Monday, 31 October 2022

Musim Cuti Bagi Penuntut Ilmu


Hantaran ini hanya sekadar nasihat untuk sahabat-sahabat yang pulang bercuti ke rumah masing-masing atau jika pelajar luar negara yang bercuti pulang ke Malaysia.

Dalam kelas matapelajaran Mantiq di Kuliah Dakwah Islamiah pada hari ini bersama Syeikh Dr Mustafa Murad, syeikh mengambil sedikit masa bercerita satu kisah di luar tajuk sebagai iklan antara topik yang dibahaskan.

Iaitu, Al-Azhar pada zaman dahulu, pengajian mereka sepanjang tahun, bukan ada fasa satu dan fasa dua seperti sekarang. Mereka akan belajar sepanjang tahun sehingga bulan Syaaban, dan akan bercuti pada bulan Ramadhan sehingga hari kelima belas Syawal. Kenapa?

Jawapan yang diberikan oleh pelajar adalah pelbagai..


Jawapan syeikh ialah, 

"Supaya penuntut-penuntut di al-Azhar ada masa untuk pulang ke kampung masing-masing dan menyampaikan dakwah dan mengajar masyarakat."

Tambahannya lagi..

"Bulan Ramadhan ialah bulan di mana orang ramai-ramai pergi ke masjid-masjid, itu ialah peluang untuk mereka mengajar dan berdakwah kepada manusia.."

Kemudian ada pelajar yang bertanya, kenapa sehingga 15 Syawal? Syeikh menjawab;

"Kerana perjalanan mereka tidak semudah hari ini. Mungkin menggunakan kapal di Sungai Nil, atau kafilah, dan lain-lain."

 

Suasana transit di Doha, Qatar, semasa pernerbangan terakhir dari Kaherah ke Kuala Lumpur kerana sudah graduasi.


CUTI IALAH PELUANG BERDAKWAH

Apa yang kita boleh ambil istifadah (manfaat) daripada kisah yang disampaikan oleh Syeikh Mustafa tersebut? Banyak. Antaranya yang saya fikirkan ialah;

Mereka pulang ke kampung mereka bukan semata-mata untuk khusus beribadah atau bercuti bersama keluarga sahaja. Tetapi mereka pulang untuk mengajar ilmu dan menyampaikan dakwah.

Katakanlah, jika kita pulang raya Aidil Fitri atau cuti musim panas di rumah (khususnya di Malaysia), apakah matlamat kita? Bermatlamatkan dakwah atau bermatlamatkan apa?

Sebaik sahaja bermula cuti semester atau tahunan, apa yang kita rancang? Menziarahi pasaraya (shopping complex)? Duduk diam di rumah tenangkan fikiran? Simpan semua kitab-kitab dan buku-buku di dalam kotak? Atau tidur tidak bangun-bangun sampai buka semester? Marathon drama dan filem? Re-union sekolah?

Ataukah kita terus mulakan perancangan dan tindakan-tindakan untuk mengajarkan ilmu setakat yang sudah dipelajari, menyampaikan dakwah kepada keluarga dan masyarakat serta mengubah dan meningkatkan kefahaman mereka mengenai Islam, atau menyambung kelas pengajian luar universiti, atau melakukan kerja amal dan sukarelawan untuk berkhidmat membantu masyarakat meningkatkan kualiti kehidupan dan pendidikan mereka, juga melaksanakan kerja-kerja ekonomi yang mampu dimanfaatkan untuk ummat?


TIADA MUSIM CUTI DALAM BERAMAL

Cuti yang ada bagi seorang pelajar (khususnya Azhari) yang memahami Islam itu seharusnya berbeza dengan yang lain. Bak kata murobbi saya yang dihormati, al-akh Dr Mohd Hizul, 

"Amal dan ibadah itu tiada cuti,".

Tentu sahaja, tidak salah untuk berehat atau bertemu rakan atau aktiviti-aktiviti keluarga yang lain, tetapi matlamat utama menjadikan Allah dan agama sebagai tujuan utama jangan diketepikan. Jika masa bersama keluarga semasa cuti sudah kita rancang sehabisnya, bagaimana pula perancangan masa untuk dakwah dan tarbiah semasa cuti?


قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Katakanlah, “Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam,
[Surah Al-An'am, 6 : 162]

Sunday, 30 October 2022

Aku Tidak Tahu Nabi Mencintaiku atau Tidak

Aku terbaca hadis dalam Musnad Imam Ahmad no. 17113 semalam mengenai saat-saat kewafatan seorang sahabat Nabi Muhammad ﷺ yang mulia, iaitu Saidina Amru bin Al-Ash -radhiAllahu anhu-.


