Thursday, 3 November 2022

Pengajian Agama atau Sains dan Teknologi?

Dunia kita hari ini ada dilema. Sekiranya cemerlang akademik, kita akan pergi ke bidang-bidang sains atau teknologi. Jika kita tercicir atau tiada rezeki untuk dapat keputusan cemerlang, bidang yang kita boleh ceburi terhad kepada bidang-bidang sastera. Salah satu daripada bidang tersebut ialah bidang pengajian Islam. Seberapa kerap kita jumpa pelajar cemerlang aliran sains 12 A1 kemudian mengambil bidang Usuluddin ataupun Syariah Islamiah? Ya ada, 0.001% mungkin?




Banyak faktor yang mungkin menyumbang kepada keadaan tersebut, antara yang saya boleh senaraikan ialah tiada keterhadan peluang tajaan, ketidakjelasan jaminan pekerjaan atau karier, atau semudah alasan tidak minat. Lambakan maahad-maahad atau sekolah-sekolah agama yang menggabungkan antara sains dan agama bahkan tahfiz juga nampaknya belum sangat mampu menghasilkan mereka yang sangat cemerlang dalam ilmu sains dan agama, kemudiannya mereka memilih untuk memasuki ke bidang agama. Kebanyakan mereka akan jadi doktor, jurutera, akauntan, dan lain-lain.


Ya, kita dapat memenuhkan ruangan kosong 'gap' selama ini iaitu kita sekarang sudah ada doktor yang hafal Al-Quran atau jurutera yang ada asas ilmu syar'ie yang bagus. Tetapi masih ada satu ruangan lompong yang masih belum terisi. Apa dia? Iaitu lulusan Pengajian Islam yang hafal Quran pakar fizik atau matematik atau lulusan Syariah Islamiah yang pakar biologi atau perakaunan.


Lebih dilema lagi, masih ada lagi pemikiran dalam masyarakat kita yang belum berubah daripada melihat sebagai agama dan dunia adalah dua perkara yang tidak mungkin sepadan. Jika mahu salah satu, maka salah satu perlu ditinggalkan. Sehingga wujudlah beberapa ibubapa yang risau jika anaknya yang belajar perubatan atau kejuruteraan yang mula berjinak-jinak dengan agama, ataupun sebaliknya iaitu menghalang anak belajar Bahasa Inggeris bahkan Matematik! Ini belum lagi cerita mengenai asalkan ada anak bermasalah akhlak sahaja terus dimasukkan ke pusat tahfiz atau seangkatan dengannya.  Lagi satu musibah.


Dunia pendidikan ini bukanlah dunia baharu. Dengan kemampuan dan kepakaran yang ada pada dunia hari ini, takkan kita masih belum ada solusi atau belum mampu menerima hakikat bahwa kita boleh mengadukan kesemuanya ke dalam satu sistem? Kenapa perlu dibeza-bezakan salah satu? Kenapa perlu cuma memilih salah satu?


Ada yang merasakan sains dan teknologi lebih penting. Ada pula yang merasakan pengajian agama lebih penting. Dia punya 'lebih penting' (for both parties sama je perangai) sampai pada tahap yang satu lagi tu membuang masa, tenaga, atau sampai tahap haram pun ada.


"Risau anak tak boleh mengira, tapi tak risau anak tak reti mengaji" Sekali lalu betul juga. Tapi kalau reti mengaji dan tak reti mengira, dia akan hidup dalam dunia yang sangat tidak praktikal. Sedangkan berapa banyak ayat al-Quran yang memerlukan kemampuan mengira (seperti ayat berkenaan infak (2:261), zakat, ketenteraan (8:41, 65-66), mirats atau pewarisan harta (4:11-12), dan lain-lain. 


