بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
"Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) memancar daripadanya. Dan ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan."
[QS Al-Baqarah, 2:74]

Sunday, 27 March 2011

Kewajipan dan Masa


“Demi masa. Sesungguhnya insan itu berada di dalam kerugiaan. Melainkan mereka yang beriman, beramal soleh, saling berwasiat dengan kebenaran, dan saling berwasiat dengan kesabaran.” 
[QS al-‘Asr, 103:1-3]
***

Mari kita sama-sama senaraikan, apa yang kita mahu lakukan di dunia ini sementara ianya belum tamat. Terlalu banyak. Hinggakan jika diberikan kertas untuk menyenaraikan semuanya, nescaya sehelai kertas itu tidak akan muat. 


Tetapi, sebelum kita sebut tentang apa yang kita mahu lakukan, elok kita cerita dulu tentang apa yang kita perlu buat. Itu sahaja pun belum tentu dapat diselesaikan semuanya. Sebab tu lah bila Mujaddid Umat ini (Hasan Al Banna) mengeluarkan pernyataan,

“Kewajipan yang ada lebih banyak daripada waktu yang diberikan.”

Ia adalah tepat dan sangat berhikmah. 


Sebelum melangkah melihat ke dalam hidup orang lain, lihat dahulu hidup kita dan diri kita. Apakah yang telah kita lakukan selama kita hidup? Adakah semua yang kita lakukan tersebut cukup untuk meneruskan hidup di “sana” nanti? 

Kita sendiri tahu dan kita sendiri sedar akan bertimbunnya amanah yang perlu kita galas, namun kita sering berusaha mengabaikannya dan merasakan tidak perlu mengambil tahu. Sehinggakan apa yang kita hendak lakukan didahulukan dibandingkan dengan apa yang perlu kita lakukan. Kehendak dan keperluan itu perlu difahami agar kita tidak membuang baki hidup yang bakal kita jalani selepas ini dengan perkara-perkara yang tidak perlu dalam kehidupan. Sangat sangat banyak perkara yang belum kita tunaikan yang akan dipersoalkan di sana nanti. 

Cuba jawab soalan-soalan di bawah: 

1. Sudahkah kita menghafal Al-Quran?  
2. Sudahkah kita menguasai Bahasa Arab?  
3. Sudahkah kita mendidik generasi kita dan generasi di bawah kita untuk menyambung perjuangan? 
4. Sudahkah kita berbakti kepada ibubapa dengan sesungguhnya?  
5. Sudahkah kita menguasai bidang-bidang ilmu yang pelbagai?  
6. Sudahkah kita bersedia untuk mati? 
7. Sudahkah kita cukup beramal untuk bertemu Allah? 
8. Sudahkah kita…itu dan ini? 

Setiap soalan ada jawapannya. Dan jawapan itu membawa amanah yang perlu kita tunaikan. 

Kewajipan-kewajipan tetap tergalas. Persoalannya bukan sama ada kita ingin memikul kewajipan itu ataupun tidak, tetapi sama ada kita ingin melaksanakan dengan cara terbaik atau mengabaikannya.


Kewajipan tetap kewajipan! 

Masa terhad, umur makin dekat kepada pengakhiran, adakah hati makin insaf dan makin beriman? 


Demi Masa

“Demi masa. Sesungguhnya insan itu berada di dalam kerugiaan. Melainkan mereka yang beriman, beramal soleh, saling berwasiat dengan kebenaran, dan saling berwasiat dengan kesabaran.” 
[QS al-‘Asr, 103;1-3]

Inilah satu surah yang sangat popular dan dihafal dengan sangat mahir oleh kebanyakan masyrakat. Tetapi, berapa ramai pula dari sejumlah manusia yang menghafalnya tadi, memahami akan kehendak ayat ini?

Ayat ini dimulakan dengan satu sumpahan. Di mana, apabila Allah SWT bersumpah atas ciptaannya, itu menunjukkan bahawa akan ada sesuatu yang hebat dan penting hendak disampaikan dari Allah kepada umat manusia. Dan makhluk yang disebut oleh Allah SWT dalam sumpahannya kali ini adalah masa.

Kemudian, Allah menyebut bahawa, “Sesungguhnya insan itu berada di dalam kerugian". Perkataan al-Insan yang digunakan dalam ayat ini merujuk kepada semua jenis manusia. Tidak mengira sama ada dia adalah mu’min, muslim, munafikin, musyrikin, kafirin dan apa sahaja. Semua! Semua berada dalam kerugian!

