Aku Mahu Berubah, Tapi...


Assalamualaikum..

Alhamdulillah, akhirnya setelah 3 hari 2 malam tidur berselimutkan kabus, bertemankan unggas hutan, diterangi cahaya lampu ayam dan torchlight, dan bermacam-macam lagi aktiviti yang sememangnya kalau mahu dikira daripada segi material, memang tidak akan memberikan sebarang pulangan yang menguntungkan. Tetapi, insya-Allah, apabila ianya dilihat dari kacamata keihklasan dan keimanan, maka terlalu banyak sebenarnya kata-kata yang kadang kita sampai tak mampu hennak diucapkan betapa hebatnya perancangan dan ketentuan Allah untuk jalan hidup kita. 




Manisan ukhuwah di atas garisan keimanan, kepahitan jerih yang terkeluarkan, kemasaman harta yang terkorbankan, dan macam-macam lagi perisa yang menambahkan corak lagi dalam jalan dakwah ini. Yang mana -insya-Allah- inilah antara usaha-usaha yang akan kami tunjukkan kepada Allah nanti, sebagai bukti kami pernah berbuat sesuatu dalam membina persiapan untuk agama yang menjadi kekasih hati ini. 

Alhamdulillah, dalam keadaan terpaksa memanjat bukit yang kecerunannya melampau-lampau sampai mencecah ke muka, diserangi pacat dari pelbagai arah (Alhamdulillah saya tak kena satu pun, tapi ikhwah lain sampai berdarah-darah macam kena tembak peluru) dan dalam keadaan makanan dan tempat tinggal yang sangat-sangat sedih jika dilihat oleh mak ayah. Tiba-tiba saya terfikir mengenai satu persoalan. 




+++ 


Satu persoalan yang agak ramai bertanya kepada saya baru-baru ini. Sekali lagi Alhamdulillah. Kerana apabila seseorang itu bertanya, maka pastinya itu merupakan satu benda yang menjadi persoalan dalam hidupnya. Tambahan pula persoalan yang ditanya itu bersangkut masalah keimanan. Alhamdulillah. Dan peranan kita pula sebagai seorang ikhwah adalah, cuba untuk menyelesaikan masalah dia, walaupun terkadang masalah diri kita sendiri pun tak terselesai. 


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara keduanya saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat"

[QS al-Hujurat, 49:10]


Disebutkan juga di dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hamzah Anas bin Malik RA, daripada Rasulullah SAW bersabda, 


“Tidak beriman seorang daripada kamu, sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri” 

[HR Bukhari dan Muslim]


+++ 


Kembali pada persoalan asal, 

“Khir, aku tahu aku kena berubah, tapi.. Aku rasa tak boleh lah..” 

“Kenapa tak boleh?” 

“Entah lah, rasa dah nak berubah, tapi…” 


+++ 

Inilah antara pertanyaan atau luahan dari pelbagai manusia sama ada yang dikenali ataupun tidak, namun satu kesimpulan yang dapat diutarakan di sini ialah, mereka mahu berubah. Tapi… hah, itulah masalahnya, ada perkataan “TAPI”. Yang akhirnya menjadi ALASAN kenapa perubahan itu tidak mampu untuk dilakukan. 

Dalam Chemical Engineering Fluid Mechanics, kita akan belajar mengenai konsep peralihan (transfer) atau pengaliran (flow). Di mana, jika satu peralihan atau pengaliran itu mahu berlaku, dia mesti kena ada satu benda yang kita panggil sebagai driving force. Contohnya, udara bertekanan tinggi akan ‘mengalir’ ke kawasan udara bertekanan rendah. Jadi, driving force-nya di sini ialah, pressure gradient. Sama juga untuk pengaliran haba. Haba akan mengalir dari satu tempat yang panas kepada tempat yang sejuk. Driving force-nya ialah heat gradient. Jika tiada driving forces, fluid atau bendalir itu akan digelar statik. Tidak berubah, tidak bergerak. 




