Skip to main content

Menangis Kerana Cinta

Kenapa Menangis?

Cuba kita perhatikan keadaan masyarakat di sekeliling kita. Kenapa mereka menangis? Ada yang menangis kerana pasukan bola yang dicintai kalah dengan pasukan lain. Ada yang menangis kerana kononnya dikecewakan oleh kekasih yang dicintainya. Ada juga mungkin yang menangis ketika melihat anak-anaknya atau ibu bapanya yang tercinta melakukan perkara-perkara salah dan tak ikut syariat. Ada yang menangis kerana mendapat memberikan sumbangan atau menerima penganugerahan yang sangat dicintai.

Jadi, kalau kita perhatikan semula semua contoh kes yang saya sebutkan satu per satu tadi, terlalu banyak sebab kenapa seseorang itu menangis. Cuma, daripada kita sibuk membicarakan tentang masalah orang lain 'kenapa mereka menangis'. Adalah lebih baik jika kita tanyakan pada diri kita sendiri,

"Kenapa kita menangis?"

Adakah tangisan kita itu merupakan tangisan yang memadamkan api neraka dan akhirnya membawa kita ke syurga, atau sebenarnya tangisan itu ialah tangisan-tangisan murahan yang mengheret kita ke neraka.

Tanyakan pada diri kita sekarang. Kenapa?



Jika kita perhatikan juga kenapa kebanyakan manusia itu menangis, nescaya kita akan mendapati hampir semua daripada mereka menangis kerana cinta. Cinta terhadap masalah akhirat atau masalah dunia, itu yang perlu kita perdalamkan lagi kajiannya, Tidak kisahlah sama ada mereka mendapat sesuatu atau kehilangan sesuatu. Seseorang itu hanya akan menangis apabila sesuatu perkara yang terjadi atau terlibat dalam kehidupannya itu ada kaitan yang sangat rapat dengan rasa cinta dia pada sesuatu itu.

Ada orang menangis, itu belum tentu kerana masalah dia sedang bersedih. Ada juga orang yang ketawa kelihatan gembira, tetapi itu belum tentu kerana dia bahagia. Kalau kita perhatikan orang-orang yang duduk dalam Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan, berapa ramai orang yang bergelak ketawa dalam tu? Gembira sungguh kalau kita lihat hingga mungkin ada yang teringin untuk jadi macam mereka kerana dah bosan dengan stress kehidupan. Masya-Allah, mestilah ramai, tetapi adakah benar mereka bahagia? Belum tentu..

Suatu masa ketika zaman muda-muda dahulu, ketika kita melihat mak ayah kita menangis ketika kita mendapat keputusan yang baik dan cemerlang dalam peperiksaan. Adakah itu bermaksud bahawa mereka sedih atas apa yang kita perbuat? Belum tentu..


Kerana Allah

Kenapa kita menangis? Pastikanlah jawapannya ialah kerana kita takutkan Allah. Takut kepada Allah bukanlah seperti takut kita kepada hantu atau pemimpin yang zalim. Mereka itu wajarlah kita takut kerana muka buruk, menyusahkan orang dan lain-lain. Tetapi, takutnya kita kepada Allah kerana kita cintakan Dia. Takut kita kepada Allah kerana kita risau seandainya kita adalah insan yang kerap berbuat dosa, takut nanti Dia mula tidak mencintai kita.

Kenapa kita menangis? Pastikanlah jawapannya adalah kerana kita merupakan hamba yang sering berbuat dosa. Setiap kata-kata-Nya kita tidak mahu dengar, tidak mahu ikut, bahkan kadang-kadang kita menjauhkan diri kita daripada mendengar kata-kata-Nya dan melawan kata-kata-Nya. Lebih malang lagi apabila kita adalah orang-orang yang berkomplot dalam membuat usaha-usaha menghalang orang lain daripad amendegar kata-kata Allah. Maka menangislah dan bertaubalah kepada Allah kerana keika kita menjadi hamba yang degil, masih saja nikmat dari-Nya itu diberikan kepada kita. Diberikan kita peluang untuk bernafas dan terus menikmati kehidupan hari demi hari. Dan lebih pelik lagi, Allah memberikan kita kebaikan-Nya dengan meletakkan kita dalam suasana tarbiyah. Menjadi salah seorang daripada orang yang cuba menghidupkan dakwah pada hari ini. Masihkah kita tidak mahu menangis untuk itu?