Juga, 'zaman kegemilangan Islam' yang diulang-ulang ceritanya itu kebanyakannya berkaitan astronomi, falak, matematik, kejuruteraan, perubatan dan teknologi perubatan, dan lain-lain selain teknologi ketenteraan dan ekonomi. Dalam masa yang sama semua ulama-ulama tersebut juga hafal al-Quran bahkan lebih daripada sekadar itu pada sudut kafaah syariyyah mereka. Kita boleh telusuri sendiri biografi tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina atau Al-Khawarizmi secara mendalam.


Saya teringat ada sebuah dialog popular daripada mantan Presiden Indonesia, allahyarham BJ Habibie, (meninggal pada 11 September 2019) di Kaherah bersama mahasiswa Indonesia di Mesir,


"Iptek dan iptaq harus seimbang. Kalau cuma iptek, hmm..."


"Saya sering menceritakan, kalau Allah panggil saya dan berkata, "Kamu boleh pilih iptaq atau iptek, hanya boleh pilih, segera pilih! Tidak boleh dua-dua." Saya sekejap akan pilih, "Saya iptaq"." 


Kemudian beliau menyambung, 


"Tapi Allah, kalau kamu perkenankan saya, kasi saya dua-duanya, dalam keadaan seimbang dan berikan saya kemampuan untuk meningkatkan kedua-duanya kualitasnya." 


"Dan saya beruntung Allah memberikan kedua-duanya."


Siapakah Bapak BJ Habibie, salah seorang Muslim yang taat, juga ahli politik (Presiden Indonesia ke-3), dan dalam masa yang sama merupakan seorang jurutera dan aviation industrialist yang gemilang pada zamannya dengan kajian yang membuka mata dunia dan mengangkat industri penerbangan dunia ke sebuah paradigma yang berbeza daripada sebelumnya.


Bapak BJ Habibie bersama 1300 Masyarakat Indonesia di Kaherah, 6 Jun 2011


Di Mesir, kita ada beberapa pakar perubatan dan pembedahan yang dalam masa yang sama merupakan pakar juga dalam pengajian agama (dan melalui pendidikan formal serta informal) seperti Syeikh Dr Yusri Gaber al-Hasani antara yang paling popular. Syeikh Dr Yusri merupakan pakar pembedahan vaskular, mempunyai ijazah kedoktoran dari Universiti Kaherah dan dalam masa yang sama juga mempunya ijazah sarjana muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar. Perlu tahu bahawa lautan keilmuan dan tasawufnya melebihi batasan yang ada, beliau setiap hari akan mengajar kitab-kitab di masjidnya di Muqottom, Kaherah dalam bidang-bidang yang pelbagai terutamanya bidang hadis.


Dr. Yusri Rusydi Sayyid Jabr Al-Hasani


Ramai lagi sebenarnya termasuk daripada Arab Saudi dan lain-lain. Itu belum lagi yang secara pendidikan formal ada kepakaran atau PhD dalam bidang sains seperti fizik atau biokimia dalam masa yang sama belajar secara informal pengajian agama daripada para syeikh atau masjid, tetapi tahap keilmuannya diiktiraf ulama seluruh dunia.


Seorang kawan saya satu angkatan 'batch' di Kuliah Dakwah Islamiah Universiti Al-Azhar sebelum ini yang merupakan lulusan Fakulti Kejuruteraan, dan sedang bekerja sebagai jurutera di Mesir. Juga, ada seorang lagi yang sedang menyambung pengajian PhD dalam bidang Mikrobiologi (mungkin sudah dapat PhD-nya sekarang)


Ada juga rakan seangkatan saya di Kuliah Shariah, Universiti Islam Madinah (program pengajian jarak jauh), merupakan warga Indonesia, yang merupakan Chief Technology Officer di sebuah syarikat farmasi terkenal di Indonesia dan sekarang beliau antara orang penting yang membuat sistem perbankan online di sebuah bank terkenal di sana. Selain itu, ada juga para doktor pakar, jurutera, cikgu, pereka grafik, dan lain-lain.