Maka, jika kita mahu melakukan satu perubahan, mestilah kena ada driving force. Tidak kisahlah mahu berubah ke arah yang lebih baik dan menjadi yang terbaik atau berubah menjadi lebih buruk dan terus menuju ke dasar neraka yang paling dalam. Itu terpulang, kerana Allah sudah mengilhamkan kepada setiap daripada kita ini dua jalan. Pilih ikut suka kita yang mana kita rasa best. 


“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaannya). Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Sungguh beruntung orang yang mensucikannya. Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” 

[QS asy-Syams, 91:7-10]


Mudah. Jalan syurga atau jalan neraka. Mahu yang mana? Dan kalau sudah ada jawapannya itu, janganlah hanya lekat dimulut, tapi tidak lekat di hati. Kalau setakat cakap saja.. 


“Syurga!!!” 


Baik tanya pada budak sekolah yang tak mampu nak berfikir jauh lagi atau orang bukan Islam. Mereka pun saya percaya kalau kita tanya, nak masuk syurga atau neraka, mereka akan jawab syurga juga. Tapi, untuk orang-orang yang beriman, mereka bukan hanya sekadar seronok bercakap, melaungkan itu dan ini sahaja. Tetapi mereka akan berbuat untuk apa yang mereka katakan! Sebab Allah melarang mereka melakukan perbuatan, ‘cakap, tapi tak buat’, dan untuk mereka yang beriman pasti yakin dengan janji Allah. 


“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah amat besar kebencian di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” 

[QS As-Saff, 61:2-3] 


Jadi, jika kita mahu melakukan perubahan, perkara yang pertama mesti kena ada ialah kemahuan. MAHU atau TIDAK MAHU. Itu sahaja. Dia bukannya 'mampu' atau 'tidak mampu' dan macam-macamlah benda lain. MAHU atau TIDAK MAHU, itu sahaja. Kalau kita mahu, cakaplah apa sekalipun, lautan api sanggup diredah. Macam kalau kita mahukan seorang perempuan, cakaplah apa sekalipun, buruk mana atau jahat mana sekalipun, tapi bila kita sudah kata “MAHU”, maka tidak ada lagi penghalang ke arahnya. Tapi kalau kita kata kita “TAK MAHU”, maka sebaliknya lah yang akan berlaku. 

Itu merupakan satu contoh keinginan atau kemahuan seorang manusia yang cenderung ke arah untuk membakar diri sendiri. Belum lagi cerita tentang games, movie, tengok bola sampai tak solat dan lain-lain. Tapi, macam mana pula keinginan kita dalam hal-hal kebaikan? Hal-hal yang membuatkan hidup kita lebih tenang, lebih tenteram dan lebih bermakna? 


“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik.” 

[QS Ali ‘Imran, 3:14] 


Wanita, harta, lepak, dan macam-macam lagi itu memang fitrah kita sebagai manusia. Tapi, kalau fitrah yang akhirnya membawa kita ke arah semakin jauh dari Allah itu bukanlah alasan untuk kita ‘halal’ bermaksiat kepada Allah. 


“Alah, standard lah couple, lumrah manusia untuk merasakan diri dicintai dan menicintai..” 


Haah. Betullah tu. Mencintai dan dicintai. Hidup bahagia di dunia sama-sama, pastu terjun dalam neraka sama-sama jugak Memang sehidup semati. 

Sama juga untuk kes yang lain macam tengok movie, tengok bola sampai lambatkan solat atau tidak solat langsung, kemudian buang duit bagi kat FAM dan RTM. Kononnya mahu dapatkan ketenangan atau release tension, tapi akhirnya semakin jauh dari Allah SWT. Inikah yang kita mahukan? Atau sebenarnya ada cadangan lain daripada Allah..


