Skip to main content

Khalifah Ganti Superman


Organisasi bisnes perlu ketepi superhero Barat dan amal kepimpinan berpasukan untuk kecemerlangan.


Paling penting: Jangan biarkan berakarnya sikap menurut membuta tuli dan ’taat sia-sia’ yang boleh merosakkan kepentingan jangka panjang organisasi.


Andai ditanya kepada anak kecil, nak jadi kuat macam siapa, pasti ramai yang menjawab, ”Superman!”. Anak-anak pasti mengenali Superman sebagai superhero perkasa yang memiliki kuasa hebat dan luar biasa. Terbang melayang di udara, mengangkat kereta, gagah dan kebal, menangkis peluru dan membengkokkan besi, membasmi jenayah dan menyelesaikan segala masalah. Semuanya mudah bagi Superman.


Ajaib bukan? Watak hebat ciptaan Barat begitu menguasai minda anak Melayu sehingga mereka lupa watak superhero bangsa mereka misalnya sama ada mitos seperti Badang dan Hang Tuah berlima saudara, mahu pun Raja Haji, Panglima Salleh dan lain-lain yang terbukti kegagahan mereka dalam sejarah perjuangan Melayu. 

Namun, Barat berjaya mencipta imej khayalan ini (termasuk superhero lain) sehingga menjadi begitu sinonim dan melekat dalam jiwa Melayu moden. Tambah pelik apabila anak Melayu tetap memilih Superman sebagai idola biarpun ia janggal dengan memakai seluar dalam berwarna merah di luar!


Yang ingin saya sampaikan dalam rencana ini sebenarnya berkaitan dengan watak Superman dan hubungkait dengan pengaruhnya terhadap corak kepimpinan dan pengurusan organisasi.

Sesungguhnya, tidak hairan jika terdapat pemimpin organisasi yang berminat mempunyai kelebihan seperti Superman. 


Banyak masalah boleh selesai. Lebih penting, keupayaan diri yang luar biasa memberi kelebihan dan kuasa penuh pada dirinya. 


Pemimpin mana yang tidak mahu diberi kuasa penuh, kebebasan bertindak dan tumpuan segala sanjungan dan menjadi tempat pergantungan harapan semua dalam organisasi. Kedudukan istimewa menjadikannya kebal dan sebagai pemimpin organisasi ia tidak terancam atau digugat oleh sesiapa.


Perhatikan betapa watak Superman ini, sekalipun satu khayalan dan ciptaan imaginasi, sebenarnya boleh merosakkan. 



Pertama, ia sengaja diperkenalkan orang kulit putih di zaman ketika agenda supremasi berteraskan warna kulit sengaja ditonjol untuk menanam semangat mendominasi dunia, menguasai dan membolot segala-galanya bagi kepentingan mereka. Ia membuat kita berwatak rakus dan serakah. 


Yang tidak kurang penting, watak Superman juga menegaskan nilai masyarakat Amerika khasnya yang mendewa dan mengutamakan kepentingan individu di atas segala yang lain. Ia menggalakkan sikap nafsu-nafsi. Nilai individualistik ekstrem ini sebenarnya ditonjolkan menerusi watak Superman yang seharusnya kita di Timur, khasnya di kalangan umat Islam perlu berhati-hati dan waspada.


Bahayanya, organisasi dalam masyarakat Islam, sama ada dalam politik, pentadbiran, bisnes, korporat, NGO dan organisasi sosial kerap dilihat cenderung ke arah mempelajari dan meniru budaya organisasi seperti ini, kadang kala tanpa disedari. Di sini antara punca timbulnya watak ’little Napoleon’ dan ’raja-raja kecil’ dalam organisasi yang sering diperkatakan hari ini.


Ini berlaku kerana pengikut dan orang bawahan dengan secara tidak langsung dan tanpa berfikir, mengizinkannya. Dalam buku ’Membujur Lalu….” yang saya tulis pada 1996, pernah saya nyatakan bahawa dalam konteks masyarakat Malaysia dan Melayu khasnya, terdapat tiga corak budaya warisan yang mempengaruhi pembentukan budaya organisasi, terutama yang majoriti anggotanya adalah Melayu. Tiga corak budaya ini adalah budaya melukut, feudal dan penjajahan. 


