Menata Kesibukan Dalam Hidup



Sibuk. Ramai di antara kita takut untuk menjadi sibuk berbanding untuk lapang. Jika ada dua pilihan antara sibuk dan lapang, tentu pilihan untuk lapang dan hidup santai yang akan kita pilih. Sekalipun kita sedia maklum, masa lapang adalah ujian pada kita yang sering kita lupakan. 

"Dua nikmat yang sering dilupakan manusia; sihat dan masa lapang" 
[HR Bukhari]

Realiti Kehidupan 

Kita sering memberi alasan sibuk apabila diajak kepada kebaikan. Tidak cukup masa, banyak assignment, test yang bakal menjelma dan banyak lagi alasan yang sering kita beri. Namun realitinya, berapa ramai di antara kita yang masih lagi mampu untuk melayari laman Facebook dan duduk berjam-jam di hadapan komputer. Lihatlah statistik yang dikeluarkan, seramai 10.2 juta daripada 28.9 juta rakyat Malaysia mempunyai Facebook dan telahpun disibukkan dengan 'kitab' buatan Mark Zuckerberg ini setiap masa. 

Dalam pada mereka mengatasnamakan kesibukan, mereka masih boleh mengemaskini blog dan berpindah daripada blog lain ke blog lain setiap hari. Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu memuat turun movie dan anime serta menontonnya berjam-jam di hadapan komputer. Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu menghabiskan setiap episod drama di televisyen. Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu membalas setiap mesej daripada kekasih mereka dan masih ada masa untuk membuat temu janji setiap minggu atau setiap hari. Realitinya, jika tidak sibuk dengan kebaikan, kita tetap akan sibuk dengan kemaksiatan.


Sibuk untuk agama Allah 

Rasulullah saw sibuk dengan tugasnya menjadi ketua negara, ketua perang, ketua keluarga, berdakwah dan ibadah kepada Allah. Mus’ab bin Umair sibuk dengan tugasnya berdakwah di Madinah. Abu Bakar sibuk menjadi sahabat Rasulullah saw yang paling setia. Abu Hurairah sibuk mengumpul hadith daripada Rasulullah saw dan otaknya adalah gudang pengetahuan. Khalid al Walid sibuk menjadi panglima perang yang berwibawa. Siti Khadijah sibuk menguruskan perihal Rasulullah dan menjadi pendokong setia baginda. 'Ibn Sina dan Al-Razi sibuk dengan hafalan Al-quran, kajian-kajian tentang perubatan dan penghasilan karya-karya yang masih segar dan menjadi rujukan hingga kini. 

Mereka juga sibuk. Namun mereka sibuk dengan perkara-perkara yang memberi kebahagiaan dunia dan akhirat. Apakah sama kesibukan kita dan kesibukan mereka? Setiap sisi kehidupan mereka adalah untuk membantu agama Allah. Begitulah yang telah dicontohkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Mereka bahkan lebih sibuk daripada kita dengan dakwah dan jihad yang mereka lalui demi menegakkan agama tercinta ini. Mereka disibukkan dengan ibadah, halaqah-halaqah ilmu, dakwah, perang, infaq dan membangunkan ekonomi untuk dijadikan harta dakwah. 

Mulia. Itulah perbezaan bagi orang yang sibuk untuk agama Allah. 


Orang kafir juga sibuk 

Siapa kata hanya dengan berkomitmen pada dakwah Islam akan sibuk? Orang kafir juga sibuk dalam mendakyahkan agama mereka kepada manusia di muka bumi. Mereka berkorban sepenuhnya untuk agama batil mereka. Bahkan mereka lebih ‘mulia’ kerana mereka sanggup untuk menginfak masa dan tenaga demi agama mereka. Mereka lebih ‘mulia’ berbanding orang Islam yang lebih rela berpeluk tubuh tidak melakukan apa-apa hanya kerana trauma dengan sebuah perkataan; sibuk. 

"Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, karena sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.  
[QS An-Nisaa’, 4:76] 

Tiada seorangpun yang hidup di muka bumi ini berjaya dengan diam bersantai. Latar belakang orang yang berjaya jika diselidiki, mereka sepanjang hidup berhempas pulas dengan urusan-urusan dunia mereka. Bagi orang yang bertaqwa, mereka pula berhempas pulas dengan urusan akhirat dan tidak dilupakan bahagian dunia mereka. Namun, jika kita lihat, hampir kesemuanya sibuk. Tentu golongan kedua lebih mulia kerana persiapan akhirat yang telah mereka lakukan. Sangatlah menghairankan jika ada orang yang takut sibuk dengan hal-hal akhirat, tetapi tidak pula mereka takut jika sibuk dalam hal keduniaan dan kemaksiatan. 


Pengalaman Saya 

Semasa zaman degree saya dahulu, mana-mana pelajar akan mengatakan dialah yang paling sibuk. Pelajar perubatan, farmasi, kejuruteraan ataupun bidang-bidang lain akan mengatakan bahawa mereka sibuk. Begitu juga pleajar tahun akhir akan mengatakan kesibukan mereka lebih besar berbanding pelajar tahun lain dan juga pelajar tahun lain mengatakan sebaliknya. Semua orang mengaku sibuk. Tidak dinafikan, pelajar master dan PhD juga sibuk. Kini, saya sebagai salah seorang pelajar master juga tidak menafikan hal ini. 