Jadi? Ya. Kalau boleh kedua-duanya, kenapa harus dipisah-pisah?


Kita tak perlu lah nak menjadi seperti Ibu Sina atau al-Khawarizmi, zaman dah berlalu. Mereka ada zaman mereka. Kita ada zaman kita. Tapi tak salah rasanya kalau kita berusaha jadi sesuatu yang namanya bahkan jasanya mungkin akan disebut-sebut lagi 300 atau 1000 tahun akan datang seperti kita menyebut nama-nama tokoh-tokoh tadi. 


Gemilang agamanya dan gemilang sains dan teknologinya.


Petunjuk:

Iptek = Ilmu pengetahuan teknologi

iptaq = Ilmu pengetahuan al-Quran


Khir

Tuesday, 1 November 2022

Jalan Dakwah dan Pengorbanan

[SENGGANG PERTAMA DAN TERAKHIR IALAH PENGORBANAN]


Baru-baru ini, pada 26 September 2022, kita dikejutkan dengan pemergian seorang ulama', bahkan pendakwah yang sangat terkenal dengan produktiviti amal dakwah beliau, iaitu Al-Imam Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi -rahimahuLlah- pada usia beliau 96 tahun. Sebaik sahaja membaca berita tersebut, hal ini sangat mengimbau kembali kenangan saya ketika dapat mendengar khutbah beliau secara langsung di Masjid Al-Azhar pada tahun 2013 yang lalu. Juga saya teringat antara ayat Al-Quran yang beliau sering ulang dalam penulisan beliau, iaitu,


{ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا }

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggudan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya),

[Surah Al-Ahzâb, 33:23]


Iya, pemergian para ikhwan atau da'i-da'i yang ikhlas ini sangat dicemburui, apatah lagi seperti sosok Al-marhum Al-Imam Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi -rahimahuLlah- yang kita sedia maklum betapa banyaknya jasa dan impak daripada setiap helaan beliau bersama dakwah. Daripada khutbah, tulisan, organisasi, harakah dakwah, dan semuanya. 


Begitulah jalan dakwah mengajarkan kita, bahawa senggang 'gap' antara permulaan dan pengakhiran dalam perjalanan dakwah ini cuma satu, iaitu pengorbanan.


Sekitar tahun 2013 yang lalu, kita semua pernah membaca (jika tidak mampu melihat) dan mengkagumi perjuangan, pengorbanan, kesanggupan sebahagian besar rakyat Mesir yang tidur di dalam khemah-khemah segera (instant) dan 'fragile' atas jalan-jalan raya dan bahu-bahu jalan di Medan Rabiatul Adawiyah, Nasr City, Kaherah dan juga di Medan An-Nahdhah, Giza.


Mereka hidup dalam serba serbi kekurangan. Meninggalkan keselesaan katil, kipas, tilam, 'air cond', dan rumah. Meninggalkan kegembiraan Aidil Fitri untuk berjalan-jalan dan berbaju baru. Makanan yang ada cuma roti dan lauk 'simple' dan minum air paip. Juga sangat terdedah dengan penyakit-penyakit yang mudah merebak (jika ada).


Ada yang 24/7 memang 'stay' di sana, tak pulang ke rumah langsung. Ada yang siang bekerja, malam datang semula. Ada yang seminggu sekali pulang ke daerah asal untuk melihat anak isteri.


Mereka dituduh pengganas. Juga diancam bunuh. Malah ada yang sudah pun ditangkap, dipikul sehingga cedera parah, bahkan ada yang kemudiannya dibunuh!


"Sampai bila?"

"Sampai presiden kami dikembalikan.."

 

Pada pagi 14 Ogos 2013, seluruh dunia dikejutkan dengan pembantaian dan pembunuhan yang digerakkan oleh pihak polis dan tentera yang mengorbankan lebih 1000 nyawa dan puluhan ribu tangkapan. Tak terlepas juga yang mendapatkan keselamatan dengan berpindah ke luar negara dan lain-lain.


