TAIPING 10 Oktober 2011 - Perjalanan mencecah dua jam
sememangnya meletihkan. Menunggang LC pinjam dari ikhwah lain, semata-mata
untuk menghalaqohkan seorang mad’u yang sedang kebingungan. Pulangan dunia? Bukan
itu yang aku harapkan ..insya-Allah.. Tetapi, apalah sangat keletihan yang aku
rasa ini jika mahu dibandingkan dengan keletihan para sahabat yang berhijrah
dari Mekah ke Madinah yang sememangnya jauh, peperangan Dzaturriqo’ yang
membuatkan kuku para sahabat tercabut dan macam-macam lagi.
Setibanya di Masjid Daerah
Taiping, hujan terus lebat membasahi bumi tanpa memberikan sedikit ruang untuk
lantai tanah terbiar kering. Nasib baik aku sampai awal, walaupun di sisi yang
lain terpaksa menunggu selama 2 jam lebih kerana miscommunication tentang waktu
outing si mad’u. Aku benci menunggu.
Selesai solat, aku menunggu
sambil mendengar deruman air hujan yang memang lebat. Baring. Kemudian duduk.
Baring lagi. Duduk kembali. Air menitik atas beg aku. Basah. Bumbung masjid daerah pun boleh bocor?
Aku berpindah ke bahagian depan
sebelah kiri masjid. Melihat ke arah depan masjid dan mengagumi sebentar
keindahan yang terlihat. Sedang aku membaca beberapa helaian Al-Quran,
perhatianku dialihkan ke arah seorang lelaki bersongkok hitam menutup dahi, berbaju
kemeja putih, dan berseluar hitam. Aku melihat ke arahnya. Dia melihat ke arah
aku dan aku terus mengalihkan pandangan. Aku menyambung bacaan Al-Quran yang
terhenti tadi sambil ditemani hujan dan petir.
Anak mataku beralih semula ke arah
lelaki tadi. Melihatnya sedang duduk dalam posisi di antara dua sujud. Tapi
agak berlainan daripada biasa. Dia menghayun tangannya ke depan dan ke belakang
beberapa kali, kemudian dia sujud.
Aku bertanya pada hatiku sendiri,
‘Dia solatkah?’
Aku terus memerhatikan dia. Dia bangun dari posisi sujud dan
duduk kembali. Menghayunkan tangannya ke depan dan ke belakang sebanyak dua
kali dan kembali sujud. Jari kakinya ketika sujud tidak menyentuh lantai. Tambahan, aku agak pantang kalau melihat orang yang
sujud dengan merapatkan sikunya ke lantai kerana perbuatan itu ditegah oleh
Rasulullah SAW (rujukan),
tapi aku biarkan sahaja dahulu. Setelah dia sujud lebih dari 5 kali ..aku rasa..,
dia duduk kembali dan memberi salam sebanyak empat kali ke kanan dan ke kiri.
‘Hmm. Mazhab apa ini ya?’ Itu
saja konklusi yang aku mampu keluarkan setakat ini. Hehe.






