بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
Kita tahu? Bahawa sebenarnya kita tercipta dengan fitrah kebenaran. Ada Nur Illah yang telah Allah titipkan dalam hati kita sehinggakan pada saat kita hendak mengharungi bahtera kehidupan kita, hati kita akan memberikan pesanan-pesanan atau amaran setiap kali kita hendak melakukan apa yang tidak Allah reda. Ya, kerana hati kita itu akan sentiasa mengarahkan kita untuk sentiasa berada tepat di atas jalan-Nya…
Semua dosa, semua maksiat, semua perbuatan yang melanggar syariat Allah SWT pasti akan membuat hati kita tidak tenang. Pernahkah kita melihat orang yang hendak menconteng dinding (vandalisme) itu tenang? Pernahkah kita melihat orang yang hendak mencuri itu tenang? Pernahkah kita melihat orang yang tengah berbohong itu tenang? Pernahkah kita melihat orang yang sedang melebarkan sayap pandangannya ke arah yang diharamkan Allah itu tenang?
Pernahkah??
Kerana apa mereka tidak tenang? Kerana hati pasti katakan TIDAK pada saat kita hendak melakukan hal -hal yang salah. Bahkan, kadang-kadang betapa sayangnya Allah kepada kita Dia memberikan kepada kita satu hati yang pasti akan berkata JANGAN, pada saat kita baru sahaja berniat untuk berbuat salah itu terlintas. PASTI!!
Tetapi sayangnya, manusia seringkali tidak berdamai, memahami dan setia kepada dengan hatinya. Kita seringkali sengaja buat tidak peduli pada apa kata hati kita.
Namun, pernah tidak kita terfikir?
Bahawa sensor hati seseorang manusia itu boleh saja melemah kerana dosa. Jika kita perhatikan, setiap dosa itu pasti akan mengukir noda-noda hitam pada hati seorang manusia.
Sehinggakan bila tiba suatu saat, ketika kita berbuat dosa, kita merasakan seolah-olah itu adalah suatu perkara yang biasa. Kita melakukan maksiat, kita merasakan bahawa itu normal. Kita dan hati kita tidak lagi sensitif ketika mana melihat atau terlihat ada orang yang berbuat maksiat dan dosa di hadapan mata kita. Itulah saat ketika semua sisi yang ada di hati kita telah tertutup noda.
Bagaimana cahaya Allah SWT itu boleh menembusi kepekatan kehitaman jiwa untuk kembalikan manusia ke jalan-Nya?