Menulislah Dari Hati


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillah. Segala kepujian bagi Allah kerana masih lagi membenarkan kita untuk sama-sama berbuat sedikit amal kebaikan walaupun terlalu sering kita melupakan dia dan lebih teruk lagi seringkali kita bermaksiat kepadanya, tetapi tidak sesaat pun Allah melupakan kita dalam terus menebarkan nikmatnya kepada diri kita, terutamanya nikmat iman dan islam; yang semakin luntur disyukuri oleh kebanyakan masyarakat dunia sekarang.

Selawat dan salam dihulurkan kepada Nabi Muhammad SAW, para nabi dan Rasul, para sahabat dan sahabiahnya, ahli keluarga baginda, dan juga untuk mereka yang terus menerus beriltizam, istiqomah dan beristimrar dalam berbuat yang terbaik untuk agama Allah SWT.

Seterusnya, satu peringatan yang jangan hanya sekadar dijadikan omongan kosong dan adat dalam bertazkirah iaitu, IKHLASKAN NIAT kita. Ikhlaskan niat kita dalam menulis. Ikhlaskan niat kita dalam membaca. Ikhlaskan niat kita juga dalam menyampaikan pada orang lain nanti. Kita berbuat bukan kerana mahukan kemuliaan dan keredaan daripada mata manusia, tetapi keredaan dan kemuliaan daripada Allah itu yang paling utama.


Mereka Juga Menulis

Sebenarnya, ramai orang yang menulis. Baik menulis untuk blog, akhbar, surat cinta, buku karangan, dinding sekolah, pintu tandas dan lain-lain.


Cuma, sesuatu yang kita kena perhatikan ialah, ada orang yang menulis dari otak. Kalau kita baca tulisannya, sangat ilmiah! Dikutip dari buku itu, dikutip dari buku ulama ini, habis semua buku dia kutip. Tetapi, dia sendiri belum tentu mengamalkan apa yang dia tulis, kerana dia hanya menulis dari otak. Ada orang yang menulis dari poket. Hanya untuk kepentingan wang. Dia akan sentiasa memastikan tulisannya menjadi yang terbagus kerana apa yang dikejar bukannya perubahan bagi pembaca, tetapi perubahan pada poketnya. Ada juga yang menulis dari hawa nafsu. Ini yang paling bahaya. Menulis kerana kepentingan harta, diri dan sanggup kadang-kadang menulis sesuatu yang menggadaikan nilai-nilai kemuliaan Islam demi kepentingan dan nafsu diri.

Tetapi, apa yang kita mahukan ialah seorang penulis yang menulis dari hati. Kalau kita perhatikan kata-kata Abdul Hamid Al-Bilali dalam bukunya Taujih Ruhiyah, dia mengatakan bahawa,

“Hanya kata-kata yang hidup mampu menghidupkan hati-hati yang mati”

Menurut Ibnul Qayyim Al-Jauziah dalam bukunya Nasihat-nasihat Keimanan, hati adalah bejana untuk lisan. Maknanya, setiap yang keluar dari lisan itu datangnya dari hati. Jika kata-katanya hidup, maka pasti hatinya juga hidup. Kita juga mesti selalu dengar pepatah,

“Hanya yang keluar dari hati yang akan masuk ke hati.”

Poin yang saya cuba untuk sampaikan ialah, sebagai seorang yang mahu mendeklarasikan bahawa dirinya adalah penulis dan pendakwah, maka perkara pertama yang perlu dia perhatikan ialah,

“Kenapa aku menulis?”

Adakah semata-mata untuk mempertontonkan bakat yang ada? Atau mungkin kerana mahu mempamerkan ilmu yang berbuku-buku di dalam kepala semata-mata? Atau mungkin kerana mahu memenuhkan sijil dan poket dengan wang? Atau yang lebih malang lagi kerana mahu memenuhi kepentingan hawa nafsu?

“Habiskan 24 juta untuk beli cincin itu wajar kerana takut membazir..”

Jangan bangga dengan amal

Tujuan utama saya menulis adalah semata-mata untuk memberikan sedikit kontribusi di dalam dakwah itu sendiri. SEDIKIT. Bahkan mungkin lebih rendah tarafnya daripada SEDIKIT. Kerana tiada seorang pun daripada kita akan masuk syurga kerana amal yang kita perbuat.

Dari Abu Hurairah RA, ia berkata,

“Rasulullah bersabda, ‘Mirip-miripkanlah dan tepatkanlah. Ketahuilah, sesungguhnya tidak ada seorang pun dari kalian yang selamat kerana amalnya.’ Para sahabat bertanya, ‘Juga termasuk anda, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, ‘Juga termasuk aku, kecuali jika Allah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya.’” 
[HR Muslim, Kitab: Iman 1/65 No. 38]

Tetapi, perlu tak kita beramal? Tentunya perlu. Orang bodoh sahaja yang kata kita tidak perlu beramal. Sudahlah diri itu penuh dengan maksiat, lepas itu penuh dengan dosa, kemudian mengharapkan rahmat Allah turun kepadanya tanpa ada amal? Logikkah?


