Thursday, 3 November 2022

Pengajian Agama atau Sains dan Teknologi?

Dunia kita hari ini ada dilema. Sekiranya cemerlang akademik, kita akan pergi ke bidang-bidang sains atau teknologi. Jika kita tercicir atau tiada rezeki untuk dapat keputusan cemerlang, bidang yang kita boleh ceburi terhad kepada bidang-bidang sastera. Salah satu daripada bidang tersebut ialah bidang pengajian Islam. Seberapa kerap kita jumpa pelajar cemerlang aliran sains 12 A1 kemudian mengambil bidang Usuluddin ataupun Syariah Islamiah? Ya ada, 0.001% mungkin?




Banyak faktor yang mungkin menyumbang kepada keadaan tersebut, antara yang saya boleh senaraikan ialah tiada keterhadan peluang tajaan, ketidakjelasan jaminan pekerjaan atau karier, atau semudah alasan tidak minat. Lambakan maahad-maahad atau sekolah-sekolah agama yang menggabungkan antara sains dan agama bahkan tahfiz juga nampaknya belum sangat mampu menghasilkan mereka yang sangat cemerlang dalam ilmu sains dan agama, kemudiannya mereka memilih untuk memasuki ke bidang agama. Kebanyakan mereka akan jadi doktor, jurutera, akauntan, dan lain-lain.


Ya, kita dapat memenuhkan ruangan kosong 'gap' selama ini iaitu kita sekarang sudah ada doktor yang hafal Al-Quran atau jurutera yang ada asas ilmu syar'ie yang bagus. Tetapi masih ada satu ruangan lompong yang masih belum terisi. Apa dia? Iaitu lulusan Pengajian Islam yang hafal Quran pakar fizik atau matematik atau lulusan Syariah Islamiah yang pakar biologi atau perakaunan.


Lebih dilema lagi, masih ada lagi pemikiran dalam masyarakat kita yang belum berubah daripada melihat sebagai agama dan dunia adalah dua perkara yang tidak mungkin sepadan. Jika mahu salah satu, maka salah satu perlu ditinggalkan. Sehingga wujudlah beberapa ibubapa yang risau jika anaknya yang belajar perubatan atau kejuruteraan yang mula berjinak-jinak dengan agama, ataupun sebaliknya iaitu menghalang anak belajar Bahasa Inggeris bahkan Matematik! Ini belum lagi cerita mengenai asalkan ada anak bermasalah akhlak sahaja terus dimasukkan ke pusat tahfiz atau seangkatan dengannya.  Lagi satu musibah.


Dunia pendidikan ini bukanlah dunia baharu. Dengan kemampuan dan kepakaran yang ada pada dunia hari ini, takkan kita masih belum ada solusi atau belum mampu menerima hakikat bahwa kita boleh mengadukan kesemuanya ke dalam satu sistem? Kenapa perlu dibeza-bezakan salah satu? Kenapa perlu cuma memilih salah satu?


Ada yang merasakan sains dan teknologi lebih penting. Ada pula yang merasakan pengajian agama lebih penting. Dia punya 'lebih penting' (for both parties sama je perangai) sampai pada tahap yang satu lagi tu membuang masa, tenaga, atau sampai tahap haram pun ada.


"Risau anak tak boleh mengira, tapi tak risau anak tak reti mengaji" Sekali lalu betul juga. Tapi kalau reti mengaji dan tak reti mengira, dia akan hidup dalam dunia yang sangat tidak praktikal. Sedangkan berapa banyak ayat al-Quran yang memerlukan kemampuan mengira (seperti ayat berkenaan infak (2:261), zakat, ketenteraan (8:41, 65-66), mirats atau pewarisan harta (4:11-12), dan lain-lain. 


Juga, 'zaman kegemilangan Islam' yang diulang-ulang ceritanya itu kebanyakannya berkaitan astronomi, falak, matematik, kejuruteraan, perubatan dan teknologi perubatan, dan lain-lain selain teknologi ketenteraan dan ekonomi. Dalam masa yang sama semua ulama-ulama tersebut juga hafal al-Quran bahkan lebih daripada sekadar itu pada sudut kafaah syariyyah mereka. Kita boleh telusuri sendiri biografi tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina atau Al-Khawarizmi secara mendalam.


Saya teringat ada sebuah dialog popular daripada mantan Presiden Indonesia, allahyarham BJ Habibie, (meninggal pada 11 September 2019) di Kaherah bersama mahasiswa Indonesia di Mesir,


"Iptek dan iptaq harus seimbang. Kalau cuma iptek, hmm..."


"Saya sering menceritakan, kalau Allah panggil saya dan berkata, "Kamu boleh pilih iptaq atau iptek, hanya boleh pilih, segera pilih! Tidak boleh dua-dua." Saya sekejap akan pilih, "Saya iptaq"." 


Kemudian beliau menyambung, 


"Tapi Allah, kalau kamu perkenankan saya, kasi saya dua-duanya, dalam keadaan seimbang dan berikan saya kemampuan untuk meningkatkan kedua-duanya kualitasnya." 


