidak!

Tapi apa yang akan terlahir daripada hati itu tadi? Yang akan lahir hanyalah perosak-perosak seperti kesombongan, riya’, dengki, cinta kepada kemaksiatan, dan keseronokan dalam meninggalkan ibadah.

Tapi hakikatnya jika kita lihat pada hari ini, berapa ramai manusia yang memilih untuk membiarkan sahaja hati mereka tidak ditanam dengan keimanan yang sempurna, tetapi bahkan memilih untuk menunggu masa yang sesuai katanya, atau mungkin ada sahaja yang melarikan diri apabila kita mahu menanamkan benih keimanan ke dalam hatinya. Apa sebenarnya yang berlaku? Lupakah mereka dengan firmah Allah yang memberi amaran jika mereka menangguh-nangguh dalam urusan keimanan?

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik." 
[QS Al-Hadid, 57:16]

Lebih malang lagi apabila dia menjadi seperti,

"Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) memancar daripadanya. Dan ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan." 
[QS Al-Baqarah, 2:74]
Batu sahaja terjatuh kerana takutkan Allah. Kita?

Iman bukan hanya sekadar seronok ditanam

Perlu juga kita faham bahawa keimanan bukan hanya cukup jika kita sekadar menanamnya, kemudian dibiarkan. Tapi, ada kerja-kerja lain yang perlu kita lakukan jika kita mahu melahirkan nilai keimanan yang berkualiti.

Berbalik kepada analogi tadi. Sekarang, tanah yang subur itu tadi sudah kita tanamkan ia dengan benih keimanan. Maka langkah seterusnya ialah menyirami tanah tadi agar benih yang ditanam itu tadi tidak mati dan menjadi bangkai di dalam tanah. Baja perlu diberikan dengan kadar yang paling optimum, dan baja itu mestilah tidak membakar tanaman itu kerana terlebih atau terlalu sedikit hinggakan ia tidak mendapat manfaat daripada baja tersebut kemudian ia akan mati juga. Perlu disirami dengan air. Dipagari agar tidak dipijak atau dirosakkan oleh haiwan lain dan macam-macam lagi. Demi memastikan benih yang ditanam itu tadi dapat tumbuh ke langit.

Sama seperti iman. Ianya tidak cukup hanya sekadar ditanam, tetapi ia juga perlukan perawatan yang sempurna dari segi keteguhan akidahnya serta syariat yang memastikan ianya dapat tertegak dan akhirnya menjulang ke langit, memberikan manfaat kepada manusia lainnya. Proses tarbiyah perlu berjalan dengan efisien bagi memastikan pertumbuhan iman itu terbina dengan baik dan perlunya pantauan mutabaah amal agar imannya itu tidak terencat di tengah perjalanan. Supplement perlu diberikan dalam bentuk program berkala seperti dauroh atau mabit untuk memastikan satu perkara, iaitu agar imannya itu terbina dengan baik. Dipagar iman itu daripada segala jenis kemaksiatan. Dicantas segala kecacatan yang ada jauh-jauh agar tidak mengganggu. Kenapa iman? Kerana tanpa iman, keislaman kita akan menjadi rapuh. Kenapa tarbiyah? Kerana tanpa tarbiyah, semua perkara akan menjadi tidak bermakna.

"Andai si biji hanya menumbuhkan akarnya, tanpa kehendak untuk tampil dengan batang, menggapai langit dengan ranting dan cabang. Jadilah dia bangkai, yang layaknya memang terkubur dalam-dalam." 
[Salim A. Fillah, Dalam Dekapan Ukhuwah, m/s 58 (Pro-U Media)]

Maka, ayuhlah kita sama memperbaiki diri kita dari detik dan saat ini juga. Berusaha untuk membuka mata kita. Kalau dalam filem The Passion of Christ (ini cerita berdasarkan teks Bible, Nabi Isa tidak disalib. Rujuk: QS An-Nisa', 4:157), ketikamana raja Rom itu bertanya kepada isterinya semasa mahu membuat keputusan untuk membenarkan Jesus of Nazareth itu disalib atau tidak; selepas dia berbual dengan Jesus of Nazareth dan menerima desakan daripada pemuka-pemuka Israel,

“What is truth?”

Jawapan isterinya sungguh sangat mudah.

“If you can’t hear the truth, no one can tell you about the truth.”