Anaknya Abdullah bin Amru -radhiAllahu anhu- berkata sesuatu ketika melihat keadaan ayahnya;


يَا أَبَا عَبْدِ اللَّهِ مَا هَذَا الْجَزَعُ وَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُدْنِيكَ وَيَسْتَعْمِلُكَ

Wahai Abu Abdullah (iaitu Amru bin Al-Ash), "Keresahan apakah ini? Bukankah Rasulullah ﷺ benar-benar rapat dengan engkau dan baginda juga telah memperkerjakanmu (memanfaatkanmu)?"

Aku terasa sebak dan air mata hampir mengalir ketika membaca dia mengatakan;


 وَلَكِنِّي أَشْهَدُ عَلَى رَجُلَيْنِ أَنَّهُ قَدْ فَارَقَ الدُّنْيَا وَهُوَ يُحِبُّهُمَا ابْنُ سُمَيَّةَ وَابْنُ أُمِّ عَبْدٍإِنِّي وَاللَّهِ مَا أَدْرِي أَحُبًّا ذَلِكَ كَانَ أَمْ تَأَلُّفًا يَتَأَلَّفُنِي

"Sebenarnya aku demi aku tidak tahu (Nabi ﷺ dekat dan memanfaatkankanku) itu dari kecintaan baginda kepadaku atau hanya sekadar toleransi (atau keharmonian) yang diberikan kepadaku? Tetapi aku bersaksi atas dua orang laki-laki, meskipun mereka telah meninggal namun Baginda ﷺ mencintainya; Ibnu Sumayyah (Ammar bin Yassir) dan Ibnu Ummu 'Abd' (Abdullah Ibnu Mas'ud)."


Istanbul, kota bersemadi jasad sahabat Nabi SAW yang sangat mulia, Abu Ayyub al-Ansari


Ya Allah. Begitulah risaunya seorang sahabat yang padahal sempat hidup bersama Rasulullah ﷺ, mungkin sempat ketawa menangis suka dan duka bersama. Sempat berjihad bersama. Bahkan diarahkan oleh Rasulullah ﷺ dengan beberapa pengarahan secara langsung. Sahabat lain juga menjadi saksi kedekatan mereka berdua.


Selepas kewafatan Baginda Nabi ﷺ, Amru Bin Al-Ash malah masih terus 'berfungsi' dan 'difungsikan' untuk Islam sehingga menjadi antara watak utama pembukaan Islam di Shams (Syria, Lubnan, Palestin, dan Jordan) dan Mesir serta sehingga ke Tripoli (di Libya).


Tetapi dia masih ragu-ragu! Ragu-ragu sama ada adakah cinta Nabi ﷺ bersama dengannya atau tidak! 😭 Hidup sedekat zaman dan tempat tetapi masih lagi tidak tahu Nabi cinta padanya atau tidak.


Kita ni jauh pada zaman dan tempat Nabi ﷺ. Belum lagi jika mahu dibandingkan amal dengan sahabat bernama Amru itu. Adakah cinta Nabi untuk kita?


Kita kadang-kadang buat sesuatu kerana kita rasa Nabi SAW akan suka. Tapi benarkah baginda SAW suka?


Ya Allah. Kami terlalu selesa dengan kehidupan kami sehingga kami lupa adakah Engkau dan Nabi-Mu ﷺ sedang mencintai kami atau tidak.

Tuesday, 31 December 2013

Seorang Pemuda..

Seorang pemuda..

Seharusnya ia membina dan membangkitkan semangat daripada setiap permasalahan untuk diselesaikan..

Baik masalah pada akademik, pengetahuan am, penindasan, kezaliman, kehancuran moral dan lainnya..

Hanya orang tua sahaja yang apabila mendengar masalah, "Alah, biasalah tu~ Remaja~", kemudian menyerahkan tanggungjawab atau pekerjaan pada orang lain dan dia berlepas tangan.

Tidak! Sebagai pemuda, kita kena berfikir bagaimana mahu menyelesaikan masalah-masalah tu..

Bukan duduk menunggu takdir, menunggu malaikat Jibril datang membawa tentera atau mengharapkan bumi terbalik atau angin taufan menghancurkan, tapi tidak ada satu peluh pun yang terkeluar dek usaha kita..

Hanya budak-budak hingus sahaja yang membiarkan atau melarikan diri daripada masalah.



Seorang pemuda..

