Identiti Iman


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah."
[QS Al-Anfal, 8:2]


“Jom kita solat berjemaah di masjid. Nak tak?”
“Erm.. Insya-Allah, kau pergi dulu kot. Nanti aku follow.”

“Awak tak takut ke kalau mak awak nampak kita berpegangan tangan ni?
“Alah, pegang tangan je pun. Kat sini takde orang nampak punya.”

“Mak, kenapa ayah asyik balik lewat ya?”
“Sebab ayah kamu tu bertungkus lumus mencari duit, untuk makan minum keluarga kita. Tak pe lah.”

Pencemaran. Dapat didefinisikan sebagai sesuatu keadaan yang sedang mengalami kerosakan kerana adanya campur tangan dari pihak lain.

Udara yang bersih dikatakan tercemar apabila tedapat campur tangan daripada bendasing yang terdapat di dalamnya seperti jerebu, asap, bau yang kurang enak dan sebagainya.

Air dikatakan tercemar apabila air terdapat campur tangan daripada bakteria atau sesuatu yang membuatkannya rosak seperti racun.

Sungai atau laut dikatakan tercemar apabila adanya campur tangan daripada bangkai haiwan yang mati di dalamnya, tumpahan minyak, kesan dari pembuangan sampah sarap ke dalamnya dan sebagainya.



Pelbagai kempen yang dianjurkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta. Baik secara kecil-kecilan, mahupun secara besar-besaran. Berjuta-juta duit kerajaan mahupun swasta dihabiskan hanya kerana mahu mewujudkan kesedaran rakyat baik secara lokal mahupun global. Konsert, artis, iklan, kempen bergerak dan lain-lain. Baik yang muda, mahupun yang tua, semua sepakat setuju untuk sama-sama berkerja keras untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar ini.

Alhamdulillah, ini merupakan satu usaha yang sangat kita boleh banggakan. Kerana menjaga alam semula jadi itu, menjadi satu kewajipan bagi orang-orang yang mengatakan bahawa diri mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhir.
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu di dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”. 
[QS Al-Qasas, 28:77]
Namun, berapa ramaikah di antara mereka yang terlibat dengan usaha di atas ini, atau mungkin kempen-kempen lain seperti pilihan raya, jangan merokok, pencegahan AIDS, keselamatan jalan raya, penderaan kanak-kanak dan lain-lain, yang ada rasa walau sedikit pun dalam hati mereka akan mengenai satu masalah, yang pada saya yang lebih besar sepatutnya untuk diperhatikan berbanding dengan masalah pencemaran udara, air, dan lain-lain yang disebutkan tadi. Bahkan bukan hanya diperhatikan, tetapi berbuat untuk menyelesaikannya.


PENCEMARAN IMAN
Ya. Pencemaran iman. Pelik, atau mungkin kita tidak pernah dengar istilah “pencemaran iman” ini. Tapi kenyataannya, itulah yang sedang menyerang hampir kesemua jiwa muslim pada hari ini, baik di dalam negara mahupun di luar negara. Ayuh kita kecilkan skop kita, melihat ke dalam negara kita tercinta, Malaysia.

Kenapa saya kata iman kebanyakan masyarakat kita sekarang ini sedang tercemar?

Ayuh, kita tak perlu menuding jari ke arah sesiapa. Cukup hanya dengan melihat ke dalam diri kita sendiri. Kerana diri kita sebahagian dari masyarakat.

Masih sucikah iman dalam diri kita? Atau masih, pernah atau sedang mengalami bibit-bibit pencemaran? Atau kita memang tidak pernah ambil tahu pun tentang kehadiran iman di dalam sanubari kita? Cukup hanya yang kita tahu bahawa, “Aku dah mengucap syahadah, dan solat lima waktu, maka penghuni syurga lah nampak gayanya”. Astaghfirullah.


Berbalik kita kepada ayat Surah al-Anfal, 8 ayat ke-2,

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. 
[QS Al-Anfal, 8:2]

Di dalam surah ini, Allah telah meletakkan beberapa indikator dalam kita mengukur sejauh mana tahap keimanan kita. Adakah ianya seperti jerebu yang mana cahaya tidak mampu menembusinya, atau seindah laut yang jernih di mana rumpai laut yang berada di dasarnya segar menghijau?