Maka belajarlah untuk mencari kebenaran itu melalui majlis ilmu atau halaqoh atau usrah ditempat kita. Atau boleh juga dengan sarana membaca buku-buku yang bertemakan kebenaran dan keislaman. Lebih mudah, search sahaja di Youtube, banyak ceramah ada di sana. Jangan beralasan untuk tidak mencari jika tiada. Dan carilah yang paling boleh membuatkan kita semakin dekat dengan Allah, bukan semakin dekat dengan fitnah.

Ubah kebiasaan kita dalam melakukan kemaksiatan atau meninggalkan ibadah kepada sesuatu yang lebih bernilai. Ayuh, latih diri kita. Latih iman kita. Berlatih untuk bangun tahajjud dengan pelbagai apa cara sekalipun, berlatih untuk solat subuh di awal waktunya, berlatih untuk mencari masa untuk solat dhuha, berlatih untuk memohon ampun kepada Allah dan berlatih untuk menangis ketikamana kita membaca al-Quran atau sedang solat. Iman perlu dilatih. Itulah yang akan menjadikan batang pohon keimanan kita tadi mampu untuk mendaki hingga menuju ke syurga Allah!


"Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari padanya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan." 
[QS Al-An’am, 6:122]

"Maka, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada cahaya  (Al-Quran) yang telah Kami turunkan. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."  
[QS At-Taghaabun, 64:8]

Dan, yang terakhir, berlatihlah untuk menanam benih keimanan dalam diri mak ayah kita, adik beradik kita, kawan baik kita, kawan-kawan kita dan masyarakat kita.

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” 
[QS At-Tahrim, 66:6]

Yakinlah, Allah bersama kamu.

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk (mencari keredhaan) Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”  
[QS Al-Ankabut, 29:69]

Sedangkan tanah yang kering kontang mampu menumbuhkan tanamannya. Inikan kekeringan di hati kita.. Takkanlah ia tidak mampu dibasahi dengan keimanan..

Harapan itu masih ada

"teruskan melangkah"
khir al-imtiaz
0454pm
27/10/2011

Comments

  1. nice enrty....alhamdulillah.....terbek punya

    ReplyDelete
  2. ayat surah al-hadid:16 mmg kena btg hidung saya..saya takut kalau saya cuba untuk tanam iman itu,iman itu akn runtuh balik.dan saya pasti,saya akan berubah kpd keadaan asal.nak berubah tapi pasti jd balik kpd diri yg asal.dh cuba tapi jd balik kpd diri yg jahil dan teruk.rasa seperti tdk dpr pertolongan..layakkah saya untuk berubah?saya ini seperti org fasik!

    ReplyDelete
  3. “Seorang telah melakukan dosa, lalu dia berkata: “Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku.” Lalu Allah SWT berfirman: “Hamba-ku telah melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya (dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya)”. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa … ampunilah dosaku.” Lalu Allah SWT berfirman: “Hamba-ku telah melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya (dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya)”. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa … ampunilah dosaku.” Lalu Allah SWT berfirman: “Hamba-ku telah melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.”
    [HR al-Bukhari dan Muslim, dan lafaz adalah lafaz Muslim]

    akh.. kita semua manusia, mustahil kita akan terlepas dari dosa.. mustahil apabila kita kata kita nak berubah, kemudian kita jadi terus macam malaikat.. iman mantain, tak bermaksiat dan sentiasa taat pada Allah.. kalau boleh, silakan, tapi, ana rasa mustahil.. kerana kita manusia..

    maka, aoa yg patut kita buat?

    teruslah berasa malu dengan diri kamu.. kerana malu itu membuktikan kamu masih mempunyai iman di dalam diri..

    dan malulah pada Allah.. itu yg paling utama..

    teruslah perbaiki diri.. sirami ia dengan taubat..

    terbuat lagi dosa? maka teruslah malu dan teruslah bertaubat..

    terbuat lagi? maka teruslah malu dan teruslah bertaubat..

    sampai bila? sampai kita mati.. kerana lepas dah mati, insya-Allah, kita dah xle nak buat maksiat dah..

    kita sama-sama berdoa untuk diri saya dan kamu, agar kita mati dalam keadaan kita sedang bertaubat.. insya-Allah..

    ReplyDelete
  4. alhamdulillah,, iman sememangnya perlukan latihan. syukran atas perkongsian ..

    ReplyDelete
  5. Subhanallah, sungguh entry mampu memberikan banyak manfaat kepada setiap yang membacanya..
    Terima kasih Ustaz Khirjohari.. :)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?