Adakah semangat mereka pudar? Yakinlah tidak. Adakah harakah Islam di sana lumpuh? Yakinlah tidak. Mereka terus bergerak, dan terus bergerak. Walaupun kesusahan yang mereka terpaksa hadapi ialah terpaksa berpindah rumah berkali-kali, terpaksa menukar pekerjaan, ditinggalkan keluarga, akaun dan pelaburan dibekukan, pasport ditarik, dan lain-lain.


Para 'ultras' atau penyokong kelab bola sepak terkenal di Mesir, Al-Ahli yang sedang bersorak menaikkan semangat dan menceriakan suasana para penghimpun di Medan Nadhah, Giza.


Cuma, pernah tak kita terfikir..


Apakah ASAS atau SEBAB dalam pergerakan mereka sampaikan dakwah mereka masih lagi hidup sampai pada hari ini?


Bermula pada zaman al-Banna pada tahun 1928, dakwah ini dibina daripada kosong, kemudian Imam al-Banna dibunuh. Masuk pada zaman Hasan al-Hudaibi. Masuk pada zaman Sayyid Qutb, dibunuh. Terus meneru.. Sampaikan ada satu zaman, seramai 150,000 ditangkap dan 30,000 mati di dalam  penjara! Cuba bayangkan, berapa ramai pula isteri yang menjadi janda dan anak menjadi yatim pada masa itu?


Tetapi, lebih daripada 80 tahun bergerak dalam keadaan diam dan terang, mereka akhirnya berjaya mendapatkan kedudukan sebagai pemerintah (sebelum dikhianati). Dahulu, penjara menjadi tempat tidur, kemudian duduk di kerusi Presiden. Kemudian, sekarang 'berumah' di atas jalan raya. Kemudian berpindah randah pula dan seterusnya.


Tapi, KENAPA fikrah, bangunan dan amal dakwah mereka masih lagi utuh dan bukannya makin mengecil terus menghilang, bahkan tersebar dan membesar hampir ke seluruh dunia?!


Apa sebenarnya yang istimewa pada harakah mereka TETAPI mungkin masih belum ada pada harakah di Malaysia?


Perjuangan di Malaysia sudah bergerak seawal tahun 1950-an (jika betul).. Tapi, kenapa berbeza prestasi kita dengan mereka?


Apa yang mereka ada, tapi kita tak ada?


Atau..


Apa yang kita ada, tapi mereka tak ada?


Teringat salah satu daripada tulisan Dr Fathi Yakan, "Matlamat pertama dakwah ialah beriman kepada Allah dan yang terakhir ialah penegakkan syariatnya Islam dalam semua aspek kehidupan yang luas.. Maka, senggang antara yang pertama dan yang terakhir itu ialah PENGORBANAN.."


'Aspek kehidupan' itu bukan menyangkut pada pembangunan rohani sahaja ya.. Semua aspek!


Jadi? Apa masalah dakwah kita sebenarnya? Atau kita masih lagi mahu mengaku bahawa kita tiada masalah?


Kalau ada masalah, jadi, dakwah yang bermasalah atau kita yang bermasalah?


Kemudian, kenapa kita bermasalah?


Selepas itu, BAGAIMANA kita nak memperbaiki masalah?


#rabaa #nahdah


Khir

Catatan ini ditulis pada 11 Ogos 2013. Iaitu 3 hari sebelum pembantaian tentera di Medan Rabaah, Kaherah.

Monday, 31 October 2022

Merisaukan Rezeki Hari Ini

Ada suatu pagi, aku pernah keluar rumah dalam keadaan sugul memikirkan mengenai rezeki. Rasa lemah semacam. Kemudian aku terlihat salah satu kereta tolak yang jual to'miah atau falafel di tepi jalan di Hayy Asyir, ada tulisan khat yang cantik tertulis.