Kitalah generasi penerus.. Kitalah generasi pengganti..

Jika kita tidak ada rasa untuk berubah, maka kita akan menjadi generasi penerus sistem kehidupan hari ini yang melahirkan manusia yang tidak kenal pencipta, merosakkan diri sendiri, mengajak manusia menjadi jahat, mengenepikan hukum-hukum Allah, dan jauh sekali daripada berusaha menjadi mujahid untuk menjadikan Islam sebagai syiar dan syariat sejagat..

Jika kita mahu berubah, maka kitalah yang akan menggantikan generasi sekarang, untuk kita melahirkan generasi yang kenal Pencipta, sentiasa memperbaiki diri, mengajak orang lain, menegakkan daulah Islam dalam diri mereka dan tertegak daulah Islam atas negara mereka.. Motto kehidupan mereka ialah "Dakwah dan Tarbiyah".. Sampailah, setiap pergerakan masyarakat itu adalah kerana dakwah..



Seorang pemuda..

Kitalah pencorak nilai-nilai ummah..

Jika mata pensel warna sahaja sudah tidak betul, macam mana kita mahu mencorakkan ummah ini sesuai dengan corak binaan generasi al-Quran dan generasi binaan daripada madrasah Nubuwwah?

Kita begitu semangat nak mencorak ummat.. Tapi, atas manhaj apa? Dengan celupan apa? Apakah celupan itu kita ambil daripada mata air yang jernih atau bagaimana?



Seorang pemuda..

Kitalah agen reformasi atau perubahan..

Kita dapat saksikan kejatuhan pemerintah zalim di mana-mana negara seperti Indonesia, Mesir, Syria, Tunisia, dan lain-lain berpunca daripada gerakan mahasiswa atau pemuda..

Mereka tidak tenang dalam ketidak-adilan, mereka resah dalam penindasan dan kezaliman..

Tetapi, runtuhnya sebuah tamadun juga berpunca daripada kejatuhan nilai-nilai akidah, moral, dan macam-macam lagi pada pemuda..

Lemah pemudanya..

Lemahlah masa hadapan negaranya..

Bagaimana Islam mahu dimenangkan oleh pemuda-pemuda lemah?

Kalah dengan godaan wanita jahat, keluarga, harta benda, perniagaan.. Huh.. Kadang-kadang, kalah dengan perasaan atau emosi diri sendiri! Haih..

Maka kitalah! Para pemuda! Harus bangkit dengan 'cahaya' al-Quran, berjalan ditengah-tengah masyarakat! Kita menjadi pencorak mereka, bukan mereka mencorak kita..

Maka, kita tidak boleh bergerak dengan tangan kosong..

Kita perlukan bekal..

Bekalan apa?

Bekalan pertama.. Tarbiyah 'Fitriyyah' atau tarbiyah Islamiyah.. Tarbiyah yang membentuk hati kita untuk menjadi sejahtera.. Sentiasa ikhlas dan tawadhu', jauh daripada dosa dan maksiat.. Hati yang mampu menterjemahkan ilmu dan kefahaman dalam bentuk amal..

Bekalan kedua.. Dengan 'hikmah', ilmu dan kefahaman.. Hikmah agar kita mampu menyedarkan manusia untuk kembali kepada sistem dan aturan Islam sama ada rela atau terpaksa.. Ilmu sebagai bahan bakar, kefahaman sebagai bahan bakar yang telah diproses, untuk dipasarkan dalam bentuk amal..

Bekalan ketiga.. Akhlak atau karisma sebagai seorang 'al-qiyadah' pemimpin dan juga 'jundi' askar.. Kita jadi hamba pada Allah, kuli kepada dakwah.. Kita 'equip' diri kita dengan kekuatan mental dan fizikal, akidah yang sejahtera, ibadah yang shahih dan banyak, akhlak yang mantap, kita luaskan lagi pengetahuan kita, kita mampu berdikari, sentiasa bermujahadah melawan nafsu, sangat menjaga waktu, tersusun urusan-urusan kita, dan kita cuba menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang lain..

Kenapa kita perlukan bekal-bekal ini? Apa tujuannya?

Agar kita berjaya menjadi seorang pemuda yang berjiwa dengan jiwa mujahid.. Kita juga menjadi pemuda yang bijaksana dan produktif..

Untuk kita bergerak di tengah-tengah masyarakat.. Kita celup habis mereka semua itu dan diri kita sekali dengan al-Quran dan sunnah Nabi!

Inilah pemuda pemilik dan pemikul Risalah..