Mari kita perhatikan beberapa kisah dalam Riyadhus Shalihin karangan Imam Nawawi, Rasulullah yang sudah pasti masuk syurga itu sendiri amalnya bukan main hebat. Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, dari Abdullah Hudzaifah Ibnul Yaman, dia menceritakan betapa solat malamnya Rasulullah itu sahaja membaca surah Al-Fatihah, kemudian Al-Baqarah kemudian An-Nisa’ kemudian Ali Imran dalam rakaat pertamanya sahaja, lamanya sujud beliau sama hampir sama dengan lamanya berdiri! Dalam hadith yang lain diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, dan lainnya, Ibnu Mas’ud mengatakan,

“Pada suatu malam saya solat bersama Nabi. Beliau berdiri cukup lama sehingga timbul niat buruk saya. Saya ditanya, ‘Niat buruk apa itu?’ Saya menjawab, ‘Saya ingin duduk lalu meninggalkan beliau.’” 
[Muttafaq alaih]

Tapi, cuba kita lihat, baginda Rasulullah SAW masih lagi mengatakan,

“Juga termasuk aku, kecuali jika Allah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya.’”

Jadi, jangan pernah kita berbangga dengan amal. Solat malam Rasulullah baca 6 juz satu rakaat. Patutlah bengkak-bengkak kaki Rasulullah SAW. Kita? 6 muka surat dah merasakan macam pegang kunci pintu syurga, tinggal nak bukak dan masuk sahaja. Yang bengkak cuma hati sahaja sebab tak puas hati kena kejut bangun tahajjud.

Akhi wa ukhti, buatlah amal itu untuk membersihkan hati kita, mengurangkan kesan dosa dan khilaf, dan yang paling pasti ialah kita dapat hadirkan keikhlasan dalam kita beramal AGAR kita juga mendapat rahmat daripada Allah. Amin.

“Dan laksanakan solat pada kedua hujung siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan malam. Perbuatan-perbuatan baik itu menghapuskan kesalahan-kesalahan. Itulah peringatan bagi orang-orang yang selalu mengingat (Allah).” 
[QS Hud, 11:114]



Dakwah itu Perubahan

Sama juga dalam dakwah. Ada orang yang berdakwah dari otak. Kalau kita lihat ke dalam ceramahnya, fuh mantap! Terkedu kita dibuatnya. Bukan saya kata salah jika berdalil dengan hujah yang sangat nyata, boleh sebut kitab apa, apa nama ulama’, siap nombor, muka surat dan perenggan ke berapa boleh disebutnya. Cuma, bagaimana pula dari sudut aplikatif? Cerita tentang bab zuhud, tapi berceramah pakai Alphard kerana supaya nanti Jemaah masjid segan kalau tak bagi duit kurang-kurang RM50 ke atas. Teringat aduan seorang ustaz yang menggunakan kereta buatan Malaysia,

"Ustaz-ustaz ini kadang-kadang beli kereta mahal kerana nanti bila dia berceramah dapat duit banyak. Makin mahal kereta, makin mahal duit yang dia dapat."

Ada orang yang ceramah untuk poket. Itu yang kadang-kadang kita lihat ceramahnya penuh dengan lawak-lawak yang mengarut. Bila nak tempah untuk berceramah, kalau setakat RM500, maka tunggulah 2014 nanti baru dapat dengar dia berceramah. Tapi, kalau ada RM2000, esok pun tidak mengapa.

"Kenapa nak jemput ustaz itu berceramah?" 
"Sebab ceramah dia best, banyak lawak."

Bila kita dengar kadang-kadang pelik. Pelik kerana tujuan berceramah sepatutnya dapat mencetuskan rasa untuk berubah dalam diri pendengar, tapi yang kita dapat lihat cuma gelak tawa memanjang, keluar masjid hilang dah semua. Teringat ada kata seorang ustaz,

“Kalau setakat nak panggil berceramah untuk berlawak, baik panggil raja lawak, lagi best!”

Ada juga yang berceramah kerana hawa nafsu. Ini yang kadang-kadang kita dapat lihat beberapa yang mengklaim diri mereka ulama, tetapi menyokong pemerintahan yang zalim. Apa sahaja yang dibuat mereka adalah betul. Tak kisahlah kerajaankah, pembangkangkah, kalau sesuatu yang benar itu ditegakkan, itu wajar. Tetapi, hakikatnya tidak seperti yang kita harapkan. Kerana apa?

Masing-masing ada jawapan masing-masing berdasarkan kepentingan masing-masing. Kalau kata Ustaz Hasrizal, di laman web beliau,

“Berdakwah bukan untuk memberi TAHU, tetapi ingin mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU. Pencerahan bukanlah pada menghimpun maklumat dan pengetahuan, tetapi membuka jalan kembara insan mengenal TUHAN.” 
[Abu Saif]

Tulislah dari hati

Konklusinya, sampaikanlah sesuatu itu dari hati. Berdakwahlah kepada masyarakat dari hati. Hati yang dimaksudkan di sini pastilah hati yang selalu dimandikan dengan ayat-ayat al-Quran dan hadith nabi, kemudian semuanya itu dizahirkan dengan perbuatan amal soleh yang real. Bukan hati yang kotor dengan lagu-lagu maksiat dan keinginan-keinginan yang membusukkan lagi amal yang akan terzahir. Sebab hati yang kotor dikhuatiri akan mengotorkan hati orang lain pula.