Budaya melukut jika menjadi ciri mendominasi suasana kerja dalam organisasi, mudah sekali menjadikan pemimpinnya Superman. Istilah budaya melukut, diambil daripada perumpamaan Melayu ”seperti melukut di tepi gatang” merujuk kepada sikap yang terlalu merendah diri sehingga menganggap diri terlalu kerdil, tidak penting dan langsung tidak berupaya membawa apa-apa kesan atau pengaruh kepada sesebuah organisasi. Contoh terbaik sikap melukut ialah mereka yang mengasingkan diri dan tidak sanggup ke depan untuk menyuarakan idea dan pandangan masing-masing. Malu, segan, takut, bimbang ditertawakan, hina dan sebagainya bercampur-baur sehingga membunuh keyakinan dan fikiran. 


Orang yang membawa sikap melukut adalah orang yang mengizinkan dirinya dilabel ”kakitangan” dalam organisasi. Hampir semua organisasi dalam masyarakat hari ini menggelarkan anggotanya sebagai ”kakitangan”. Dalam suasana begini, tidak hairan ’little Napoleon’ dan Superman bermaharajalela, kerana majoriti dominan dalam organisasi mengambil sikap tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengubah suasana.


Dalam Johor Corporation (JCorp), sebagai sebuah organisasi korporat pelbagai bisnes melibatkan lebih 280 syarikat dan 65,000 pekerja, saya kerap ditanya bagaimana menghasilkan keberkesanan dan kecemerlangan. Soalan paling kerap ialah bagaimana cara organisasi besar dan kompleks ini dikawal rapi supaya sentiasa cergas, dinamis, berdaya kreatif dan inovatif, sehingga menghasilkan prestasi tinggi. Semua ini memerlukan usaha gigih dalam banyak hal. Jawapan mudah dan ringkas yang kerap saya berikan ialah pertama, JCorp mengharamkan ’kakitangan’, dan kedua, JCorp tegas dalam mengenepikan kepimpinan bercorak ’Superman’.


Sekalipun jawapannya berbunyi mudah, proses mencapai sepenuhnya kedua matlamat ini, (satu ditujukan kepada perubahan menyeluruh sikap di kalangan anggota bawahan, dan yang kedua pembaharuan sikap di kalangan kepimpinan JCorp), adalah satu proses pembaharuan nilai budaya organisasi yang sangat mencabar. Untuk memudahkan pelaksanaannya, semua perubahan dan pembaharuan yang JCorp lakukan dibuat selari dan serasi dengan nilai asas yang digariskan Islam. Organisasi seperti JCorp yang sebahagian besar anggotanya adalah Muslim, tidak dapat lari daripada membina kekuatan berteraskan nilai Islam.


Justeru, untuk berjaya dan mencapai kecemerlangan dalam pengurusan organisasi menuntut usaha tegas, tersusun dan teratur yang ditujukan khas untuk mengikis dan mengenepikan semua corak budaya warisan asing, negatif dan bertentangan dengan Islam. Sikap mengiktiraf diri sebagai ’kakitangan’ segera digantikan dengan semangat ’insan kamil’, dan Superman digantikan dengan ’khalifah’! Kepimpinan dalam organisasi harus menggalakkan semangat jatidiri, keberanian dan kegagahan luar biasa di kalangan anggota sehingga mencapai maksud dan hakikat bahawa mereka sebenarnya ’khliafah’ dalam bidang masing-masing.


Paling penting, jangan dibiarkan berakarnya sikap menurut dan mengikut membuta-tuli serta ’taat sia-sia’ yang boleh merosakkan kepentingan jangka panjang organisasi. Keputusan yang mempunyai kesan strategik dan jangka panjang terhadap kepentingan organisasi seharusnya telus dan melibatkan seramai mungkin anggota agar benar-benar membawa impak positif terhadap pembaharuan sikap, selain menjayakan kebulatan serta keutuhan organisasi.