Di saat kita memberikan alasan halangan keluarga menjadi sebab tidak dapat menghidupkan dakwah, di saat kita memberikan alasan tidak cukup ilmu menjadi sebab tidak dapat menghidupkan dakwah, di saat kita memberikan alasan sibuk dengan kerja dan ijazah menjadi sebab tidak dapat menghidupkan dakwah, tetapi.. Pernah tidak kita dengar alasan daripada jantung kita untuk berhenti berdenyut kerana kita sedang melakukan perkara maksiat terhadap Allah? Mata kita letih melayan nafsu kita daripada melihat perkara dan benda yang bukan-bukan lalu dia terus mematikan fungsinya? Maaf, tidak! Kerana apa? Kerana Allah masih sayangkan kita, kerana itu Dia tidak memerintahkan jantung untuk terus terhenti dan mata terus membutakan dirinya.

Tetapi, cuba lihat pada diri kita. Pernahkah kita menangis untuk itu? Jika pernah, tanyakan lagi, 

"Kerana apa kita menangis?"

Kerana cinta kepada Allah, Rasul dan Jihad?

Atau kerana masalah-masalah keduniaan yang tidak membawa sedikit manfaat pun untuk kita di akhirat kelak mahupun dunia sekarang.


Tangisan Mereka

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Zaid bin Thabit, ketika Zaid bin Thabit menjadi penulis Rasulullah dan sedang menulis surah at-Taubah sehingga sampai kepada ayat perintah jihad, dia meletakkan pen ditelinganya. Rasulullah SAW menunggu wahyu yang seterusnya. Kemudian datang seorang buta bertanya. 

“Bagaimana saya yang buta ya Rasulullah?”

Maka turunlah ayat ini (surah at-Taubah, 9:91) dengan memberi kelonggaran supaya tidak ikut berperang kepada orang yang lemah, cacat ataupun miskin (sampai tak ada apa-apa) asalkan mereka ikhlas kepada Allah. 

“Orang yang lemah dan orang yang sakit, dan juga orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang yang berusaha membaiki amalannya, dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”  
[QS at-Taubah, 9:91] 

Masya-Allah! Seorang yang buta bertanya kepada Rasulullah akan kedudukannya dalam berkorban untuk agama Allah! Kita yang sihat ini pernah tak terfikir nak tanya tentang benda-benda itu semua? 

Dalam riwayat lain pula, dari Ibnu Hatim dari al Ufi dari Ibnu Abbas, ketika Rasulullah memerintahkan orang-orang berangkat berjihad bersamanya, datanglah segolongan sahabat di bawah pimpinan Abdullah bin Maqil al Muzani yang berkata, 

“Ya Rasulullah! Berilah kami tunggangan.” 

Rasulullah bersabda, 

“Demi Allah tidak ada lagi tunggangan yang dapat mengangkut kalian semua.” 

Berlinanglah air mata mereka menyesali diri kerana tidak ada bekalan dan tunggangan untuk turut serta berjihad dan berkorban di jalan Allah. Maka turunlah ayat, 

“Dan tidak juga berdosa orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu,” mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan air mata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).”  
[QS at-Taubah, 9:92] 

Mereka menangis sebab tak dapat nak pergi buktikan cinta mereka.. 

Kalau kita macam mana? Menangis atau sebaliknya?

...

Diriwayatkan bahawa surah Al-Maaidah ayat 3 diturunkan pada sesudah waktu asar yaitu pada hari Jumaat di padang Arafah pada musim haji penghabisan [Wada']. Pada masa itu Rasulullah SAW berada di atas unta. Ketika ayat ini turun Rasulullah SAW tidak begitu jelas penerimaannya untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam ayat tersebut. Kemudian Rasulullah SAW bersandar pada unta beliau, dan unta beliau pun duduk perlahan-lahan. Setelah itu turun malaikat Jibrail dan berkata: 

"Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan demikian juga apa yang terlarang oleh-Nya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu."

Setelah malaikat Jibrail pergi maka Rasulullah SAW pun berangkat ke Mekah dan terus pergi ke Madinah. Rasulullah SAW lalu mengumpulkan para sahabat baginda, dan menceritakan apa yang telah diberitahu oleh malaikat Jibrail. Apabila para sahabat RA mendengar hal yang demikian maka mereka pun gembira sambil berkata: 

"Agama kita telah sempurna. Agama kita telah sempurna."

Apabila Abu Bakar RA mendengar keterangan Rasulullah SAW itu, maka ia tidak dapat menahan kesedihannya. Abu Bakar RA pulang ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya. Abu Bakar RA menangis dari pagi hingga ke malam. Kisah tentang Abu Bakar RA menangis telah sampai kepada para sahabat yang lain. Maka berkumpullah para sahabat RA di depan rumah Abu Bakar RA dan bertanya: 

"Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga begini sekali keadaanmu? Seharusnya kamu merasa gembira sebab agama kita telah sempurna."