Tetapi, Allah menyebutkan dalam ayat seterusnya akan ciri-ciri mereka yang terselamat dari kerugian. Iaitu mereka yang beriman, beramal soleh, saling berwasiat dengan kebenaran, dan saling berwasiat dengan kesabaran.”

1. Mereka yang beriman

Adakah kita tergolong dalam golongan insan yang beriman? Mari kita telusiri sedikit pertanyaan yang diungkapkan untuk kita bermuhasabah sejenak. 

Kita percaya akan Allah. Tetapi di saat kita bermaksiat, kita melakukannya seolah-olah Allah SWT tidak pernah wujud, melihat apa yang kita lakukan. Betul tak?

Kita percaya akan malaikat. Tetapi di saat kita melakukan maksiat, kita melakukannya seolah-olah tiada malaikat yang akan mencatat segala amal perbuatan kita. Betul tak?

Kita percaya akan kitab-kitab Allah. Tetapi bilakah kali terakhir kita membacanya, kemudian kita menghayatinya, kemudian kita berhukum dengannya, kemudian kita menyampaikannya? Atau kita kata kita percaya, tetapi dalam diam kita membenci kitab Allah itu sendiri. Betul tak?

Kita percaya akan nabi-nabi dan para rasul. Tetapi sunnah-sunnah mereka hampir tidak ada yang kita ikuti. Bahkan, kita kadang-kadang malu untuk mengakui yang kita telah melakukan sunnah-sunnah seperti dakwah, solat berjemaah, tahajjud, membaca al-Quran dan sebagainya. Betul tak?

Kita percaya akan hari akhirat. Tetapi hakikatnya, kita mencari hidup di dunia seolah-olah dunia ini tidak pernah berakhir. Seolah-olah kita tidak akan dibangkitkan semula di hari pengadilan nanti. Betul tak?

Kita juga percaya akan qada’ dan qadar. Tetapi di saat kita merasai kejayaan, kita merasakan bahawa itu semua hasil dari penat jerih titik peluh kita semata-mata. Tidak ada sedikit pun campur tangan Allah di dalamnya. Manakala tatkala kita menempuhi kegagalan, sering kali kita menyalahkan takdir dengan mengatakan “Takdir tidak adil”, daripada menyalahkan diri kita sendiri kerana kita gagal. Betul tak?

Jika jawapannya “betul” lagi banyak. Maka muhasabahlah takat keimanan kita, dan mermujahadahlah untuk memperbaikinya dengan tarbiah.


2. Mereka yang beramal soleh

Mari kita review sedikit mengenai solat kita.

Berawal dari wudhu, adakah yang kita bersihkan itu terbatas hanya sekadar muka, tangan, kepala dan kaki? Atau secara keseluruhan, luar dan dalam, seperti hadis Muhammad SAW,
“Jika seseorang berwudhu’, maka ketika berkumur dosa-dosanya akan keluar dari mulut; lalu ketika membasuh muka, dosa-dosanya akan keluar dari kelopak mata; kemudian ketika dia membasuh tangannya, maka dosa-dosa pun akan keluar dari bahagian dalam kuku-kukunya. Ketika dia mengusap kepala, maka dosa-dosanya akan keluar dari kepala bahkan di bawah telinganya. Dan ketika dia membasuh kakinya, maka dosa-dosanya juga akan keluar dari kaki dan bahkan kuku-kuku kainya.” 

[HR an-Nasa’i dan Ibn Majah]

Ketika menghadap kiblat. Adakah hanya wajah kita sahaja yang menghadap kiblat, sementara hati kita tertutup? Adakah hanya wajah kita sahaja menghadap kiblat, bukannya dengan hati? Adakah hanya wajah kita sahaja menghadap kiblat, sedangkan hati kita berpaling? Maka ingatlah di saat kita menghadap kiblat, berusahalah untuk mengarahkan pandangan hati kita ke arah kiblat itu, bukan hanya sekadar wajah dan dada.

Amal soleh bukan hanya sekadar solat, tetapi semuanya. Baik ibadah-ibadah khusus, mahupun adat kebiasaan. Selagi mana ianya menepat syariat Allah dan disucikan dengan keikhlasan. Maka ianya adalah amal soleh.


3. Mereka yang berwasiat dengan kebenaran dan kesabaran

Berwasiat dengan kebenaran, atau nama lainnya, dakwah. Merupakan antara pekerjaan yang paling tidak popular di era modenisasi dan sekularisme ini. Tetapi inilah salah satu perkerajaan yang mampu menyelamatkan diri insan itu dari kerugiaan. Tohmahan, cacian, fitnahan, cubaan, dugaan dan lain-lain, pasti mendatang kepada insan yang mahu melakukan kerja-keraja yang berbau dakwah ataupun berwasiat dengan kebenaran. Maka, Allah juga mengangkat martabat orang yang berwasiat dengan kesabaran. Kerana dalam menyampaikan kebenaran, kesabaran sangat diperlukan, kerana jalan yang ditempuhi oleh pembawa kebenaran adalah jalan yang di mana ramai manusia bukan sekadar diuji dengan hartanya, tetapi dengan nyawanya. Maka kesabaran adalah tunjang keteguhan.

