Syawal: Sebuah Harapan Kembali Kepada Fitrah

SYAWAL DATANG LAGI

Alhamdulillah.. Ramai orang bergembira menyambut kedatangan Syawal sambil (kononnya) menangisi pemergian Ramadhan..

Kita imbau sebuah firman yang akan menjadi legasi bagi sebahagian daripada kita,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.."
[QS al-Baqarah, 2:183]


Semua daripada kita sudah sangat maklum bahawa hasil yang DIHARAPKAN daripada tarbiah Ramadhan ialah TAKWA.. Maka, seperti semua sudah maklum juga iaitu kejayaan sesebuah program itu bukanlah dilihat cuma semasa program itu berlangsung, tetapi kita akan lihat setelah program itu selesai.

Kemudian, setelah sebulan kita mengharungi kepayahan demi kepayahan, kesukaran demi kesukaran, maka kemudiannya datanglah satu hari yang boleh diumpamakan seperti saat mulanya pembebasan!

Bebas untuk kita kembali kepada fitrah..


Cuma, apa sebenarnya makna kita kembali kepada fitrah? 


KEMBALI

Adakah yang dimaksudkan kembali kepada fitrah itu ialah kita dapat kembali makan dan minum pada siang hari? Maaf, kalau sesempit itulah definisi fitrah kita, maka sama sahajalah kita dengan binatang..


إِنَّ اللَّهَ يُدْخِلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ الْأَنْعَامُ وَالنَّارُ مَثْوًى لَهُمْ

"Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan orang-orang yang kafir itu bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang. Dan neraka adalah tempat tinggal mereka."
[QS Muhammad, 47:12]


Adakah yang dimaksudkan kembali kepada fitrah itu ialah kita dapat kembali mengurangi sedekah, mengurangi solat malam dan tilawah al-Quran? Maaf, kalau sesempit itulah definisi fitrah kita, maka sama sahajalah kita dengan hamba kepada makhluk..


"Jadilah kamu hamba Allah, jangan menjadi hamba Ramadhan."
[Hasan al-Basri]


Adakah yang dimaksudkan kembali kepada fitrah itu ialah kita dapat kembali berkata jahat, berbuat buruk dan membuat kerosakan? Maaf, kalau sesempit itulah definisi fitrah kita, apa sebenarnya kesan kita berpuasa selama sebulan?


من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه

"Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata buruk, dan perbuatan buruk, maka tiadalah bagi Allah hajat kepada penahanan makanan dan minuman (seseorang yang berpuasa itu)"
[HR Bukhari]


FITRAH KITA

Apapun jawapannya, semuanya masih terbuka kepada diskusi.. Cuma, kalau kita perhatikan, tujuan akhir daripada Ramadhan ini adalah untuk membersihkan diri kita. Hampir setiap masa, hampir setiap amal, hampir setiap nafas kita dalam bulan Ramadhan ini akan diberikan pahala yang berlipat kali ganda, dan dalam masa yang sama diampunkan pula pelbagai jenis dosa yang pernah kita buat sama ada dosa yang kita masih ingat ataupun yang kita sudah lupa!

Pembersihan ini DIHARAPKAN menjadikan manusia itu semakin takwa, bahkan dengan ketakwaan yang sebenar-benarnya (berkualiti). 

Maka, sesudah kita dibersihkan, DIHARAPKAN kita kembali kepada fitrah kita yang asal seperti bayi iaitu menyerahkan segala-galanya termasuk masalah diri sendiri, masalah keluarga, masalah kehidupan, masalah rezeki hanya kepada Allah semata-mata..

Fitrah kita sebagai manusia untuk kembali berinteraksi dengan Allah dalam setiap episod siri kehidupan dunia kita.. Setiap kalamullah itu kita lantunkan dengan perasaan penuh cinta, dan kita terjemahkan dengan amal dengan penuh cinta. Kita dakwah dan perjuangkan setiap kalimahnya demi pembuktian cinta.. 

Fitrah kita sebagai manusia untuk mencintai dan mengikuti sunnah dan hikmah Nabi Muhammad SAW.. Kita hidupkan nilai-nilai Islam, syiar-syiar Islam, syariat-syariat Islam dalam setiap penjuru hati kita dan hati masyarakat kita..

Fitrah kita sebagai seorang manusia untuk mencintai Allah, mencintai Rasulullah SAW, mencintai orang-orang beriman, mencintai alam, tetapi tetap tegas dengan orang-orang kafir..

Fitrah kita sebagai manusia untuk tidak akan membiarkan ahli keluarganya serta sahabatnya serta ummahnya jatuh ke dalam lubuk binasa, maka dia akan bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan mereka, hatta jika terpaksa mengorbankan dirinya sekalipun dia tegar!

Fitrah kita sebagai manusia untuk menjadi khalifah Allah, menjadi hamba Allah, menjadi pemimpin ummat, penyebar kebaikan dan rahmat kepada seluruh alam dan menghempas pulas hancur kezaliman dan penindasan..

Fitrah kita sebagai manusia untuk kembali (bertaubat) dan merasa bahagia apabila dapat menangis kerana dosa-dosa, kelemahan-kelemahan, atau kerana rasa cinta yang teramat sangat untuk bertemu dengan yang Maha Mencinta..


Itulah HARAPANNYA..

Bukanlah kembali kepada fitrah apabila kita menjadi semakin jauh daripada Allah..

Bukanlah kembali kepada fitrah apabila kita menjadi semakin jauh daripada wasiat Nabi Muhammad SAW..

Bukanlah kembali kepada fitrah apabila kita menjadi semakin jauh daripada Islam, dakwah dan jihad..


SEKALI LAGI HARAPAN

Moga kita dijauhkan oleh Allah daripada fitrah yang sesat lagi menyesatkan ini.

Moga Allah menjadikan kita sebagai hamba yang benar-benar kembali kepada fitrah (ISLAM)..


فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah di atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." 
[QS ar-Rum, 30:30]



Yang dhaif,

MOHAMAD KHIR BIN JOHARI
KAHERAH, MESIR

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?