Mendengarkan pertanyaan dari para sahabat RA maka Abu Bakar RA pun berkata, 

"Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah sempurna maka akan kelihatanlah akan kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ia menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah SAW. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri Rasulullah menjadi janda." 

Setelah mereka mendengar penjelasan dari Abu Bakar RA maka sedarlah mereka akan kebenaran kata-kata Abu Bakar RA, lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya. Tangisan mereka telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun terus memberitahu Rasulullah SAW tentang kejadian yang mereka saksikan itu.

Berkata salah seorang dari para sahabat RA, 

"Ya Rasulullah, kami baru kembali dari rumah Abu Bakar dan kami dapati ramai orang menangis dengan suara yang kuat di depan rumah beliau." 

Apabila Rasulullah SAW mendengar keterangan dari para sahabat, maka berubahlah muka Rasulullah SAW dan dengan bergegas beliau menuju ke rumah Abu Bakar RA. 

Sebaik Rasulullah SAW sampai di rumah Abu Bakar RA, Rasulullah SAW melihat kesemua mereka menangis dan bertanya, 

"Wahai para sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?." 

Kemudian Ali RA berkata, 

"Ya Rasulullah, Abu Bakar mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahwa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?." 

Lalu Rasulullah SAW berkata: 

"Semua yang dikatakan oleh Abu Bakar adalah benar, dan sesungguhnya waktu untuk aku meninggalkan kamu semua telah dekat". 

Sebaik sahaja Abu Bakar RA mendengar pengakuan Rasulullah SAW, maka ia pun menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan, sementara Ali RA pula mengeletar seluruh tubuhnya, para sahabat yang lain pula menangis sekuat yang mereka mampu. Sehinggakan gunung-ganang, semua malaikat yang ada di langit, cacing-cacing, semua binatang baik yang ada di darat maupun yang ada di laut semua menangis. Kemudian Rasulullah SAW bersalam dengan para sahabat RA satu demi satu dan berwasiat pada mereka.


Di sisi yang lain

Bilal menjadi tukang azan Rasulullah SAW sepanjang hidup beliau. Pernah berlaku suatu ketika semasa Rasulullah SAW wafat, Bilal mengumandangkan azan tetapi apabila sampai kepada perkataan: 

Yang bermaksud: Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasulullah. Bilal menangis tersedu-sedu kemudian meminta daripada Abu Bakar RA supaya mengecualikan beliau daripada azan kerana beliau tidak dapat lagi menanggung kesedihan selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Setelah itu Bilal pergi bersama-sama dengan delegasi dakwah pertama umat Islam kemudian beliau tinggal menetap di Darya (sebuah tempat berhampiran dengan Damsyik) sehinggalah Al-Faruq Umar bin Al-Khattab datang ke Damsyik dan meminta Bilal supaya mengumandangkan azan sekali lagi kerana Umar terlalu mengasihi dan menghormati beliau. Umar pernah berkata: 

"Abu Bakar adalah tuan kita dan beliau telah memerdekakan tuan kita",

Maksudnya ialah Bilal RA.

Apabila Bilal mengumandangkan azan, Umar dan seluruh para sahabat yang ada pada masa tersebut yang pernah mendengar suara azan tersebut pada zaman Rasulullah SAW terus menangis tersedu-sedu kerana mereka terlalu terkenangkan suara azan tersebut yang sudah lama tidak didengari mereka sejak kewafatan Rasulullah SAW dan perasaan mereka terlalu tersentuh menyebabkan mereka semua menangis.



Itulah Mereka, Menangis kerana Cinta...


Ø£ُولَٰئِÙƒَ الَّذِينَ Ø£َÙ†ْعَÙ…َ اللَّÙ‡ُ عَÙ„َÙŠْÙ‡ِÙ…ْ Ù…ِÙ†َ النَّبِÙŠِّينَ Ù…ِÙ†ْ ذُرِّÙŠَّØ©ِ آدَÙ…َ ÙˆَÙ…ِÙ…َّÙ†ْ Ø­َÙ…َÙ„ْÙ†َا Ù…َعَ Ù†ُوحٍ ÙˆَÙ…ِÙ†ْ ذُرِّÙŠَّØ©ِ Ø¥ِبْرَاهِيمَ ÙˆَØ¥ِسْرَائِيلَ ÙˆَÙ…ِÙ…َّÙ†ْ Ù‡َدَÙŠْÙ†َا ÙˆَاجْتَبَÙŠْÙ†َا ۚ Ø¥ِذَا ØªُتْÙ„َÙ‰ٰ عَÙ„َÙŠْÙ‡ِÙ…ْ آيَاتُ الرَّØ­ْÙ…َٰÙ†ِ Ø®َرُّوا سُجَّدًا ÙˆَبُÙƒِÙŠًّا 
۩
"Mereka itulah orang yang telah diberikan nikmat oleh Allah, iaitu dari (golongan) para nabi dari keturunan Adam, dan dari orang yang Kami bawa (dalam kapal) bersama Nuh, dan dari keturunan Ibrahim dan Israil (Yaakub) dan dari orang yang telah Kami beri petunjuk dan telah Kami pilih. Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pengasih kepada mereka, maka mereka tunduk sujud dan menangis."
[QS maryam, 19:58]

Comments

  1. As'salamualaikum , iznkan saya share . trma kash

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Warahmatullah.