Budaya korporat yang mengutamakan percambahan ilmu pengetahuan di segala peringkat dan lapisan juga perlu diutamakan dan untuk itu, pemimpin tidak boleh berwatak Superman. Kerana sesungguhnya Superman tidak langsung berminat membimbing dan mencurahkan ilmu pengetahuan dan hikmah pengalaman kepada sesiapa pun orang lain dalam organisasi. Bagi Superman, adalah sia-sia ilmu dan keterampilan yang ada padanya hendak disampaikan kepada orang lain, kerana kelebihan cuma terdapat pada peribadinya sendiri. Kalau ada pun yang boleh menjadi seperti mereka itu pun daripada kalangan Superwoman atau keturunan darah mereka seperti Superboy atau Supergirl. Sesungguhnya tiada seorang pun orang lain yang boleh menyamai mereka!


Tegasnya, adalah malang sekali bagi organisasi yang mendapat orang berwatak Superman sebagai pemimpin. Apa akan terjadi kepada organisasi dan perjuangannya akhirnya apabila ia tiada? Tidak seperti Superman hasil karya imaginasi, semua pemimpin akan beredar, atau akan menghadapi mati akhirnya. Ketika itulah organisasi terlibat dan seluruh perjuangannya akan tergugat. Di sinilah punca utama kenapa Melayu dan umat Islam amnya tidak dapat menghasilkan organisasi besaran dan korporat gergasi yang berdayatahan melewati beberapa generasi. Di sinilah juga tewasnya kita di bidang bisnes dan ekonomi kepada Barat dan negara maju lain, apabila mereka terus kedepan mendapatkan manfaat sepenuhnya daripada kesinambungan usaha berorganisasi zaman berzaman.


Di JCorp, kami sangat memberi perhatian terhadap isu ini, supaya pencapaian korporatnya dapat terus berpanjangan. Inilah sebab utama JCorp memilih untuk mewakafkan kepentingannya. Inilah juga sebab watak kepimpinan di JCorp tidak mencontohi watak Superman. Kuasa dan tampuk kepimpinan tidak dipusatkan kepada seorang CEO sahaja dipuncak syarikat, bahagian bisnes dan organisasi. Keutamaan diberi kepada usaha membina barisan pemimpin bercorak kepimpinan berpasukan atau team leadership. Sekalipun bertindak dalam kumpulan, sistem pengambilan keputusan di JCorp mengizinkan CEO di peringkat bahagian bisnes masing-masing bertindak secara autonomi dalam konteks amalan syura.


Paling penting, dalam mengutamakan kesinambungan untuk mengekalkan kepentingan bisnes, aset dan harta korporatnya kekal berpanjangan untuk menfaat jangka panjang bangsa, agama dan negara, JCorp dengan tegas telah mengambil langkah untuk mewakafkan hak milik saham dalam syarikat strategiknya. Kenapa wakaf? Kerana JCorp bukan organisasi pimpinan Superman yang individualistik, rakus dan terlalu berkepentingan peribadi. Kerana JCorp mengutanakan jatidiri Melayunya, dan berjiwa Islam.


Dengan demikian, dalam konteks budaya korporat amalannya selama ini, sangat penting budaya syura dan nilai ’khalifah’ atas semangat Jihad Bisnes JCorp serta proses organisasi yang dibina dan dipupuk berlandaskan tali ikatan Islam yang telah memberikannya kekuatan dan kegagahan bersaing di pasaran sehingga menghasilkan kecemerlangan selama ini, diterus dan dikekalkan. 


Jangan biarkan watak asing mengambil alih teraju kepimpinan organisasi seperti JCorp. Mana-mana pemimpin yang didatangkan dari luar JCorp tidak bersedia menjiwai perjuangannya serta aspirasi Jihad Bisnesnya, seperti sedia tertanam di sanubari barisan pemimpin pelapisnya. Jika makhluk asing seperti Superman di bawa masuk juga, iaitu jika amanah kepimpinan tidak diserah kepada ’yang ahli’ seperti yang dianjurkan oleh Islam, menuurut maksud Hadis, kita cuma perlu menantikan kehancuran usaha atau kemusnahan organisasi terbabit.


Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Bekas CEO Johor Corporation (JCorp) 
28 Julai, 2010

Comments

  1. tan sri ali hasyim ada jiwa usahawan melayu utk bantu melayu, moga hasrat beliau tercapai. insyaallah.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

“Salam. Saya rasa saya semakin jauh dengan Allah.” Rasa? Jauh? Jangan!!! Sebenarnya. Perasaan semakin jauh dengan Allah itu adalah satu perasaan yang perlu kita syukuri. Kerana kita masih lagi ada perasaan dengan Allah ‘azza wajalla . Kalau kita dapat lihat dalam realiti dunia sekarang, masyarakat kita ..secara umumnya.. sangat jauh daripada Allah SWT. Mereka jauh dari segi penghambaan diri kepada Allah SWT dan mereka jauh dari segi ketaatan kepada Allah SWT. Lebih malang lagi apabila perasaan semakin jauh dari Allah SWT itu tidak pernah terlahir dalam diri mereka hinggakan mereka merasa tenang dan terus menjauhkan diri mereka dari Allah SWT, dari Al-Quran. Jadilah mereka seperti orang-orang yang pernah menerima kitab sebelum kita, iaitu Yahudi dan Nasrani. Orang Yahudi dan Nasrani juga pernah menerima kitab. Taurat dan Injil. Tetapi, apabila mereka tidak menitik beratkan lagi nilai-nilai kekhusyukan penghambaan diri pada Allah dan tidak lagi mematuhi apa yang di...

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Umar RA berkata, “Aku mendengar Nabi Kalian besabda,  “Sesungguhnya Allah mengangkat dan menurunkan suatu kaum dengan Kitab ini.”  [HR Muslim] ayat-ayat cinta yang agung Kita telah mendapat bukti sejarah bahawa selama kita berpegang teguh kepada Al-Quran, selama itu pula kita akan meraih kemenangan; sebaliknya, selama kita meninggalkan Al-Quran, kita akan terhina.  Pada abad ke-8 H, pengamalan Al-Quran pernah diabaikan. Maka datanglah kelompok ar-Rafidhah membonceng kekuatan Tartar dari Mongol dipimpin Genghis Khan. Dalam tempoh lapan hari, lapan ratus ribu orang tewas terbunuh, masjid-masjid luluh lantah, mushaf-mushaf Al-Quran dibakar, dan tentera Tartar membasmi anak-anak dan wanita kita!  Kembalilah wahai generasi muda dan tetua umat kepada Al-Quran, kembalilah kaum lelaki dan wanita umat ini kepada Al-Quran! Hidupkan rumah kalian dengan Al-Quran, bangkitkan kalbu kalian dengan Al-Quran, dan ramaikanlah hati kita dengan Kitab Allah! Semoga ...

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?

Kehidupan adalah sesuatu yang abstrak dari kaca mata seseorang yang tidak tahu apa tujuan hidupnya. Kehidupan pula merupakan sesuatu yang sangat objektif bagi mereka yang tahu apa tujuan hidup mereka.  Apabila merasakan hidup ini seolah-olah tiada makna, itu beerti dia tidak tahu apa sebenarnya tujuan hidupnya. Seperti kita membaca buku kimia, tetapi tidak tahu apa tujuan kita membacanya. Tiada siapa pula yang menerangkan kepada kita apa tujuan kita membaca. Maka kita akan merasakan benda itu sia-sia dan tiada makna, dan pasti kita akan meninggalkan pekerjaan tersebut kerana perkara itu tidak membawa apa-apa makna dalam kehidupannya berbanding main games, ber couple atau  stay up tengok movie yang for sure dapat memuaskan hawa nafsu dengan alasan release tension kononnya. Mengapa hidup perlu ada tujuan?  Segala yang berlaku itu pastilah ada tujuannya, tidak akan saja-saja ada. Sedangkan tahi di tepi jalan pun ada tujuan kenapa ia diciptakan di situ, ...