Kita?



Malulah kita dengan pemuda dan pemudi Mesir, mereka masih bertungkus lumus mahu mengembalikan hak mereka yang dirampas, bahkan mereka tidak takut kepala mereka ditembusi peluru. Pergerakan dakwah Ikhwan Muslimin diharamkan selama lebih 60 tahun, bergerak dalam kediaman dan kesunyian. Tetapi dakwah di Mesir mampu menghasilkan para pemuda dan pemudi yang bukan setakat mampu berkata-kata, tetapi mereka mampu untuk mati kerana kata-kata.

Peluang dakwah dan tarbiah di Malaysia sangat luas dan selesa, kita tiada tekanan serta ancaman seperti penjara 17 tahun dan ratusan sebatan dan tumbukan percuma. Halangan paling besar cuma masalah 'study' atau restu ibubapa. Tetapi, kenapa kadar kejahiliahan masyarakat kita di Malaysia masih lagi sama bahkan semakin membusuk? Bukan kerana orang jahat semakin ramai, tetapi kerana para pemuda yang mengemban beban dakwah ini mandul!


--
MOHAMAD KHIR BIN JOHARI
Perubatan dan Surgeri, Universiti Ain Shams, Mesir
Alumni Maktab Sultan Abu Bakar (English College) dan SM Sains Muar
Emel: mohamadkhir.johari@gmail.com

Thursday, 8 August 2013

Syawal: Sebuah Harapan Kembali Kepada Fitrah

SYAWAL DATANG LAGI

Alhamdulillah.. Ramai orang bergembira menyambut kedatangan Syawal sambil (kononnya) menangisi pemergian Ramadhan..

Kita imbau sebuah firman yang akan menjadi legasi bagi sebahagian daripada kita,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.."
[QS al-Baqarah, 2:183]


Semua daripada kita sudah sangat maklum bahawa hasil yang DIHARAPKAN daripada tarbiah Ramadhan ialah TAKWA.. Maka, seperti semua sudah maklum juga iaitu kejayaan sesebuah program itu bukanlah dilihat cuma semasa program itu berlangsung, tetapi kita akan lihat setelah program itu selesai.

Kemudian, setelah sebulan kita mengharungi kepayahan demi kepayahan, kesukaran demi kesukaran, maka kemudiannya datanglah satu hari yang boleh diumpamakan seperti saat mulanya pembebasan!

Bebas untuk kita kembali kepada fitrah..


Cuma, apa sebenarnya makna kita kembali kepada fitrah? 

Wednesday, 24 April 2013

Takwa: Andai Seorang Kader Dakwah Itu




بسم الله الرحمن الرحيم


إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون


Kenapa kita perlu takut pada Allah?

Terlalu banyak sebab untuk kenapa kita perlu takut pada Allah. Pertama, kerana kita tidak tahu kita mati dalam keadaan apa. Boleh jadi sekarang kita berislam dengan sangat baik, tetapi bila sampai tarikh kematian kita, malah kita berpaling daripada Allah. Kedua, kerana jumlah amal kita yang terlalu sedikit jika mahu dibandingkan dengan jumlah dosa. Ketiga, kerana jika amal kita terlalu banyak sekalipun, kita mungkin menjadi muflis di akhirat kerana dosa-dosa kita di dunia dengan manusia lain hinggakan amal yang setinggi gunung menjadi tiada nilai kerana diambil oleh orang lain, dan lebih malang lagi dosa-dosa orang lain pula yang ditambahkan kepada kita. Keempat, boleh jadi bukan ketiga-ketiga sebab di atas, tetapi masalahnya pada keikhlasan kita dalam beramal pula.


Maka, ketakwaan itu perlu dibina terutamanya bagi seorang yang berusaha menjadi kader dakwah. Kerana apa?

Saturday, 9 February 2013

Ikhlas: Bukan Hanya di Bibir




بسم الله الرحمن الرحيم


إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمِ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

وشر الأمور محدثاتها وكلّ محدثة بدعة , وكلّ بدعة ضلالة , وكلّ ضلالة في النار


Sikap bentuk seseorang itu akan dibentuk oleh keyakinannya. Apa yang dia yakini, itulah yang akan membentuk peribadi dan mewarnai kehidupan dia. Tentu sahaja, bagi seorang muslim, keyakinan kita akan berpaksikan dua kalimah yang tidak asing lagi, iaitu kalimah,


أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أللهُ وأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله


Ketika kita menyatakan saksi, ikrar dan janji bahawa لاَ إِلَهَ إِلاَّ أللهُ, maka jika kita takut, kita hanya akan takut pada Allah. Kita hanya akan menggantungkan hidup kita hanya pada Allah. Kita akan memulangkan segala permasalahan kita hanya pada Allah, kita hanya akan memohon rezeki pada Allah dan segala-galanya kita akan pulangkan atau paksikan hanya pada Allah.