    Subhanallah. Menginsafkan. Inshaallah saya tag dalam artikel di blog saya. Inshaallah.

    ReplyDelete
  3. i,m touched..subhanallah :)

    ReplyDelete
  4. kesan yg mendalam, terutamanya bahagian dimana sahabat rasulullah mndpt berita bhw agama telah sempurna tu. sy tertanya2 kenapa beliau menangis

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

“Salam. Saya rasa saya semakin jauh dengan Allah.” Rasa? Jauh? Jangan!!! Sebenarnya. Perasaan semakin jauh dengan Allah itu adalah satu perasaan yang perlu kita syukuri. Kerana kita masih lagi ada perasaan dengan Allah ‘azza wajalla . Kalau kita dapat lihat dalam realiti dunia sekarang, masyarakat kita ..secara umumnya.. sangat jauh daripada Allah SWT. Mereka jauh dari segi penghambaan diri kepada Allah SWT dan mereka jauh dari segi ketaatan kepada Allah SWT. Lebih malang lagi apabila perasaan semakin jauh dari Allah SWT itu tidak pernah terlahir dalam diri mereka hinggakan mereka merasa tenang dan terus menjauhkan diri mereka dari Allah SWT, dari Al-Quran. Jadilah mereka seperti orang-orang yang pernah menerima kitab sebelum kita, iaitu Yahudi dan Nasrani. Orang Yahudi dan Nasrani juga pernah menerima kitab. Taurat dan Injil. Tetapi, apabila mereka tidak menitik beratkan lagi nilai-nilai kekhusyukan penghambaan diri pada Allah dan tidak lagi mematuhi apa yang di...

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Umar RA berkata, “Aku mendengar Nabi Kalian besabda,  “Sesungguhnya Allah mengangkat dan menurunkan suatu kaum dengan Kitab ini.”  [HR Muslim] ayat-ayat cinta yang agung Kita telah mendapat bukti sejarah bahawa selama kita berpegang teguh kepada Al-Quran, selama itu pula kita akan meraih kemenangan; sebaliknya, selama kita meninggalkan Al-Quran, kita akan terhina.  Pada abad ke-8 H, pengamalan Al-Quran pernah diabaikan. Maka datanglah kelompok ar-Rafidhah membonceng kekuatan Tartar dari Mongol dipimpin Genghis Khan. Dalam tempoh lapan hari, lapan ratus ribu orang tewas terbunuh, masjid-masjid luluh lantah, mushaf-mushaf Al-Quran dibakar, dan tentera Tartar membasmi anak-anak dan wanita kita!  Kembalilah wahai generasi muda dan tetua umat kepada Al-Quran, kembalilah kaum lelaki dan wanita umat ini kepada Al-Quran! Hidupkan rumah kalian dengan Al-Quran, bangkitkan kalbu kalian dengan Al-Quran, dan ramaikanlah hati kita dengan Kitab Allah! Semoga ...

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?

Kehidupan adalah sesuatu yang abstrak dari kaca mata seseorang yang tidak tahu apa tujuan hidupnya. Kehidupan pula merupakan sesuatu yang sangat objektif bagi mereka yang tahu apa tujuan hidup mereka.  Apabila merasakan hidup ini seolah-olah tiada makna, itu beerti dia tidak tahu apa sebenarnya tujuan hidupnya. Seperti kita membaca buku kimia, tetapi tidak tahu apa tujuan kita membacanya. Tiada siapa pula yang menerangkan kepada kita apa tujuan kita membaca. Maka kita akan merasakan benda itu sia-sia dan tiada makna, dan pasti kita akan meninggalkan pekerjaan tersebut kerana perkara itu tidak membawa apa-apa makna dalam kehidupannya berbanding main games, ber couple atau  stay up tengok movie yang for sure dapat memuaskan hawa nafsu dengan alasan release tension kononnya. Mengapa hidup perlu ada tujuan?  Segala yang berlaku itu pastilah ada tujuannya, tidak akan saja-saja ada. Sedangkan tahi di tepi jalan pun ada tujuan kenapa ia diciptakan di situ, ...