لن يحزن من يعرف من الذي يرزقه

Sekali-kali tidak akan pernah bersedih siapa yang tahu siapa yang memberinya rezeki 


Aku sangat tersentu! Ya. Maksudnya ialah tidak akan sedih atau takut orang yang kenal siapa sebenarnya yang memberikannya rezeki. Siapa? Dia-lah Allah. Yang Maha Memberi Rezeki. Ar-Razzak.

Di sana ada sebuah hadis diriwayatkan Imam Ahmad dalam al-Musnad dan Muslim dalam shahihnya, dari sahabat Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

يَدْخُلُ الْجَنَّةَ أَقْوَامٌ أَفْئِدَتُهُمْ مِثْلُ أَفْئِدَةِ الطَّيْرِ

"Akan ada sekelompok orang yang masuk syurga, hati mereka seperti hatinya burung." 
(HR. Ahmad 8382 & Muslim 7341).
Matahari terbit di Fayed, Ismailiah

Apakah maksudnya hati seperti hati burung?

Menurut Imam An-Nawawi, ada tiga pendapat ulama dalam memberikan makna 'seperti hati burung' ini. Antaranya ialah, orang yang hatinya sangat bergantung dan tawakkal kepada Allah seperti burung.

Sesuai dengan makna dalam sebuah hadis yang lain ada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ، لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ، تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا

"Jika kamu tawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya kamu Allah akan memberi rezeki kepada kalian sebagaimana burung diberi rezeki. Dia berangkat dalam keadaan perut kosong, dan pulang dalam keadaan perut kenyang. (HR. Ahmad 205 dan Tirmidzi 2344 dishahihkan Syuaib al-Arnauth)

Teruslah berusaha. Teruslah bertawakkal. Rezeki itu ada. Selagi hidup selagi itu ada rezekinya. Jangan juga kita merosak nilai kehidupan hanya kerana mahu mensegerakan sesuatu. Jangan sampai sesuatu yang sepatutnya nikmat malah menjadi musibah istidraj.

Dari Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّ رُوْحَ القُدُسِ نَفَثَ فِي رَوْعِي إِنَّ نَفْسًا لاَ تَمُوْتَ حَتَّى تَسْتَكْمِلَ رِزْقُهَا ، فَاتَّقُوْا اللهَ وَأَجْمِلُوْا فِي الطَّلَبِ ، وَلاَ يَحْمِلَنَّكُمْ اِسْتَبْطَاءَ الرِّزْقُ أَنْ تَطْلُبُوْهُ بِمَعَاصِي اللهَ ؛ فَإِنَّ اللهَ لاَ يُدْرِكُ مَا عِنْدَهُ إِلاَّ بِطَاعَتِهِ

“Sesungguhnya ruh qudus (Jibril), telah membisikkan ke dalam diriku bahwa setiap jiwa tidak akan mati sampai sempurna ajalnya dan dia habiskan semua rezekinya. Kerana itu, bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah cara dalam mencari rezeki. Jangan sampai tertundanya rezeki mendorong kamu untuk mencarinya dengan cara bermaksiat kepada Allah. Kerana rezeki di sisi Allah tidak akan diperoleh kecuali dengan taat kepada-Nya.” (HR. Musnad Ibnu Abi Syaibah 8: 129 dan Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir 8: 166, hadits sahih. Lihat Silsilah Al-Ahadits As-Shahihah no. 2866).
Hati burung merpati

Kecil sahaja kan hati burung. Tetapi tawakkalnya itu mendapat pengiktirafan Nabi dan dijadikan contoh untuk kita yang saiz hatinya lebih besar!

Kenapa Perlu Ada Ujian dalam Hidup?

Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

انظروا إلى من هو أسفل منكم ولا تنظروا إلى من هو فوقكم ، فهو أجدر أن لا تزدروا نعمة الله عليكم

“Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.” 
(HR. Bukhari dan Muslim)

Dunia ini sememangnya indah. Jika tidak sudah pasti tidak ramai manusia yang lalai bersamanya bahkan ada yang sanggup mati kerananya.