Perlu kita faham bahawa, Islam dan iman adalah dua entiti yang berbeza. Orang yang beriman, memang pastilah dia orang yang islam. Tetapi, orang yang islam, belum tentu beriman.

Orang-orang "A'raab" berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: `kami telah Islam'. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya, Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". 
[QS al-Hujurat, 49:14]

Jelas dalam ayat ini Allah menyuruh Muhammad SAW untuk menegur orang-orang yang mengatakan dia sudah beriman, degan membetulkan semula penyataan mereka dengan mengatakan "kami telah islam". Kerana apa? Apakah orang islam itu tidak dikira beriman lagi?


Kerana antara sikap orang beriman itu (rujuk QS 8:2) adalah:


PERIBADI IMAN

1.      Apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka.

Gementarlah hati mereka!

Cuba kita refleks dalam diri kita sama-sama. Ketika mana kita mendengar azan berkumandang memanggil setiap hati yang mengatakan diri mereka muslim ini menghadap Rabb mereka. Ada sahaja hati-hati yang sudah mula ber-matematik dengan Allah,

“Nanti kalau aku ke masjid, dah 10 minit, tunggu bilal iqamat, 15 minit lagi, tunggu rapat saf, 5 minit lagi, tunggu habis solat 20 minit lagi, baca doa lagi, jalan balik lagi. Huh, nanti aku dah burn masa study aku. Lagipun, Asar lama lagi. Rileks dulu lah. 5 minit nak Asar nanti baru aku solat. Jimat masa.”

Astaghfirullah.

Allah SWT tak pernah berkira-kira dalam mencurahkan pelbagai nikmat kepada kita dari kemampuan kita untuk bernafas walaupun setiap nafas kita itu disertakan dengan zikir kepada kekasih nafsu kita (wanita, harta, kuasa) berbanding yang kononnya dikatakan kekasih hati iaitu Allah dan Muhammad SAW, kemampuan kita untuk melihat dan membaca walaupun mata kita lebih terarah untuk melihat benda-benda lucah berbanding tanda-tanda kebesaran Allah, kemampuan kita untuk makan dan mencerna walaupun sumber makanan kita itu berasalkan sumber yang haram. Tidak pernah! Tetapi persoalannya, bagaimana sikap kita terhadap Allah?

Berapa kali kita membaca al-Quran dalam sehari, atau mungkin setiap minggu? Tetapi berapa kali pula kita mengulang-ulang baca mesej yang dihantar kekasih nafsu kita?

Berapa banyakkah harta dari segi material mahupun spiritual yang kita sudah korbankan untuk Allah dan Rasul-Nya tanpa pernah berkira-kira. Tetapi berapa banyakkah harta yang sudah kita habiskan untuk kekasih nafsu kita tanpa pernah kita berkira-kira, bahkan rela?

Adakah kita sudah layak digelar peribadi mu’min? Maka perdengarkanlah ayat-ayat Allah. Seandainya masih ada rasa gementar, maka bersyukur dan binalah rasa gementar itu agar menjadi lebih hebat kerana,

Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara taqwa (takut); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal. 
[QS al-Baqarah, 2:197]
Seandainya tidak ada, maka kembalilah kepada Allah. Jangan menangguh-nangguh lagi, kerana tiada siapa yang dapat memberikan jaminan kehidupan kepada kita pada saat selepas ini.

 
 
2.      Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman.

Bertambah iman mereka!

Cuba kita sama-sama tanyakan pada diri kita, “Bertambahkah keimanan aku jika aku mendengar al-Quran?”

Atau hanya seronok dilantunkan dengan pelbagai jenis tarannum.

Atau, apabila kita mendengar sahaja perkataan “al-Quran”, sudah mula wujud bibit-bibit atau rasa-rasa untuk melarikan diri daripada aktiviti-aktiviti yang akhirnya hanya akan membuang masa tanpa ada faedah langsung dari segi material?

Dengar sahaja azan di TV atau radio, terus tukar ke saluran lain.

Maaf,

Ramai di antara kita yang menjadikan al-Qura’n ini hanya sebagai hantaran perkahwinan, tetapi bukan main reference dalam mencipta satu syurga perkahwinan.

 
Ramai di antara kita yang mengenal al-Qur’an hanya ketika ada upacara-upacara kematian. Tetapi bukan sebagai main reference untuk kita bersedia untuk menghadapi kematian itu sendiri.

