Takwa: Ketika Bersendirian dan...





Bismillahirrahmanirrahim..

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.” 
[QS Ali ‘Imran, 3:102]



“Bertakwalah kamu kepada Allah di manapun kamu berada, iringilah kesalahan kamu dengan kebaikan nescaya ia dapat menghapuskannya dan pergaulilah semua manusia dengan budi pekerti yang baik.” 
[HR Tirmidzi. Ia berkata, “Hadith hasan dalam kitab lainnya dikatakan, hadith hasan shahih]

Bersendirian. Itulah saat yang paling digeruni oleh seorang mukmin. Tetapi, itulah saat yang paling digemari oleh musuh kepada mukmin iaitu iblis dan bala tenteranya yang setia. Kebiasaannya, fenomena seperti ini berlaku ketika mana ikhwah atau akhwat itu pulang ke rumah untuk cuti semester atau kebetulan dia ditempatkan di suatu medan yang jauh.

Ikhwah atau akhwat yang pada asalnya sangat bersemangat dan bertenaga dalam mengendalikan tanggungjawab dakwah semasa di kampus mula kelihatan semakin ghaib dan ghaib dan ghaib dan terus hilang kadang-kadang. Panggilan telefon tidak berjawab. Mesej tidak berbalas. ‘Chatting’ tidak berespon tetapi statusnya ‘online’. Ikhwah atau akhwat yang pada asalnya sangat antusias dan ghairah dalam melaksanakan dan menggerakkan dakwah ketika saat di bersama-sama dalam keadaan ikhwah dan akhwat yang sangat ramai malahan lesap dan terus lenyap ketika dia mula keseorangan kerana terpaksa pindah ke tempat jauh atau berlaku tragedi.

“Afwan akhi, ana tiada kekuatan..” 

“Asif akhi, ana merasa lemah bila duduk di rumah. Tiada ikhwah yang memantau ana..”


Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku? Pertama, mari kita lihat pada alasan-alasan yang diberikan dahulu.

Jika alasannya ialah tiada kekuatan. Satu benda yang ana mahu ingatkan kepada dia ialah di mana dia meletak sumber kekuatan dia selama ini? Adakah dia meletakkan sumber kekuatannya mutlak kepada Allah SWT atau sebaliknya? Saya selalu mengingatkan diri saya sendiri dan ikhwah-ikhwah untuk tidak meletakkan sumber kekuatan kita kepada manusia kerana manusia itu sendiri belum tentu kuat, bahkan secara realitinya dia sendiri memerlukan kekuatan dari suatu sumber yang lain.

Secara fizik, tenaga akan mengalir dari satu kawasan kepada suatu kawasan yang lain bergantung kepada kecerunan atau perbezaan darjah. Tenaga yang tinggi akan mengalir dan memenuhi kawasan yang mempunyai kadar tenaga yang rendah.

Secara praktikalnya, jika kita meletakkan sumber kekuatan kita kepada seseorang yang kuat, dia mungkin akan memberikan kita tenaga untuk kita bangkit dari kelemahan. Tetapi persoalannya, untuk berapa lama? Lambat laun manusia itu akan kehabisan tenaganya lalu mati. Kemudian, kepada siapa perlu kita bergantung? Tetapi jika kita meletakkan sumber kekuatan kita kepada Allah, ketahuilah bahawa Allah itu Maha Kuat dan tidak akan mati. Tenaga yang dimiliki-Nya tidak dan tidak akan pernah habis, bahkan Dia jualah sumber kekuatan untuk “peribadi” yang kita merasakan dia hebat itu tadi.

Sia-sialah jika kita meletakkan pergantungan kita baik dalam masalah kehidupan biasa atau dalam masalah gerak kerja dakwah selain daripada Allah kerana dalam sebuah hadith qudsi, Allah telah mengingatkan kepada kita bahawa kita (manusia) memang tiada apa-apa langsung melainkan Allah-lah yang telah memberikan kepada kita semuanya.