Inilah yang akan membentuk peribadi seorang Muslim dan mewarnai kehidupannya. Dalam dunia yang serba sulit dan pelik ini, ramai antara kita yang solatnya menghadap Allah, tetapi apabila mahu laris niaga malah menghadap dukun.

Perlu kita sedari bahawa hanya Allah-lah tempat tujuan kita beribadah. Solat kita kerana Allah, zakat kita kerana Allah, puasa kita kerana Allah, bahkan seluruh kehidupan kita semuanya kerana Allah.

Kerana kadang-kadang ada di antara kita yang beribadah kerana mahu dilihat. Dia solat agar orang-orang di sekeliling memujinya. Dia berdakwah agar orang kenal dia sebagai seorang yang hebat berceramah. Ketika dia bersedekah, dia berharap agar ada awek-awek yang melihat dan memuji sedekahnya.

Kalau kata Almarhum KH Ustaz Zainuddin MZ,


"Tika sudah kita menggantungkan sesuatu itu bukan pada Allah, maka siaplah untuk kecewa."

Friday, 1 February 2013

Bila Iman Terjatuh






“Sebagai da’ie, kita kena pastikan kita tidak bermaksiat! Kikis habis semua karat jahiliah! Jangan bagi ruang walau sedikit pun kepada syaitan untuk memasuki hati kita dan merosakkan segala-galanya! Dakwah ini sesuatu yang mulia dan hanya orang mulia sahaja yang berhak memperjuangkannya!”

~kredit~
Itulah taujihat yang biasa kita dengar dalam halaqoh (lingkaran iman). Sehari dua kita pun bersemangat untuk menjaga iman kita, menjaga tahajjud kita, menjaga mata kita, menjaga tilawah al-Quran kita dan sebagainya. Tiba-tiba, masuk hari yang ketiga, semuanya berputar 180 darjah. Al-Quran entah hilang ke mana, tahajjud tinggal sejarah. Iman? Wara’? Apa benda tu?

Fenomena kejatuhan atau keruntuhan iman dalam diri seorang da’ie atau secara umumnya sebagai seorang Muslim itu sebenarnya adalah sesuatu yang terlalu biasa. Kerana apa biasa? Kerana seorang da’ie atau Muslim itu juga manusia! Ikut serta dalam tarbiyah bukanlah bermakna kita akan berubah menjadi malaikat yang sentiasa taat, sujud, tidak membantah, tidak bernafsu dengan manusia yang berlainan jenis dan sebagainya. Tetapi, tarbiyah ini mengajarkan kepada untuk agar selalu berwaspada terhadap perangkap-perangkap syaitan dan kita menjauhinya sejauh-jauhnya! Kita menjadikan syaitan sebagai musuh, bukan member, penasihat atau pemimpin kita!

Kerana apa? Matlamat syaitan bukanlah mahukan kita syirik atau berbuat dosa pada waktu sekarang, tetapi jauh lebih utama ialah dia mahu kita mati dalam keadaan kita sedang berbuat dosa. Bila kita akan mati? Entahlah, tapi yang penting saat tu makin dekat. Maka, syaitan memulakan usahanya dari sekarang untuk memastikan kita mati dalam keadaan yang hina.

Kita lihat dunia pada hari ini. Berapa ramai orang yang mati kerana masalah couple, masalah keluarga, masalah sumbang mahram, emak mencampak anak jatuh dari apartmen, suami tikam isteri, mati kemalagan kerana arak, mati kerana dadah dan bunuh mak ayah kerana dadah juga, mati kerana bergaduh sesama kumpulan gangster, mati kerana bunuh diri, mati kerana manusia, mati kerana mencari kepuasan, mati kerana bola, mati kerana artis, mati kerana macam-macam benda yang tidak boleh diterima akal waras!

Itulah yang dimahukan oleh iblis, syaitan dan rakan-rakannya. Kita mati bukan dalam keadaan kita sebagai orang yang berserah diri pada kehendak Allah (ISLAM).

Dakwah: Susahkah?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ “Hari Khamis free tak? Malam.”  “ Free . Kenapa?”  “Aku ada buat usrah malam tu, ...