Cuma kita mungkin perlu sentiasa ingat bahawa dunia ini sifatnya ialah ujian.

Ada orang diuji dengan dunia yang lapang dan kaya. Dia mampu mendapatkan apa sahaja yang dia mahukan. Sehingga dia merasakan tidak memerlukan lagi kepada syurga abadi kerana baginya dia sudah memiliki syurga. Hanya perlu memetik jari bahkan terlintas dalam pemikirannya sahaja dia sudah mampu memiliku apa yang dia inginkan. Beribadah dan berbuat sesuatu di jalan Allah tidak perlu baginya kerana dia sudahpun memiliki syurga.

Ada pula yang diuji dengan kesempitan dan kepayahan. Dia terpaksa memaksa dirinya bekerja daripada pagi sampai petang bahkan malam. Dengan tujuan mencari duit yang kadang-kadang tak cukup pun untuk makan tetapi habis kepada biaya hidup yang sangat pelbagai dalam dunia hari ini. Dia tidak sempat untuk beribadah dan berbuat sesuatu di jalan Allah kerana dia terlalu sibuk dan tidak mempunyai masa kerana jika dia tidak bekerja siapa yang akan memberikan dia makan?

Mungkin kita lupa..
Suasana 'kebetulan' lengang di bilik kecemasan salah satu hospital di Universiti Ain Shams, Kaherah.


(وَقَطَّعْنَاهُمْ فِي الْأَرْضِ أُمَمًا ۖ مِنْهُمُ الصَّالِحُونَ وَمِنْهُمْ دُونَ ذَٰلِكَ ۖ وَبَلَوْنَاهُمْ بِالْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ)

Dan Kami pecahkan mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan; di antaranya ada orang-orang yang soleh dan ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).
[QS Surah Al-A'raf, 7:168]

Hakikat sebenarnya Allah beritahu kepada kita bahawa semua orang akan diuji. Tidak kisahlah dia beriman atau tidak. Semua akan diuji. Ujian pula bukanlah spesifik perkara buruk, tetapi boleh jadi dalam bentuk yang menyenangkan.

Tidak mustahil ada orang soleh yang diuji lalu dia semakin jauh daripada Allah. Tidak mustahil juga ada orang yang pada asalnya tidak soleh kemudian diuji malah dia semakin dekat pula pada Tuhannya.

Tidak mustahil juga ada orang yang soleh mampu bertahan dengan ujian kesusahan, tetapi tewas dengan ujian kesenangan. Tidak mustahil juga jika ada orang yang tidak soleh yang hidupnya senang tetapi malah berubah menjadi soleh ketika diuji kesusahan.

Kerana itu kita perlu fokus pada tujuan kenapa Allah menguji kita dalam kehidupan ini. Di penghujung ayat suci di atas Allah menjelaskan segala-galanya, iaitu,

لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
"agar mereka kembali (kepada kebenaran)."

Mudah-mudahan nikmat atau musibah itu tidak melarikan fokus kita untuk terus berusaha meningkatkan amal kita, menjaga solat kita, bacaan al-Quran kita, amalan-amalan sunat, dakwah dan tarbiyah serta lain-lain lagi perintah Allah SWT kepada kita.

Tak perlulah kita malu jika kita merasakan seperti cuma pulang kepada Allah ketika kita diuji. Kerana itu memang salah satu tujuan daripada sebab Allah menguji kita. 

Maka, bersyukurlah apabila diuji, kerana seolah-olah Allah 'menyeru' kita.

Musim Cuti Bagi Penuntut Ilmu


Hantaran ini hanya sekadar nasihat untuk sahabat-sahabat yang pulang bercuti ke rumah masing-masing atau jika pelajar luar negara yang bercuti pulang ke Malaysia.