Dari Abu Dzar Al-Ghifari RA dari Nabi Muhammad SAW  yang diriwayatkan dari Allah Azza wajalla: Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman maksudnya :

"Hai hamba-Ku! Sesungguhnya Aku haramkan perilaku zalim atas diri-Ku dan Aku jadikan di antaramu haram maka janganlah kamu saling menzalimi. Hai hamba-Ku! Kamu semua sesat kecuali orang yang telah Kami beri petunjuk maka hendaklah minta petunjuk kepada-Ku, pasti Aku beri petunjuk. Hai hamba-Ku! Kamu semuanya lapar kecuali yang telah Aku beri makan, hendaklah kamu minta makan kepada-Ku, pasti Aku memberi makan padamu. Hai hamba-Ku! Kamu semua telanjang kecuali yang telah Aku beri pakaian, hendaklah kamu minta pakaian kepada-Ku, pasti Aku memberi pakaian padamu. Hai hamba-Ku! Sungguh kalian lakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni dosa-dosa itu semua maka mintalah ampun kepada-Ku, pasti Aku akan mengampuni kalian. Hai hamba-Ku! Sungguh kalian tidak dapat membinasakan Aku dan kalian tidak dapat memberi manfaat kepada-Ku. Hai hamba-Ku! Jika orang terdahulu dan orang yang terakhir daripadamu, manusia dan jin semuanya, mereka itu berhati takwa seperti paling takwa diantaramu, hal itu tidak akan menambah kerajaan-Ku sedikit juga. Hai hamba-Ku! Jika yang pertama dan terakhir daripadamu, manusia dan jin seluruhnya, mereka berhati jahat seperti paling jahat diantaramu, itu tidak akan mengurangi kerajaan-Ku sedikitpun. Hai hamba-Ku! Jika orang terdahulu dan terakhir diantaramu, manusia dan jin semuanya, mereka berada di bumi yang satu, mereka meminta kepada-Ku maka Aku berikan setiap orang permintaannya, hal itu tidaklah mengurangi apa yang ada pada-Ku, melainkan seperti sebatang jarum dimasukkan ke laut. Hai hamba-Ku Sungguh itu semua amal perbuatanmu. Aku catat semuanya bagimu sekalian kemudian Kami membalasnya. Maka barangsiapa mendapat kebaikan hendaklah bersyukur kepada Allah dan barangsiapa mendapat selain itu maka janganlah ia menyalahkan kecuali dirinya sendiri." 

[HR Muslim, no. 117]

Bahkan Rasululllah ketika direjam dengan batu oleh penduduk Taif, dia tidak meletakkan pergantungan kekuatan dan kejayaan dia melainkan kepada Allah SWT semata-mata.

"Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaan-Mu. Pengetahuan-Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atas-Nya-lah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau"

Jika alasannya ialah tiada yang memantau, maka perlulah dia ingat bahawa Allah SWT sentiasa memantau diri dia walau dalam apa jua keadaan sekalipun kerana Allah SWT itu Maha Melihat.


Terlupa semua ini? 

Kerana itulah kita sangat memerlukan lingkungan atau ikhwah dan akhwat kita untuk saling mengingatkan dan membantu kita.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka ta'at pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” 
[QS at-Taubah, 9:71]

Bahkan Rasulullah SAW juga mengingatkan kepada kita mengenai sebuah hadith,

"Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai". 
[HR Ahmad]

Dan Khalifah Umat Islam yang kedua, iaitu Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab juga pernah mengatakan bahawa,

“Tiada Islam, tanpa Jemaah.”

Jemaah di sini secara mudahnya merujuk kepada perkumpulan atau satu ikatan persaudaraan (ukhuwwah) antara seorang muslim dengan yang lainnya. Oleh itu, suasana ukhuwwah islamiyah dan ukhuwwah imaniyah memang perlu kita tanam dan semaikan dan hidupkan dalam kehidupan seharian kita kerana itulah antara ruang dan peluang untuk kita sama-sama menjaga kualiti iman kita kepada Allah SWT hinggakan Rasulullah SAW mengisyaratkan kepada kita,

“Tidak beriman seseorang di antara kamu selagi dia tidak mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.” 
[HR Bukhari]

Iman dan ukhuwwah diletakkan pada satu tahap yang sama. Hilang salah satunya maka akan membawa kepada kesan yang buruk. Ada sahaja orang yang beriman, tetapi tidak berukhuwwah. Ada juga yag berukhuwwah, tetapi tiada iman. Allah SWT juga mengingatkan kita antara tujuan kita berukhuwwah ialah untuk saling memperbaiki diri kita sama-sama untuk menuju kasih sayang-Nya (rahmat).

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” 
[QS al-Hujurat, 49:10]

Bahkan jauh lebih penting ialah untuk menuju ketakwaan di sisi Allah agar meraih redha menuju syurga.

“Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” 
[QS az-Zukhruf, 43:67]


Masalah Sebenar

Sebenarnya, masalah sebenar kita ialah terdapat pada hati kita, kerana Rasulullah SAW sendiri mengisyaratkan kepada kita bahawa,

''Taqwa itu di sini, taqwa itu di sini, dua kali atau tiga kali, sambil beliau menunjuk dengan tangan beliau ke arah dadanya.'' 
[HR Ahmad]

Takwa itu di dalam dada ataupun hati kita. Bukan hanya ada ketika kita membaca al-Quran atau ziarah ke masjid. Jika ketakwaan kita benar-benar ada di dalam hati kita, insya-Allah di saat kita sedang dalam keramaian mahupun sedikit, kita tetap mampu beriman dan bertakwa kepada Allah dengan baik. Jika takwa tidak lagi mendiami hati kita, maka wajarlah graf keimanan kita menurun dan kita mula melemah sehinggakan mudahlah kita untuk termakan atau sengaja memakan pujuk dan rayu hawa nafsu kita yang  sedang ditunggangi syaitan.

Abu Dzar ketika diarahkan pulang ke kampungnya tidak pernah memberikan alasan kepada Allah dan Rasulnya untuk tidak berbuat kerja dakwah dan tarbiyah kerana dia bersendirian tanpa teman, malahan masyhur dalam kitab-kitab sirah menceritakan bahawa dia membawa seramai 5000 keluarga dari suku Ghifar dan suku Salam selepas perang Khandak ke Madinah bertemu Rasulullah SAW dalam tempoh beberapa tahun sahaja! Mus’ab bin Umair dan Abdullah bin Ummi Maktum tidak pernah memberikan alasan kepada Allah dan Rasulullah SAW untuk tidak berbuat kerja dakwah ketika mereka hanya berdua yang pergi ke satu tempat baru untuk membuka lahan dakwah. Jika bukan mereka yang kita contohi, siapa lagi?

Wahai ikhwah dan akhwat yang dikasihi, hati yang kotor tidak akan didiami oleh sesuatu yang mulia seperti takwa. Mungkin sahaja dia merajuk kerana kita tidak memelihara atau memberikan perhatian kepada dia dengan benar, lalu dia lari. Apabila hati sudah kotor, maka wajarlah akhlak kita sesama manusia dan sesama Allah semakin teruk kerana hati yag bersih akan melahirkan jasad yang bersih. Hati yang kotor akan menjelmakan akhlak yang kotor juga. Maka bersihkalah hati kita dengan al-Quran, solat malam dan pelbagai lagi ibadah sunnah yang ada disamping kita menjaga dengan benar ibadah-ibadah yang wajib. Selalulah kita mencari peluang untuk memberi peringatan dan mendengar peringatan agar diri kita yang sentiasa mudah lupa dan leka serta lalai ini sentiasa berada di dalam keadaan terjaga dan sensitif terhadap masalah iman dalam hati kita dan diri orang lain. Hidupkanlah halaqoh untuk diri kita dan lingkungan kita. Pergilah pujuk takwa itu untuk kembali.

Ketika bersendirian, jangan kita menjauhi ikhwah atau akhwat kita kerana itu akan membuka ruang kepada syaitan untuk memanfaatkan keadaan itu untuk lebih menyesatkan diri kita lagi. Komunikasi pada zaman sekarang ini sangat mudah, cuma tinggal kepada kita sahaja sama ada mahu memanfaatkannya atau tidak.


Kesimpulannya

Akhir sekali untuk semua ikhwah dan akhwat, jangan tinggalkan sesuatu kebaikan hanya kerana kita telah melakukan seribu kejahatan kerana mungkin sahaja perbuatan baik itu bisa menghancurkan beribu kejahatan yang telah kita lakukan. Insya-Allah.

“Bertakwalah kamu kepada Allah di manapun kamu berada, iringilah kesalahan kamu dengan kebaikan nescaya ia dapat menghapuskannya dan pergaulilah semua manusia dengan budi pekerti yang baik.” 
[HR Tirmidzi. Ia berkata, “Hadith hasan dalam kitab lainnya dikatakan, hadith hasan shahih]


Mohamad Khir bin Johari
Kaherah, Mesir
15 Okt 2012

Comments

  1. itulah manusia. sering leka tika sendiri. hingga lupa Allah maha memerhati. Gulp!

    jazakallahu khairan jaza' untuk en3 sentap.

    ReplyDelete
  2. subhanallah.... Allah jua lah pemilik segala kekuatan...

    ReplyDelete
  3. syukran atas perkongsian...alhamdulillah tersedar dari kealpaan...

    ReplyDelete
  4. memang zaap.

    Ibadah saat sendiri adalah cerminan iman.

    tarbiyah dzatiyyah.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?