"Dan saya beruntung Allah memberikan kedua-duanya."


Siapakah Bapak BJ Habibie, salah seorang Muslim yang taat, juga ahli politik (Presiden Indonesia ke-3), dan dalam masa yang sama merupakan seorang jurutera dan aviation industrialist yang gemilang pada zamannya dengan kajian yang membuka mata dunia dan mengangkat industri penerbangan dunia ke sebuah paradigma yang berbeza daripada sebelumnya.


Bapak BJ Habibie bersama 1300 Masyarakat Indonesia di Kaherah, 6 Jun 2011


Di Mesir, kita ada beberapa pakar perubatan dan pembedahan yang dalam masa yang sama merupakan pakar juga dalam pengajian agama (dan melalui pendidikan formal serta informal) seperti Syeikh Dr Yusri Gaber al-Hasani antara yang paling popular. Syeikh Dr Yusri merupakan pakar pembedahan vaskular, mempunyai ijazah kedoktoran dari Universiti Kaherah dan dalam masa yang sama juga mempunya ijazah sarjana muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar. Perlu tahu bahawa lautan keilmuan dan tasawufnya melebihi batasan yang ada, beliau setiap hari akan mengajar kitab-kitab di masjidnya di Muqottom, Kaherah dalam bidang-bidang yang pelbagai terutamanya bidang hadis.


Dr. Yusri Rusydi Sayyid Jabr Al-Hasani


Ramai lagi sebenarnya termasuk daripada Arab Saudi dan lain-lain. Itu belum lagi yang secara pendidikan formal ada kepakaran atau PhD dalam bidang sains seperti fizik atau biokimia dalam masa yang sama belajar secara informal pengajian agama daripada para syeikh atau masjid, tetapi tahap keilmuannya diiktiraf ulama seluruh dunia.


Seorang kawan saya satu angkatan 'batch' di Kuliah Dakwah Islamiah Universiti Al-Azhar sebelum ini yang merupakan lulusan Fakulti Kejuruteraan, dan sedang bekerja sebagai jurutera di Mesir. Juga, ada seorang lagi yang sedang menyambung pengajian PhD dalam bidang Mikrobiologi (mungkin sudah dapat PhD-nya sekarang)


Ada juga rakan seangkatan saya di Kuliah Shariah, Universiti Islam Madinah (program pengajian jarak jauh), merupakan warga Indonesia, yang merupakan Chief Technology Officer di sebuah syarikat farmasi terkenal di Indonesia dan sekarang beliau antara orang penting yang membuat sistem perbankan online di sebuah bank terkenal di sana. Selain itu, ada juga para doktor pakar, jurutera, cikgu, pereka grafik, dan lain-lain.


Jadi? Ya. Kalau boleh kedua-duanya, kenapa harus dipisah-pisah?


Kita tak perlu lah nak menjadi seperti Ibu Sina atau al-Khawarizmi, zaman dah berlalu. Mereka ada zaman mereka. Kita ada zaman kita. Tapi tak salah rasanya kalau kita berusaha jadi sesuatu yang namanya bahkan jasanya mungkin akan disebut-sebut lagi 300 atau 1000 tahun akan datang seperti kita menyebut nama-nama tokoh-tokoh tadi. 


Gemilang agamanya dan gemilang sains dan teknologinya.


Petunjuk:

Iptek = Ilmu pengetahuan teknologi

iptaq = Ilmu pengetahuan al-Quran


Khir

Tuesday, 1 November 2022

Jalan Dakwah dan Pengorbanan

[SENGGANG PERTAMA DAN TERAKHIR IALAH PENGORBANAN]


Baru-baru ini, pada 26 September 2022, kita dikejutkan dengan pemergian seorang ulama', bahkan pendakwah yang sangat terkenal dengan produktiviti amal dakwah beliau, iaitu Al-Imam Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi -rahimahuLlah- pada usia beliau 96 tahun. Sebaik sahaja membaca berita tersebut, hal ini sangat mengimbau kembali kenangan saya ketika dapat mendengar khutbah beliau secara langsung di Masjid Al-Azhar pada tahun 2013 yang lalu. Juga saya teringat antara ayat Al-Quran yang beliau sering ulang dalam penulisan beliau, iaitu,


{ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا }

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggudan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya),

[Surah Al-Ahzâb, 33:23]


Iya, pemergian para ikhwan atau da'i-da'i yang ikhlas ini sangat dicemburui, apatah lagi seperti sosok Al-marhum Al-Imam Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi -rahimahuLlah- yang kita sedia maklum betapa banyaknya jasa dan impak daripada setiap helaan beliau bersama dakwah. Daripada khutbah, tulisan, organisasi, harakah dakwah, dan semuanya. 


Begitulah jalan dakwah mengajarkan kita, bahawa senggang 'gap' antara permulaan dan pengakhiran dalam perjalanan dakwah ini cuma satu, iaitu pengorbanan.