“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” 

[QS ar-Ra’d, 13:28] 


Kalau semakin kita mendengar nama Allah, semakin sesak nafas kita untuk lari, jiwa terasa semakin panas. Dengar pasal solat, berat hati kita untuk mengerjakannya. Dengar ada majlis ilmu atau halaqoh, mula dah berfikir-fikir alasan untuk lari daripadanya. Maka wahai yang sedang membaca, lebih baik kita buka mati, hati dan jiwa kita semula untuk berfikir. Inikah yang kita mahu persembahkan kepada Allah di akhirat kelak, atau ada benda lebih baik yang kita idamkan. 


+++ 


Kadang-kadang, kita akan menemui satu endpoint atau titik mati dalam kehidupan kita yang memaksa kita untuk memilih. Memilih untuk sama ada kita mahu menjadi lebih baik dan menuju yang terbaik, atau sebaliknya sebagai corak masa depan kita. 

Seperti Mus’ab bin Umair yang akhirnya memeluk Islam setelah merasakan kekayaan, wanita dan kemasyhuran itu seolah tiada nilai, dan dia kembali kepada Islam kerana Islamlah yang membuatkan dia bukan sahaja hidup tenang dengannya, bahkan dia syahid atau mati kerana Islam. Begitu juga dengan Hanzhalah anak kepada ketua munafikin pada zaman Rasulullah, dia syahid hanya kerana keinginan dia untuk menjadi lebih baik. Dan juga Ikrimah bin Abu Jahal, hanya kerana merasakan diri dia telah berdosa, bahkan pernah menduduki carta orang yang wajib dibunuh, tapi akhirnya dia tahu dia kena berubah, dan destinasi akhir dalam hidupnya adalah syahid. Masya-Allah! Itulah mereka. 

Tapi kita di mana? Hidup kita ini untuk apa? Dan jika kita mati nanti untuk apa? 




Adakah kita masih lagi beralasan itu dan ini bila diajak untuk berubah, atau kita benar-benar berbuat untuk melakukan perubahan itu sendiri tanpa perlu diajak?

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik." 

[QS Al-Hadid, 57:16]


+++ 


Secara ringkas yang saya boleh sampaikan di sini, dalam rangka untuk melakukan satu perubahan, perkara pertama yang mesti perlu ada dalam diri setiap manusia itu ialah “DETERMINATION”. Ketentuan atau keinginan yang sangat kuat untuk melakukan perubahan. 


“A journey of a thousand miles begins with a single step” 


Dan single step dalam kita nak berubah menjadikan diri kita lebih baik dari semalam ialah KEIKHLASAN. Dr.Yusuf Qaradhawi sendiri menyatakan bahawa azam dan tekad yang sangat kuat itu adalah niat. Maka, apa sebenarnya niat kita dalam nak melakukan perubahan? 

Adakah kerana seorang perempuan, atau kita merasakan diri kita ni dah terlalu jauh dari Islam sampai al-Qur’an itupun hanya kenal surah Yassin sahaja? 

Atau sebenarnya kita memang merasakan diri kita perlu berubah, dan mesti menjadi hamba Allah yang beriman dan bertakwa? 

Atau sebenarnya kita faham bahawa, kita berubah kerana kita mahukan redha Allah yang akan menjamin kesejahteraan hidup kita di dunia dan di akhirat yang paling penting dan dapat melihat satu nikmat yang paling besar iaitu melihat wajah Allah? 


“Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas mentaati-Nya semata-mata kerana (menjalankan) agama, dan juga melaksanakan solat dan menunaikan zakat; dan demikian itulah agama yang lurus (benar).” 

[QS al-Bayyinah, 98:5] 




“Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang dengan ikhlas berserah diri kepada Allah, sedang dia mengerjakan kebaikan, dan mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah telah memilih Ibrahim menjadi kesayangannya” 

[QS an-Nisa’, 4:125] 


Dan dalam satu hadis yang cukup biasa kita dengar dan hafal, dari Umar bin Khattab RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, 


“Sesungguhnya diterimanya amal perbuatan itu pada niatnya, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapatkan apa yang ia niatkan. Barangsiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan ia peroleh atau wanita yang ingin dinikahinya, maka ia akan mendapati apa yang ia niatkan.” 

