Realisasi Cinta


“Adapun orang-orang beriman sangat besar cintanya kepada Allah.”
[QS al-Baqarah, 2:165]



Assalamu’alaikum Cinta

Satu perkataan yang sentiasa menjadi topik hangat sepanjang zaman. Yang mana insan yang bergosip mengenainya bukan hanya para jejaka atau para gadis, bahkan juga kanak-kanak yang baru belajar menghafal huruf, hinggalah insan-insan yang bakal menunggu hari perpisahan mereka dengan dunia.

“Adik, abang nak tanya satu benda boleh tak?”  
“Tanyalah, tapi nanti abang kena belanja ais krim. Ok”?  
“Hehe. Abang nak Tanya kat adik, apa itu cinta?”  
“Hurm.. Cinta tu macam hubungan seorang lelaki dengan seorang perempuan la kot? Kenapa?”

Inilah corak pemikiran yang telah dicetak ke dalam jiwa kebanyakan manusia zaman sekarang. Apabila disebut sahaja cinta, maka jawapannya,

“Hurm.. Cinta tu macam hubungan seorang lelaki dengan seorang perempuan la kot? Kenapa?”

Satu fenomena yang pernah dianggap aneh pada suatu masa dahulu, tetapi dilihat sebagai satu “ke-normal-an” bahkan memang “sepatutnya-macam-itu”, oleh kebanyakan masyarakat kita sekarang.

Cinta memang tidak akan pernah habis bila dibahas.

Walaupun sudah ramai orang yang mengulas mengenainya. Ibaratkan memasak, meskipun bahannya sama, tapi kalau orang yang memasaknya atau cara memasaknya berbeza, maka akan menghasilkan satu hasil yang berbeza.




Definisi Cinta

“Cinta: cerita indah yang tiada akhir”. Betul ke?

Menurut Imam Abu Dawud azh-Zhahiri,

“Cinta adalah cermin bagi orang yang sedang jatuh cinta untuk mengetahui watak dan kelemah lembutan dirinya dalam citra kekasihnya. Kerana sebenarnya, dia tidak jatuh cinta kecuali pada dirinya sendiri”.

Bermaksud, orang yang jatuh cinta sebenarnya jatuh hati pada kemiripan peribadi orang yang dicintai. Ia mencintai kekasihnya kerana ada kesamaan selera, kebiasaan, watak mahupun sifat antara dirinya dan kekasihnya. 

Ibn Qayyim al-Jauziyah pula mendefinisikan sekitar lima puluh buah nama cinta!

Antara poin-poin yang dihuraikan beliau dalam bukunya Taman-taman Orang –orang Jatuh Cinta dan Rekreasi Orang-orang Dimabuk Rindu adalah,

“Cinta adalah sikap mementingkan orang yang dikasihi lebih dari semua teman” 
“Cinta ialah memelihara kesetiaan. Oleh itu, tidaklah benar bila orang yang mengaku cinta kepada seseorang sedang dia tidak memelihara kesetiaannya”

 Dan…

“Cinta adalah ingatan kepada sang kekasih dalam setiap helaan nafas”

Itulah definisi-definisi cinta yang saya dapat kongsikan di sini.




Bayangan Cinta

Dialog ini dirakamkan lebih kurang di penghujung tahun lepas melalui laman sosial Facebook, ketika mana seorang remaja berumur 16 tahun yang tidak dikenali, tiba-tiba mengutarakan hasrat “murni”nya untuk berkenalan dengan saya. Tapi sayangnya, perbualan itu terhenti setakat itu sahaja kerana dia tiba-tiba offline.

Muhammad     : Umur kau berapa sekarang?
Khir         : 19 tahun 
Muhammad     : Kau ada awek tak? 
Khir         : Tak. 
Muhammad    : Haha. Kesian kat kau. Dah 19 thn pun xde awek. Aku ada awek. 
Khir         : Tak main lah awek-awek ni. Macam budak kecik lah.  
Muhammad     : Habis kau tak nak kahwin ke? 
Khir         : Siapa kata kalau nak kahwin kena ada awek dulu? 
Muhammad is offline

Ayuh kita berfikir sejenak.

