Raikanlah Cinta Itu



قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ
ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ 
“Katakanlah: ‘Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.’ Dan, Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani”
[QS Ali ‘Imran, 3:31]

KUALA NERANG, 28 Januari 2012 - Halaqoh pada hari itu dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah SWT kerana masih lagi memberikan ruang dan peluang bagi peribadi-peribadi yang mahu mengisi jiwa mereka untuk mengislahkan diri mereka dan mengislahkan diri orang lain untuk hadir bersama-sama dalam satu tautan kasih sayang kepada Allah, rasul dan jihad.

"Baiklah, hari ini abang nak bincang tentang satu benda jiwang. Apa makna cinta? Abang nak tanya pada seorang-seorang. Yang next itu bolehlah fikir-fikirkan apa jawapannya."

Keadaan mula hangat dengan gelak ketawa. Ada yang tersengih sendiri. Ada yang bertasbih "Subhanallah" sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Ada yang menepuk bahu ikhwah di sebelahnya. Senang cerita, macam-macamlah aksi yang kita dapat perhatikan. Ada juga yang minta izin,

"Abang, saya nak ke tandas kejap."

Haha. Itulah mereka.

"Ok, kamu. Apa jawapannya? Kalau kita sebut sahaja cinta, apa benda pertama yang kamu akan fikirkan?"  
"Hmm.. Hmm.. Hmm.. Sayang?"

Suara gelak ketawa mula terpacul daripada setiap yang ada.

"Wah. bagus-bagus.. Ok, kamu pula?"  
"Err.. Cinta itu buta.."

Suara-suara kekaguman mula kedengaran..

"Hmm.. Ok, kamu pula. Lastlah, banyak pula nak tanya pada semua. Hehe.."

Suara-suara kelegaan mula terdengar,

"Pada saya, cinta itu pengorbanan.."

Seperti biasa, semua mula buat bunyi kagum dan ketawa melihat satu sama lain.

"Hah. Kamu yang ke tandas, ingat boleh escapekah? Apa jawapan kamu?"  
"Err.. Tak terbayangkan.."

Hehe. Macam-macam deme ni kalau bab mengarut.

"Ok. soalan kedua. Agak-agak, kalau kita tanya pada budak kecil mengenai cinta, apa yang dia akan jawab?" 

Ada yang diam. Ada yang jawab, "Coklat kut." dan ada satu jawapan yang sangat saya tunggu iaitu,

"Rasa yang wujud antara lelaki dan perempuan." 
+++

Baiklah, itu mungkin jawapan daripada mereka. Sekarang, apa pula jawapan daripada kamu? Kamu yang sedang membaca. Apa jawapan kamu?

Insya-Allah, setiap daripada kita pasti ada jawapan masing-masing bila kita berbicara tentang masalah cinta. Mungkin ianya terlalu abstrak untuk diungkaikan jika difikirkan secara umum, tetapi pada saya, cinta itu sebenarnya sangat objektif.

Apa tujuan cinta? Tak lain dan tidak bukan semata-mata ingin mencapai apa yang digelar sebagai kebahagiaan. Betul? Tetapi, benarkah cinta yang kita ada sekarang ini membawa kebahagiaan? Mungkin ada yang menjawabnya sebagai "YA". Ok, mungkin benar cinta yang kita ada sekarang ini mampu memberikan rasa bahagia untuk kehidupan sekarang. Soalan seterusnya, apakah benar cinta yang kita ada sekarang dapat menjamin kebahagiaan kita di akhirat kelak? Di saat kita dibangkitkan daripada tulang belulang menghadap Allah SWT?

Ataupun sebenarnya cinta kita selama ini hanya mainan palsu keduniaan yang akhirnya hanya dapat menawarkan kegembiraan untuk sekian-sekian waktu, tetapi selebihnya daripada waktu itu kita ditemani rasa sunyi dan sengsara?


Kelaziman Cinta

Cinta kita kepada "sesuatu" akan menuntut kita untuk mencintai apa yang dicintainya dan membenci apa yang dibencinya. Kebencian kita kepada sesuatu yang dicintainya akan menjadikan dia akhirnya membenci kita juga. Contohnya, ketikamana seseorang itu pada asalnya suka berkawan dengan ramai perempuan, kemudian dia jatuh hati pada perempuan itu dan perempuan itu benci lelaki yang suka kawan dengan ramai perempuan. Maka, apa tindakan lelaki itu? dia mesti meninggalkan perbuatan yang dia suka tadi kerana benda itu dibenci oleh perempuan tadi, kerana kalau dia masih lagi membuat perkara itu nanti perempuan itu akan tinggalkan dia.

Menjadi kelaziman dalam percintaan apabila kekasih akan sentiasa berusaha untuk menyatukan dirinya dengan kekasihnya. Dia merasakan apa yang dirasakan oleh kekasihnya, dia sedih dengan apa yang disedihkan oleh kekasihnya, dia bahagia dengan apa yang dibahagiakan oleh kekasihnya, dia menderita dengan penderitaan kekasihnya dan dia gembira dengan apa yang digembirakan oleh kekasihnya.