Jarang sekali di antara kita yang menjadikan al-Quran itu teman dikala takut dan sedih. Sedangkan apa kata Allah jika itu keadaan yang mereka hadapi?

“Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang beriman.”
[QS Ali ‘Imran, 3:139]

Ketika mana kita buntu dalam kesusahan, maka Allah hadir di sisi kita dengan berkata,

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (bersama) orang-orang yang sabar.”
[QS Al-Baqarah, 2:153]

Atau mungkin,

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
[QS Al-Ghafir, 40:60]

Bagaimana kita nak tahu benda ini semua?

Dengan membaca al-Qur’an. Dan, bukan setakat membaca, tetapi menghayati dan mengamalkannya.


Atau mungkin kita lebih prefer,

Aku  : "Awak, saya tension lah"
Nafsu: "Tak pe, mari saya hiburkan awak"

Saya yakin, hanya orang-orang beriman sahaja yang akan yakin tanpa ada rasa ragu-ragu walau sekelumit pun terhadap kata-kata Allah di dalam surat cinta-Nya, yang hanya dibaca oleh insan-insan yang mengimaninya.

Bukan setakat berislam, kerana ramai sahaja orang yang mengatakan diri mereka islam, tetapi hanya pada nama.  Bukan pada praktikal. Islamnya hanya pada kopiah, tetapi merokok. Islamnya hanya pada tudung, tetapi bercouple. Islamnya hanya ketika susah, tetapi tidak ketika waktu senang.

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk bahaya yang telah menimpakannya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan.” 
[QS Yunus, 10:12]

Na’uzubillah


INTROSPEKSI IMAN

Cukuplah. Mulakanlah perubahan dari dalam diri anda, kemudian di persekitaran anda.

Tiada istilah tidak mampu, dalam hendak berubah. Tiada istilah tidak kuat, dalam hendak berubah. Tiada istilah belum sampai seru, dalam hendak berubah. Tiada istilah tidak cukup ilmu, dalam hendak berubah.

Yang ada cuma,

MAHU atau TIDAK MAHU.

Kalau tidak mahu, maka kekal lah kamu duduk dalam keadaan yang indah dari mata pandangan nafsu di dunia ini, tetapi insya-Allah tidak di akhirat.


 
Kalau mahu, maka berhijrahlah kamu tanpa pernah cuba memberikan alasan, tetapi berusaha dalam mencari "jalan". Berhijrah ke mana? Bukan nak suruh ke Madinah atau Habsyah, tetapi kepada Allah SWT. Cukup.
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk (mencari keredhaan) Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” 
[QS Al-Ankabut, 29:69]

Kembali kepada al-Qur’an.
 
Dari Aisyah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” 
[HR Muslim]
  
Segan? Malu?

Janganlah segan dengan mata manusia, tetapi seganlah dengan Allah SWT.

Janganlah malu dengan mata manusia, tetapi malulah kita dengan Allah SWT.

“Dan sesiapa yang berpaling dari pengajaran Allah Yang maha Pengasih (Al-Qur’an), Kami biarkan Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), dan menjadi  temannya karibnya.” 
[QS Az-Zukhruf, 43:36]

Kembali kepada al-Qur’an.

Baca. Hayati. Berhukum. Sampaikan.

Dan,

Mencintainya...

Serta ikhlaskan niat serta amal-mu, kerana Allah semata-mata.




“mencari semula fokus”
Khir al-imtiaz
12.15am
11-03-2011
V2A 105, UTP

Comments

  1. segarkan kempen "cintailah alam kita",

    GENCARKAN kempen "SUBURKAN IMAN"!!

    (^_^)


    p/s:minggu depan ana bayar duit majalah synergy ea.skg ni kat rumah bersama family..huhu

    ReplyDelete
  2. nadiah: jzkk

    fityah91: ayuh. sama2 kita gencarkan ia.. btw, majalah sinergi dah keluar edisi ke-4. kalu nk, mcm biasa lah. =)

    ReplyDelete
  3. tiada jalan lain selain berubah. kebaikan itu perlu bermula berkali-kali. tidak ada putus asa.

    mohon share, terima kasih. :)

    ReplyDelete
  4. share saje.. tapi mohon sertakan sekali link blog ni..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?