Seteruk inikah mindset budak-budak sekolah zaman sekarang? Kalau nak nikah, mesti kena ada teman wanita dulu. Kalau tak, kira tak laku sampai ke tua.

Inikah islam?

Kalau itulah mindset remaja 16 tahun yang bersekolah di sekolah primer nombor satu di dalam carta negerinya, apa pula agaknya corak pemikiran remaja-remaja sekolah biasa. Bagaimana pula dengan remaja yang tidak bersekolah? Bagaimana pula dengan remaja-remaja yang mungkin dewasa sedikit daripada mereka, iaitu yang belajar di IPT, atau yang sedang bekerja di kilang, atau yang masih berseronok dengan “mengisi” masa mereka dengan dadah, arak, pergaulan bebas, rempit, menganggur, dan sebagainya?

Pasti lebih teruk. Walaupun mungkin bukan semua, tetapi saya yakin, majoriti akan berfikiran seperti remaja 16 tahun tadi, bahkan lagi teruk. Na’uzubillah.

Inikah islam yang diajar oleh Allah melalui perantaraan lisan Muhammad SAW?

 


Spesialisasi Cinta

Mari kita sama-sama meluaskan sedikit skop perbahasan cinta kita. Bukan hanya terjumud kepada cinta kepada manusia. Tetapi, segalanya.

Cinta terhadap kekayaan, cinta terhadap kemewahan, cinta terhadap kekuasaan, cinta terhadap keduniaan, cinta terhadap kemaksiatan, cinta terhadap kemalasan, dan macam-macam jenis spesies cinta yang wujud. Dalam dunia keinginan manusia.

Cintanya seseorang kepada kekayaan, maka kita akan melihat betapa ramai manusia yang sanggup mengorbankan hak-hak mereka terhadap Allah.

Keliru antara rasuah atau kejujuran. Keliru antara waktu solat atau waktu kerja. Keliru antara infaq atau riba. Keliru antara majlis ilmu atau karaoke di kelab malam. Keliru akan cinta Allah dan Rasul SAW atau dunia. 

Cintanya seseorang kepada kemaksiatan, maka kita akan melihat betapa ramai manusia yang sanggup mengorbankan agama mereka untuk itu.

Keliru antara zina atau nikah. Keliru antara arak atau pelbagai jenis minuman yang dihalalkan. Keliru antara Al-Qur’an atau majalah hiburan. Keliru antara syurga dunia atau neraka akhirat. Keliru antara keseronokan atau ketenangan. Keliru antara kenginan hawa nafsu atau perintah dari Tuhan.
 “Dan di antara manusia ada orang yang menyembah tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman sangat besar cintanya kepada Allah. Sekiranya orang-orang yang berbuat zalim itu melihat, ketika mereka melihat azab, bahawa kekuatan itu semuanya milik Allah dan bahawa Allah Allah sangat berat azabnya.
[QS al-Baqarah, 2:165]

Dan sebahagian ulama’ tafsir mengatakan, tafsir kepada firman Allah di atas adalah,

“Katakanlah: “Jika bapa-bapakmu, anak-anakmu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khawatirkan  kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”
[QS at-Taubah, 9:24]

Na’uzubillah.

 


Cahaya Cinta

Cukuplah. Bangunlah kita dari tidur yang lena. Kembali melihat kepada cahaya yang telah Allah berikan kepada kita.

Satu soalan yang sememangnya selalu saya tanyakan baik pada budak-budak sekolah, kawan-kawan di IPT, dan pernah juga kepada diri saya sendiri. ketika masih keliru antara cinta nafsu dan cinta Allah.


“Apa yang kita akan buat, seandainya kalau kita nak buktikan cinta kita kepada seorang wanita?”


Terlalu banyak jawapan yang kita akan dapat.

Sanggup korbankan semua duit untuknya, sanggup korbankan semua masa untuknya, sanggup korbankan semua tenaga untuknya.

Sentiasa berusaha untuk memastikan dia selalu cinta kepada kita. Sentiasa berusaha untuk memastikan dia tidak akan pernah cuba membenci kita. Sentiasa berusaha memastikan dia berada dalam keadaan bahagia. Sentiasa berusaha memastikan dia tidak akan pernah merasa sedih atau cemburu.