Sekitar tahun 2013 yang lalu, kita semua pernah membaca (jika tidak mampu melihat) dan mengkagumi perjuangan, pengorbanan, kesanggupan sebahagian besar rakyat Mesir yang tidur di dalam khemah-khemah segera (instant) dan 'fragile' atas jalan-jalan raya dan bahu-bahu jalan di Medan Rabiatul Adawiyah, Nasr City, Kaherah dan juga di Medan An-Nahdhah, Giza.


Mereka hidup dalam serba serbi kekurangan. Meninggalkan keselesaan katil, kipas, tilam, 'air cond', dan rumah. Meninggalkan kegembiraan Aidil Fitri untuk berjalan-jalan dan berbaju baru. Makanan yang ada cuma roti dan lauk 'simple' dan minum air paip. Juga sangat terdedah dengan penyakit-penyakit yang mudah merebak (jika ada).


Ada yang 24/7 memang 'stay' di sana, tak pulang ke rumah langsung. Ada yang siang bekerja, malam datang semula. Ada yang seminggu sekali pulang ke daerah asal untuk melihat anak isteri.


Mereka dituduh pengganas. Juga diancam bunuh. Malah ada yang sudah pun ditangkap, dipikul sehingga cedera parah, bahkan ada yang kemudiannya dibunuh!


"Sampai bila?"

"Sampai presiden kami dikembalikan.."

 

Pada pagi 14 Ogos 2013, seluruh dunia dikejutkan dengan pembantaian dan pembunuhan yang digerakkan oleh pihak polis dan tentera yang mengorbankan lebih 1000 nyawa dan puluhan ribu tangkapan. Tak terlepas juga yang mendapatkan keselamatan dengan berpindah ke luar negara dan lain-lain.


Adakah semangat mereka pudar? Yakinlah tidak. Adakah harakah Islam di sana lumpuh? Yakinlah tidak. Mereka terus bergerak, dan terus bergerak. Walaupun kesusahan yang mereka terpaksa hadapi ialah terpaksa berpindah rumah berkali-kali, terpaksa menukar pekerjaan, ditinggalkan keluarga, akaun dan pelaburan dibekukan, pasport ditarik, dan lain-lain.


Para 'ultras' atau penyokong kelab bola sepak terkenal di Mesir, Al-Ahli yang sedang bersorak menaikkan semangat dan menceriakan suasana para penghimpun di Medan Nadhah, Giza.


Cuma, pernah tak kita terfikir..


Apakah ASAS atau SEBAB dalam pergerakan mereka sampaikan dakwah mereka masih lagi hidup sampai pada hari ini?


Bermula pada zaman al-Banna pada tahun 1928, dakwah ini dibina daripada kosong, kemudian Imam al-Banna dibunuh. Masuk pada zaman Hasan al-Hudaibi. Masuk pada zaman Sayyid Qutb, dibunuh. Terus meneru.. Sampaikan ada satu zaman, seramai 150,000 ditangkap dan 30,000 mati di dalam  penjara! Cuba bayangkan, berapa ramai pula isteri yang menjadi janda dan anak menjadi yatim pada masa itu?


Tetapi, lebih daripada 80 tahun bergerak dalam keadaan diam dan terang, mereka akhirnya berjaya mendapatkan kedudukan sebagai pemerintah (sebelum dikhianati). Dahulu, penjara menjadi tempat tidur, kemudian duduk di kerusi Presiden. Kemudian, sekarang 'berumah' di atas jalan raya. Kemudian berpindah randah pula dan seterusnya.


Tapi, KENAPA fikrah, bangunan dan amal dakwah mereka masih lagi utuh dan bukannya makin mengecil terus menghilang, bahkan tersebar dan membesar hampir ke seluruh dunia?!


Apa sebenarnya yang istimewa pada harakah mereka TETAPI mungkin masih belum ada pada harakah di Malaysia?


Perjuangan di Malaysia sudah bergerak seawal tahun 1950-an (jika betul).. Tapi, kenapa berbeza prestasi kita dengan mereka?


Apa yang mereka ada, tapi kita tak ada?


Atau..


Apa yang kita ada, tapi mereka tak ada?


Teringat salah satu daripada tulisan Dr Fathi Yakan, "Matlamat pertama dakwah ialah beriman kepada Allah dan yang terakhir ialah penegakkan syariatnya Islam dalam semua aspek kehidupan yang luas.. Maka, senggang antara yang pertama dan yang terakhir itu ialah PENGORBANAN.."


'Aspek kehidupan' itu bukan menyangkut pada pembangunan rohani sahaja ya.. Semua aspek!


Jadi? Apa masalah dakwah kita sebenarnya? Atau kita masih lagi mahu mengaku bahawa kita tiada masalah?


Kalau ada masalah, jadi, dakwah yang bermasalah atau kita yang bermasalah?


Kemudian, kenapa kita bermasalah?


Selepas itu, BAGAIMANA kita nak memperbaiki masalah?


#rabaa #nahdah


Khir

Catatan ini ditulis pada 11 Ogos 2013. Iaitu 3 hari sebelum pembantaian tentera di Medan Rabaah, Kaherah.

Dakwah: Susahkah?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ “Hari Khamis free tak? Malam.”  “ Free . Kenapa?”  “Aku ada buat usrah malam tu, ...