Terakhir, doakan saya istiqomah dan bukan setakat seronok menulis, tetapi juga seronok dalam berbuat di dunia real seperti yang dicontohkan oleh Dr Abdullah Azzam, Hasan Al-Banna, Sayyid Qutb dan mereka-mereka yang dibunuh kerana mereka bukan setakat menulis, tetapi mereka berbuat apa yang mereka tulis. Penegasan, mereka mati bukan kerana mereka menulis, tetapi mereka mati kerana berbuat apa yang ditulis. Tambahan, mereka juga mampu mencetuskan kemahuan dalam diri masyarakat sampai hari ini dalam berbuat seperti apa yang mereka perbuat. Masya-Allah.

"Jari telunjuk ini yang menjadi saksi setiap kali di dalam sembahyang bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah tidak mungkin sama sekali akan menulis coretan yang hina dan mengampu-ampu. Jikalau sememangnya saya layak dipenjara, saya reda menerimanya. Tetapi jika saya dipenjara dengan zalim, saya sama sekali tidak akan tunduk memohon belas kasihan daripada orang yang zalim." 
[Sayyid Quthb, Inilah Islam, m/s 10 (Pustaka Salam, 2000)]



Saya menulis hanya untuk kebaikan kepada diri saya sendiri. Adapun yang terasa, terkesan, terkena, itu semua datangnya dari Allah 'azza wajalla. Kerana Allah-lah yang mempunyai hak dalam memasukkan taufik serta hidayahnya ke dalam hati sesiapapun yang Dia kehendaki. Bukan saya...


"bangkit"
khir al-imtiaz
2238 hours
22-12-2011

Comments

  1. Assalamualaikum..

    Allahukabar..syukran jazilah atas perkongsiannya..

    amat bermkna..dpt jua diri ini bermuhasabh sbntr..

    moga kita sama2 dapat mengamalkan apa yg kita tulis..ikhlaskn diri semasa menulis semata2 krn-Nya..moga ALlah menerima amalan kita..

    amin.

    ReplyDelete
  2. Salam ukhuwah buat saudara Mohamad Khir

    Pengisian blog anda menarik sekali dan berkualiti.Saya suka!

    Artikel tuan bagaikan kokok ayam yang mengejutkan tidur saya di pagi hari yang dingin.

    Alpa dan lupa adalah penyakit lazim manusia.Perlukan penawar untuk meredakannya.Peringatan dari tuan amat berharga.

    Pohon izin untuk saya copy paste artikel ini kerana saya rasakan ianya seperti ianya khusus untu saya (maaf!)walau pun hakikatnya untuk semua pembaca blog tuan ini.

    Terima Kasih.Wassalam!

    ReplyDelete
  3. msya-Allah.. saya hanya menulis wahai akhi.. Allah yang membuka hati antum.. berterima kasihlah pada Allah..

    ReplyDelete
  4. ALLAHU AKBAR!
    Terima kasih kerana berkongsi sesuatu yang bermakna untuk kami baca dan timba. Hanya sesuatu yang keluar dari hati akan masuk ke dalam hati...

    Jazaka ALLAHU khaira.

    ReplyDelete
  5. maafkan ana tapi kalau penceramah itu buat lawak , namun poit utamanya ialah ingin mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU kepada umat islam, apakah pandangan anta?

    ReplyDelete
  6. ok lah tu..
    kalau monotone je, tidurlah nanti pendengarnya.

    maksud saya adalah mereka yang memang berlawak semata-mata untuk menarik perhatian agar dia dapat duit, menjadi tekenal. bukan untuk cipta perubahan.. dan lebih melampau, kadang-kadang berceramah atas dewan depan budak sekolah, tapi buat lawak lucah, sedangkan ada title al-Hafiz.. lawak memanglah lawak, tapi, sampaikah mesej kebenaran di situ? jika sampai sekalipun, adakah benar cara penyampaian dia tu?

    wa Allahualam.. tapi, kalau benar untuk kebenaran, ana rasa itu bukan caranya..

    sekali lagi, tak salah nak melawak dalam pengisian/ceramah, tapi mesej perlu sampai agar dapat mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU dalam diri para pendengar.

    ReplyDelete
  7. Salam'alaik wbt :

    I faced a lot of conflicts inside me exactly when I start to write any entry.
    Yes, menulis mmg sangat best. Bagi kepuasan kadang-kadang bila ada yang ambil perhatian dgn apa yang kita sampaikan.

    In some extent, kata-kata kita boleh jadi terlalu menarik. Tapi maknanya 'tiada' lagi.

    dan sy berpendapat, menyentuh hati sendiri itu jauh lebih susah, tapi lebih baik.

    wallahu'alam.
    Salam wbt

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?