Dalam kelas matapelajaran Mantiq di Kuliah Dakwah Islamiah pada hari ini bersama Syeikh Dr Mustafa Murad, syeikh mengambil sedikit masa bercerita satu kisah di luar tajuk sebagai iklan antara topik yang dibahaskan.

Iaitu, Al-Azhar pada zaman dahulu, pengajian mereka sepanjang tahun, bukan ada fasa satu dan fasa dua seperti sekarang. Mereka akan belajar sepanjang tahun sehingga bulan Syaaban, dan akan bercuti pada bulan Ramadhan sehingga hari kelima belas Syawal. Kenapa?

Jawapan yang diberikan oleh pelajar adalah pelbagai..


Jawapan syeikh ialah, 

"Supaya penuntut-penuntut di al-Azhar ada masa untuk pulang ke kampung masing-masing dan menyampaikan dakwah dan mengajar masyarakat."

Tambahannya lagi..

"Bulan Ramadhan ialah bulan di mana orang ramai-ramai pergi ke masjid-masjid, itu ialah peluang untuk mereka mengajar dan berdakwah kepada manusia.."

Kemudian ada pelajar yang bertanya, kenapa sehingga 15 Syawal? Syeikh menjawab;

"Kerana perjalanan mereka tidak semudah hari ini. Mungkin menggunakan kapal di Sungai Nil, atau kafilah, dan lain-lain."

 

Suasana transit di Doha, Qatar, semasa pernerbangan terakhir dari Kaherah ke Kuala Lumpur kerana sudah graduasi.


CUTI IALAH PELUANG BERDAKWAH

Apa yang kita boleh ambil istifadah (manfaat) daripada kisah yang disampaikan oleh Syeikh Mustafa tersebut? Banyak. Antaranya yang saya fikirkan ialah;

Mereka pulang ke kampung mereka bukan semata-mata untuk khusus beribadah atau bercuti bersama keluarga sahaja. Tetapi mereka pulang untuk mengajar ilmu dan menyampaikan dakwah.

Katakanlah, jika kita pulang raya Aidil Fitri atau cuti musim panas di rumah (khususnya di Malaysia), apakah matlamat kita? Bermatlamatkan dakwah atau bermatlamatkan apa?

Sebaik sahaja bermula cuti semester atau tahunan, apa yang kita rancang? Menziarahi pasaraya (shopping complex)? Duduk diam di rumah tenangkan fikiran? Simpan semua kitab-kitab dan buku-buku di dalam kotak? Atau tidur tidak bangun-bangun sampai buka semester? Marathon drama dan filem? Re-union sekolah?

Ataukah kita terus mulakan perancangan dan tindakan-tindakan untuk mengajarkan ilmu setakat yang sudah dipelajari, menyampaikan dakwah kepada keluarga dan masyarakat serta mengubah dan meningkatkan kefahaman mereka mengenai Islam, atau menyambung kelas pengajian luar universiti, atau melakukan kerja amal dan sukarelawan untuk berkhidmat membantu masyarakat meningkatkan kualiti kehidupan dan pendidikan mereka, juga melaksanakan kerja-kerja ekonomi yang mampu dimanfaatkan untuk ummat?


TIADA MUSIM CUTI DALAM BERAMAL

Cuti yang ada bagi seorang pelajar (khususnya Azhari) yang memahami Islam itu seharusnya berbeza dengan yang lain. Bak kata murobbi saya yang dihormati, al-akh Dr Mohd Hizul, 

"Amal dan ibadah itu tiada cuti,".

Tentu sahaja, tidak salah untuk berehat atau bertemu rakan atau aktiviti-aktiviti keluarga yang lain, tetapi matlamat utama menjadikan Allah dan agama sebagai tujuan utama jangan diketepikan. Jika masa bersama keluarga semasa cuti sudah kita rancang sehabisnya, bagaimana pula perancangan masa untuk dakwah dan tarbiah semasa cuti?


قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Katakanlah, “Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam,
[Surah Al-An'am, 6 : 162]

Sunday, 30 October 2022

Aku Tidak Tahu Nabi Mencintaiku atau Tidak

Aku terbaca hadis dalam Musnad Imam Ahmad no. 17113 semalam mengenai saat-saat kewafatan seorang sahabat Nabi Muhammad ﷺ yang mulia, iaitu Saidina Amru bin Al-Ash -radhiAllahu anhu-.


Anaknya Abdullah bin Amru -radhiAllahu anhu- berkata sesuatu ketika melihat keadaan ayahnya;


يَا أَبَا عَبْدِ اللَّهِ مَا هَذَا الْجَزَعُ وَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُدْنِيكَ وَيَسْتَعْمِلُكَ

Wahai Abu Abdullah (iaitu Amru bin Al-Ash), "Keresahan apakah ini? Bukankah Rasulullah ﷺ benar-benar rapat dengan engkau dan baginda juga telah memperkerjakanmu (memanfaatkanmu)?"

Aku terasa sebak dan air mata hampir mengalir ketika membaca dia mengatakan;


 وَلَكِنِّي أَشْهَدُ عَلَى رَجُلَيْنِ أَنَّهُ قَدْ فَارَقَ الدُّنْيَا وَهُوَ يُحِبُّهُمَا ابْنُ سُمَيَّةَ وَابْنُ أُمِّ عَبْدٍإِنِّي وَاللَّهِ مَا أَدْرِي أَحُبًّا ذَلِكَ كَانَ أَمْ تَأَلُّفًا يَتَأَلَّفُنِي

"Sebenarnya aku demi aku tidak tahu (Nabi ﷺ dekat dan memanfaatkankanku) itu dari kecintaan baginda kepadaku atau hanya sekadar toleransi (atau keharmonian) yang diberikan kepadaku? Tetapi aku bersaksi atas dua orang laki-laki, meskipun mereka telah meninggal namun Baginda ﷺ mencintainya; Ibnu Sumayyah (Ammar bin Yassir) dan Ibnu Ummu 'Abd' (Abdullah Ibnu Mas'ud)."


Istanbul, kota bersemadi jasad sahabat Nabi SAW yang sangat mulia, Abu Ayyub al-Ansari


Ya Allah. Begitulah risaunya seorang sahabat yang padahal sempat hidup bersama Rasulullah ﷺ, mungkin sempat ketawa menangis suka dan duka bersama. Sempat berjihad bersama. Bahkan diarahkan oleh Rasulullah ﷺ dengan beberapa pengarahan secara langsung. Sahabat lain juga menjadi saksi kedekatan mereka berdua.


Selepas kewafatan Baginda Nabi ﷺ, Amru Bin Al-Ash malah masih terus 'berfungsi' dan 'difungsikan' untuk Islam sehingga menjadi antara watak utama pembukaan Islam di Shams (Syria, Lubnan, Palestin, dan Jordan) dan Mesir serta sehingga ke Tripoli (di Libya).


Tetapi dia masih ragu-ragu! Ragu-ragu sama ada adakah cinta Nabi ﷺ bersama dengannya atau tidak! 😭 Hidup sedekat zaman dan tempat tetapi masih lagi tidak tahu Nabi cinta padanya atau tidak.


Kita ni jauh pada zaman dan tempat Nabi ﷺ. Belum lagi jika mahu dibandingkan amal dengan sahabat bernama Amru itu. Adakah cinta Nabi untuk kita?


Kita kadang-kadang buat sesuatu kerana kita rasa Nabi SAW akan suka. Tapi benarkah baginda SAW suka?


Ya Allah. Kami terlalu selesa dengan kehidupan kami sehingga kami lupa adakah Engkau dan Nabi-Mu ﷺ sedang mencintai kami atau tidak.

Dakwah: Susahkah?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ “Hari Khamis free tak? Malam.”  “ Free . Kenapa?”  “Aku ada buat usrah malam tu, ...