[HR Bukhari dan Muslim] 


Jadi akh, kenapa kita nak berhijrah atau berubah? Pastikan yang pertama ialah kerana Allah dan Rasulnya. Agar hijrah atau perubahan yang kita mahu ciptakan ini mendapat keredhaan daripada Allah. Bukannya redha manusia yang lemah. 

+++

Kedua, "EFFORT". Usaha yang bersungguh-sungguh. Macam mana kita nak jangkakan akan ada wujudnya perubahan, jika tidak ada usaha? Dalam Material and Energy Balances, ada satu konsep yang kita panggil sebagai balances atau keseimbangan. 


input = output 


Dan kalau kita mengharapkan dan menginginkan satu hasil ataupun output yang sangat memberangsangkan dan bermakna, maka mestilah input yang kita berikan juga sesuai dengan apa yang kita inginkan,. Sesuai dengan firman Tuhan. 


“Dan bahawa manusia hanya akan memperoleh apa yang telah diusahakannya” 

[QS an-Najm, 53:39]




Dalam mahu mengejar dunia sahaja kita kena berusaha, kadang-kadang ada yang sampai tak tidur malam untuk study, cari duit, itu dan ini. Ada yang kerjanya tak ada cuti hanya kerana nak buat over-time, nak cari duit lebih. Kadang-kadang sampai dah tak kenal rumah atau keluarga sebab terlalu busy. Busy mengejar dunia yang sementara. 

Inikan pula dalam nak mengejar akhirat yang kekal selama-lamanya. Mestilah kena lagi hebat dari kejar dunia! 


“Barangsiapa yang menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di (dunia) ini apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian Kami sediakan baginya (di akhirat) neraka Jahannam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir” 

[QS al-Isra’, 17:18] 


Kalau kita mahukan kehidupan sekarang, Allah akan segerakan. Kadang-kadang tak perlu berusaha lebih-lebih pun, tiba-tiba dapat. Itu yang wujudnya istilah “durian runtuh” dan sebagainya. Tapi, janganlah jadi orang yang duduk mengharap rezeki jatuh dari langit sahaja. Kita kena berusaha, Cuma mungkin tak sehebat usaha kita dalam nak mengejar akhirat. Kerana apa? 


“Dan barang siapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh, sedangkan dia beriman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik.” 

[QS al-Isra’, 17:19] 


Dalam mahu memperbaiki diri menjadi lebih baik dan terbaik, kemudiannya hidup beramalkan Islam yang sempurna dan mengharap dapatnya mencium bauan syurga, jelas Allah sebut di dalam ayat di atas akan perlunya keinginan dan usaha yang bersungguh-sngguh sambil ditemani dengan acuan keimanan. Barulah Allah akan membalas usahanya dengan balasan yang setimpal dan baik. 




+++ 

Dah namanya nak kejar akhirat, jangan lah letakkan usaha yang hanya sekadar solat dan zakat sahaja. Itu memang dah wajib, tapi tak cukup. Rasulullah SAW yang dah confirm masuk syurga itu sahaja solat tahajjud sampai bengkak-bengkak kaki, memohon ampun pada Allah sebanyak 70 kali sehari, turun pergi berjihad, berdakwah dan berperang dan lain-lain lagi. Kita macam mana? 


Kalau Abu Bakar pula, sanggup menghabiskan seluruh hartanya di dalam Perang Badar dan Perang Tabuk, dah lah keluarkan duit, pastu sanggup lagi tu pergi turun berperang dan berjihad. Kalau kita macam mana? 


“Cukuplah saya dah berikan duit, tak perlu dah saya turun berdakwah sekali.” 


Na’uzubillah.. 