Selalu bermain di telinga kami nasihat senior-senior dahulu. “Jangan berkomitmen dengan dakwah Islam, nanti sibuk dan akibatnya, akademik terabai.” 

Itulah alasan yang selalu digunakan untuk menakut-nakutkan pelajar Muslim agar tidak menyibukkan diri dengan dakwah Islam. Pengalaman saya bersama teman-teman yang berkecimpung dalam dakwah tidak menafikan kesibukan yang kami hadapi. Dengan lambakan tugas sebagai pelajar di samping pendakwah, memaksakan kami untuk bijak mengurus masa kami sendiri. Adakalanya terpaksa mengorbankan tidur malam untuk memastikan keberhasilan kedua-dua akademik dan dakwah. Apa yang membezakan kesibukan kami dengan pelajar lain adalah dakwah Islam sedangkan ada juga yang sibuk berpersatuan dan yang lain sibuk dengan hal sendiri. Namun, segalanya berjalan dengan baik dengan izin Allah. Saya bersama teman yang lain grad seperti kawan-kawan lain. Salah seorang teman dekat saya yang juga sibuk dengan dakwah Islam menduduki 1st class degree manakala saya dan seorang lagi teman di tempat 2nd class degree. Pada saya prestasi ini sangat baik jika hendak dibandingkan dengan kesibukan berganda kami. Hasilnya, tidak jauh beza kami dengan kawan-kawan sekuliah lain yang turut berhempas pulas dalam akademik ini. 

Saya dalam kesibukan master, akan memastikan tarbiyah diri saya dan anak-anak halaqah saya berjalan dengan baik. Saya dan sahabat-sahabat lain menempuh perjalanan beratus kilometer hampir setiap minggu untuk halaqah saya dan mereka, sebagai bukti komitmen kami membantu agama Allah ini. Peranan sebagai seorang isteri dan kini sebagai ibu pula menjadikan sibuk yang berkali ganda berbanding orang lain. Namun, setakat hari ini, segalanya berjalan dengan baik, sesuai dengan perancangan. Aturan Allah memang begitu, pertolongan-Nya diberikan kepada orang yang membantu meneguhkan agama-Nya. 

Saya menceritakan pengalaman saya di sini bukan untuk menguak kelebihan diri, tetapi sebagai perkongsian teladan untuk kita semua. Saya tidak bermaksud untuk mengatakan hanya saya yang sibuk. Ramai lagi manusia di luar sana yang lebih layak dikatakan sibuk. Process Engineer di kilang-kilang lebih sibuk dalam memastikan operasi kilang mereka dalam keadaaan yang baik. Adakalanya pulang lewat malam dan berbagai lagi outstation. Begitu juga accountant yang perlu teliti setiap masa untuk memastikan akaunnya telly dan seimbang. Tetapi, itulah beza kesibukan yang menentukan kemuliaan seseorang pada pandangan Allah. 


Double standard 

Kita selalu melihat serong pada pendakwah yang setiap minggu berulang alik ke KL semata-mata untuk memastikan tarbiyah di sesebuah medan berlaku dengan baik. Buang masa, tenaga, wang ringgit di samping tohmahan gila dan tidak masuk akal keluar daripada mulut kita. Namun, kalau kita perhatikan, ramai sahaja di luar sana yang berulang alik ke KL atau lebih jauh lagi semata-mata tujuan dunia mereka. 

Kawan saya, hujung minggu dihabiskan ke KL atas urusan bisnes katanya. Junior saya, kerana tertarik dengan imbalan MLM, sanggup turun naik KL sekalipun ada kuliah di esok hari. Ada juga yang sanggup skip satu dua kelas. Ada lagi yang setiap minggu travel untuk berjumpa kekasih hati. Lebih lagi, ada ibu yang travel setiap hari menaiki train untuk menyusukan anak yang dijaga neneknya. Tidak pula terlalu menghairankan kita dalam hal-hal seperti ini. 


Kesimpulan 

Jangan takut untuk menjadi sibuk di jalan Allah. Memang itulah yang diperintahkan Allah, untuk menegakkan agamaNya, tidak dinafikan menguras tenaga dan pengorbanan masa dan wang ringgit yang tidak sedikit. Hakikat dunia ini adalah ladang akhirat, untuk kita beramal sebanyak-banyaknya dan menuai pahalanya di akhirat kelak. Apapun, persoalan yang perlu kita fikirkan, bukankah sibuk di jalan Allah lebih mulia berbanding orang yang sibuk dalam kemaksiatan? Bukankah jauh lebih mulia berbanding orang yang sibuk di lapangan kerja? Dan bukankah terlalu jauh mulianya berbanding orang yang sibuk berdakyah untuk agama batil mereka? 


Atifah Ahmad Yusoff 
Penulis merupakan pelajar Sarjana Pengajian Islam di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau mendapat ijazah di Universiti Teknologi PETRONAS dalam Kejuruteraan Kimia dan kini giat dalam bidang penulisan dakwah. 
HP: 019-5206152 
Email: rum.green@gmail.com 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?