Semua perkara yang kita rasa dia suka, kita akan buat. Semua perkara yang kita rasa dia akan benci, kita akan tinggalkan. Semua perkara yang dia suruh, kita berusaha memenuhinya tanpa pernah beralasan. Semua perkara yang dia suruh tinggalkan, kita sanggup tinggalkan tanpa beralasan.

Hanya kerana mahu mendapatkan cinta seorang manusia.

Cinta yang tidak mampu memberikan kita jaminan untuk mengecapi kebahagiaan di dunia, mahupun di akhirat.

Tapi, bagaimana pula dengan pembuktian cinta kita pada Allah?



Muhasabah Cinta

Tidak mungkin dalam kehidupan seorang muslim untuk memisahkan antara kecintaannya kepada Allah dengan kecintaannya kepada Rasul SAW. Hal ini merupakan tuntutan dari kedua kalimah syahadah yang diucapkannya. Tidaklah sah keislaman seseorang yang hanya mengucapkan satu syahadah dan mengabaikan yang lainnya.

Bukti kecintaan seseorang kepada Allah, adalah dengan mengikuti apa yang diperintahkan oleh Allah dalam al-Qur’an, tanpa pernah cuba untuk menambahi, atau menguranginya.

“Katakanlah: ‘Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.’ Dan, Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani”
[QS Ali ‘Imran, 3:31]

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa terdapat satu kaum pada zaman Rasul SAW yang berkata,

“Demi Allah hai Muhammad! Sesungguhnya kami benar-benar yakin dan cinta kepada Tuhan kami.”

Maka Allah menurunkan ayat di atas sebagai tuntutan bagaimana seharusnya mencintai Allah.
[Diriwayatkan oleh Ibn Munzir dari al Hasan]

 

Dan apa antara perintah Muhammad SAW yang direkodkan di dalam surat cinta Allah kepada kita?

“Katakanlah: “Jika bapa-bapakmu, anak-anakmu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khawatirkan  kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”
[QS at-Taubah, 9:24]

Bezakanlah antara hawa nafsu dan cinta.  Binalah kekuatan dalam dirimu serta hatimu, dan susunlah kembali tingkatan-tingkatan cinta seperti yang sepatutnya untuk bertakhta di hati kita. Bermula dengan Allah, Rasul, jihad dan seterusnya, berdasarkan firman Tuhan di atas.

Tinggalkanlah segala cinta kita pada manusia kerana cinta kita pada Allah. Tinggalkanlah segala cinta kita pada harta kerana cinta kita pada Allah. Tinggalkanlah cinta kita pada kekuasaan kerana cinta kita pada Allah.

Perit?

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”
[QS al-Baqarah, 2:216]

Subhanallah. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Carilah cinta Allah. Kerana itu cinta abadi.

Wa Allahu ‘Alam

 


“ikhlaskan niatku, dalam penulisanku”
Khir al-Imtiaz
10.28 malam
04-03-2011
V2A 105

Comments

  1. cinta itu buta...mampu membuat manusia buta hati jika tidak kena pada fitrah insaninya~

    alhamdulillah,sgt bermanfaat bagi yg tercari-cari erti cinta yg hakiki~

    jemput baca hasil tulisan ana dengan izin dariNya..
    :)

    http://pemudarindusyahid.blogspot.com/2011/02/perkongsian-jika-benar-cinta-itu-buta.html

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum enta....ana suka post enta...mintaq izin nk copy boleh?

    ReplyDelete
  3. waalaikumussalam..

    silakan copy. tp, letaklah link blog ni sekali.

    ReplyDelete
  4. salam shbt...
    sungguh b'makna karya penulisan anda...
    teruskanlah usaha anda,moga diberi kesempatan untuk membuat lebih banyak lagi article2 sebegini...salam ukhwah

    ReplyDelete
  5. =')

    shukran. teruskan menulis yang bermanfaat, khusus yang melibatkan isu BENAR dan NYATA dalam kalangan KITA.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?