Adakah kita insan yang rugi ataupun beruntung? Pilihlah ikut kemahuanmu, kerana Allah SWT sendiri tidak pernah memaksa kita untuk memilih yang baik, juga untuk kita memilah yang buruk.

Allah telah mengurniakan kita deria dan akal, agar kita mampu melihat, mendengar dan berfikir, yang mana satu kaca, yang mana satu berlian. Hanya insan-insan yang berakal sihat sahaja yang mampu menjumpainya. Namun tidak menafikan juga akan taufiq serta hidayah daripada Allah SWT.

Ingatlah kewajipanmu hidup di dunia ini bukan hanya sekadar bersuka ria dan mencari keseronokan, tetapi ada kewajipan yang lebih besar yang akan menempatkan kita sebagai insan yang beruntung. Hinggakan gunung sahaja boleh berkecai jika memikul tanggungjawab yang diberikan kepada kita. Perjalanan kehidupan kita mungkin masih panjang dan jauh, tetapi itu tidak bermakna ianya masih lama.



“mencari semula keimanan”
Khir al-imtiaz
1607 hours
27-03-2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

+++


"Wahai kaum Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia, memboikot produk-produk buatan Israel dan Amerika adalah kewajipan bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia. Setiap dolar yang kita bayarkan untuk sebotol Coca-Cola misalnya, akan menjadi sebutir peluru di dalam senjata orang-orang Amerika atau Israel yang akan diacu ke arah kita. Kita telah menyumbangkan wang kita setiap hari kepada McDonalds, KFC, Burger King dsb, tanpa memikirkan ke mana wang itu akan dibelanjakan.

Menurut pendapat saya, setiap Muslim harus bertanggungjawab dalam hal yang mempengaruhi keluarga dan gaya hidup mereka. Lihatlah kepada orang-orang Amerika yang telah membatalkan (veto) resolusi PBB untuk mengutuk aksi tentera Israel di Palestin. Jika mereka itu adalah pemelihara perdamaian seperti yang mereka dakwa, apakah mungkin mereka melakukannya (membatalkan resolusi PBB)?

Wahai manusia, tidakkah anda berfikir? Tidakkah anda memiliki perasaan lagi? Tidakkah anda merasakan kepahitan negara-negara Arab dan Islam dalam hal ini? Darah yang paling murah adalah darah kita! Kita telah menjadi bahan percubaan bagi senjata-senjata dan peluru-peluru serta teknologi mereka. Persenjataan perang ini dibiayai oleh kita, dalam gaya hidup konsumerisme yang mereka paksakan ke atas kita.

Saya bertanya kepada anda semua, dengan nama Allah. Saya bertanya pada anda semua, atas nama ribuan orang yang mati di tangan pengganas-pengganas itu pada tahun 1948, 1967, 1973 di Qana, di Dir Yassin, di Bahr al-Bakar semenanjung Gaza dan di al-Quds. Saya bertanya kepada anda semua, atas nama orang yang mati syahid untuk kehormatan kita. Saya bertanya ke atas anda, atas nama seorang anak kecil bernama Muhammad al-Durrah, yang syahid dalam pelukan ayahnya ditembusi peluru-peluru, dari wang yang telah kita sumbangkan kepada mereka.

Apakah akan jadi kepada kita? Kita memiliki mata yang tidak dapat kita gunakan untuk melihat. Kita memiliki telinga, tetapi kita tidak gunakan untuk mendengar. Kita memiliki hati, tetapi tidak lagi dapat merasai. Mereka telah menjadikan kita sebagai pengguna-pengguna yang buta, yang rela membayar wang untuk membiayai senjata mereka, untuk mendukung aksi keganasan mereka di dunia Arab dan Islam.

Boikot mereka sekarang! Sekarang atau peluang ini tidak muncul lagi selamanya!

Dunia Arab dan Islam harus bersatu agar menjadi kuat. Kembali dan siapkan persenjataan kita. Kembalikanlah dan bangunkanlah ekonomi kita agar kita dapat menghancurkan mereka. Allahu Akbar!!"

[Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 8 Oktober 2001 (Qatar)]


+++