‘Umar pula menangis macam budak-budak kecil ketika bertahajjud menghadap Allah? Kita macam mana? Mus’ab bin Umair meninggalkan keluarga, harta, dan kemewahannya da kemudiannya syahid dalam keadaan tidak ada apa-apa selain kain yang tidak cukup untuk menutupi manyatnya sendiri. Sama juga dengan Sa’ad bin Abi Waqqash yang sampai diugut oleh mak nya sendiri untuk tidak makan sampai di kafir kembali. Tapi akhi, mereka tetap teguh, bahkan berusaha untuk hidup dalam perubahan, dan mengubah orang lain. 

+++ 

Inilah contoh-contoh yang sepatutnya kita jadikan pengajaran dalam hidup kita. Bukanlah yang namanya artis, menteri dan siapa-siapa. Kerana merekalah generasi yang terbaik. Tak mampu nak lihat Rasulullah, lihatlah pada para sahabatnya, dan seterusnya. Ambil contoh daripada mereka. Macam mana mereka boleh bersungguh-sungguh dan tegas serta teguh dalam melakukan perubahan baik dalam diri sendiri dan masyarakat. 

Insya-Allah, kita akan mampu untuk berubah. Jika kita berhenti memberikan alasan. 

Cuba bayangkan kalau Rasulullah SAW beralasan tatkala datangnya seruan dakwah, agak-agak diri kita pada hari ini dapat tak merasakan nikmat keislaman dan keimanan? 




Fikirlah semula apa sebenarnya tujuan kita hidup. Warna apa yang perlu kita corakkan. Dan cuba untuk berbuat sesuatu untuk melakukan perubahan, dengan tidak pernah sekali cuba untuk memberikan alasan. 


"Mahu atau tidak mahu nak masuk syurga?" 


Kalau jawapannya, 


“Ya.” 


Teruskan berusaha, dan jangan mengalah dan tawakkal serta yakin kepada Allah. Jika jawapannya, 


“Tidak.” 


Saya sudah menyampaikan, maka keputusan terletak di tangan anda. Allah SWT sendiri tidak memaksa manusia untuk beriman. Inikan saya yang hina lagi lemah ini. 





“doakan aku tidak gagal” 
Khir al-imtiaz 
1251pm 
22 Mei 2011 

Otw ke taiping

Comments

  1. doakan aku tidak gagal.
    aminn,,

    =)

    ReplyDelete
  2. Amin amin ya rabbal Alamin

    ReplyDelete
  3. masyaAllah.semoga islam terus bangkit!

    ReplyDelete
  4. terharu mmbaceny...:)

    ReplyDelete
  5. mohon utk copy, simpan, n sebar utk jdikan bacaan ye.

    ReplyDelete
  6. Mantapkan hati untuk satu kata..."HIJRAH".
    Salam dakwah...!!!

    ReplyDelete
  7. sye masih lemah... :(

    ReplyDelete
  8. tatkala kita berhadapan dengan Allah kelak di akhirat.. adakah "lemah" itu akan menjadi alasan untuk ktia tidak berubah menjadi lebih baik berserah diri kepada Allah?

    jika ya..

    rasa-rasanya, adakah allah akan terima alasan sebegitu?

    ReplyDelete
  9. salam
    ana suka bce entry saudara.
    syukran ats segala nasihat.^^

    ReplyDelete
  10. wassalam NOORSASHAREENA, segala yang baik itu semua milik Allah..

    ReplyDelete
  11. salam akh nak tanya..saya ada masalah dalam nak menyampai bila dalam halaqah..kurang keyakinan diri..contoh bila menyampai,,sering terlupa walaupun sudah buat catatan dan sukar menyusun ayat dengan baik ketika hendak menyampai...harap boleh berkongsi sedikit kata2 semangat atau apa2 tips...syukran...

    ReplyDelete
  12. salam akh..saya nak tanya..macam mana kalau kita sering hadapi masalah kurang yakin dalam nak menyampai dalam halaqah???contoh...sering terlupa apa yang nak diperkatakan walaupun sudah buat catatan dan sukar menyusun kata2 dengan baik ketika hendak menyammpai...harap boleh kongsi apa2 tips2 atau kata2..syukran...

    ReplyDelete
  13. dalam proses utk brubah... insya allah :)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?