Konsekuensi kepada cinta dapat dihuraikan dengan lebih lanjut seperti berikut:


1. Mencintai siapa dan apa yang dicintai sang kekasih

Mencintai siapa yang dicintai sang kekasih merupakan bahagian yang tidak terpisahkan dari cinta kepada kekasihnya itu.

Jika benar dia mencintai Allah, maka dia pasti mencintai Rasulullah SAW. Jika dia mencintai Rasulullah SAW, pasti dia akan mencintai para sahabat Rasulullah SAW. Dan satu perkara yang disepakati oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya, bahkan disebutkan juga oleh Allah SWT di dalam surah at-Taubah, surah ke-9 ayat ke-24, tentang cinta mereka selain daripada Allah dan Rasul, adalah Jihad. Jadi, cuba tanyakan pada diri kita sekarang, apakah benar kita sudah mencintai apa yang dicintai Allah dengan sebenar-benar cinta? Kemudian kita mencintai apa yang dicintai Rasulullah dengan sebenar-benar cinta? Sejauh mana pula cinta kita terhadap pembaikan diri dan cinta terhadap dakwah itu sendiri?

"Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul (Muhammad), maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah, (iaitu) para nabi, para pecinta kebenaran, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh. Mereka itulah teman yang sebaik-baiknya." 
[QS An-Nisa', 4:69]

Dan hasil daripada mencintai siapa dan apa yang dicintai oleh kekasihnya ini ialah ketaatan. Kenapa kadang-kadang kita masih lagi merasakan berat untuk mentaati perintah Allah? Ketika mana datang perintah dakwah yang clash dengan arahan keluarga, kemudian kita mula tidak dapat menentukan sikap kita? Kenapa? Maka periksalah semula nilai ketaatan kita kepada Allah. Bagaimana? Lihat kembali carta cinta kita, di manakah Allah dalam carta cinta kita?


2. Membenci siapa dan apa sahaja yang dibenci oleh sang kekasih

Sebagaimana cinta, kebencian kekasih juga ditujukan kepada pihak-pihak yang dibenci oleh kekasihnya. Dalam konteks cinta kepada Allah, kebencian orang-orang yang beriman ditujukan kepada siapa-siapa sahaja yang tidak berpihak kepada Allah iaitu iblis dan syaitan, baik dari spesies jin mahupun manusia. Mereka akan membencinya! Bahkan Allah secara tegas menyuruh kita untuk menjadi syaitan itu sebagai musuh!

"Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, kerana itu jadikanlah ia sebagai musuhmu. Sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya menyeru kelompoknya agar mereka menjadi sebahagian daripada penghuni neraka yang menyala-nyala." 
[QS Faathir, 35:6]

Tapi, berapa ramai di antara kita yang menjadikan syaitan sebagai kawan baik dia? Syaitan dalam bentuk jin mungkin ramai dah di antara kita yang berjaya menewaskan mereka, tetapi macam mana dengan syaitan dalam bentuk manusia yang mungkin wujud dalam bentuk ahli keluarga kita, kawan-kawan kita, dan lain-lain?

“Dan demikian Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dengan apa yang mereka ada-adakan.” 
[QS Al-An’am, 6:112]

“Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Yang mereka ikuti hanya persangkaan belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan.”  
[QS Al-An’am, 6:116]

Dalam konteks cinta kita kepada Allah juga, seorang yang beriman dan berusaha untuk menjadi orang beriman mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk membenci apa sahaja yang dibenci oleh Allah berupa kemungkaran, kemaksiatan, kezaliman, kefasikan, kemunafikan, dusta, kebodohan, kesesatan, kemusyrikan dan kerosakan-kerosakan lainnya. Mungkin, kata fasad (kerosakan) ini merupakan perkataan yang terbaik bagi merepresentasikan segala hal yang dibenci Allah.

"Padahal Allah tidak menyukai kerosakan." 
[QS Al-Baqarah, 2:205] 

Hinggalah akhirnya ia mampu melahirkan rasa ketidak-taatan kepada apa yang dibenci oleh Kekasihnya..


Kesimpulannya

Ajarkanlah diri kita untuk bercinta sempena memperingati tarikh kelahiran dan kewafatan Rasulullah SAW kali ini. Moga dengan bertambahnya waktu kita mendekati mati ini menjadi pemangkin untuk kita semakin mencintai Allah, Rasul-Nya dan jihad di jalan-Nya. Hinggalah lahirnya perasaan sayang terhadap Allah, Rasul dan Jihad kemudian dapat diekspresikan melalui pengorbanan bukan setakat harta bahkan jiwa. Hinggalah musuh-musuh islam tidak mampu berkata apa-apa mengenai kekuatan cinta kita kepada agama ini.

Kalau kata ustaz Pahrol Mohd Juoi, cinta orang-orang beriman itu juga buta. Mereka buta dalam hal-hal kemaksiatan. Maknanya mereka tidak mahu dan benci melakukannya. Apa yang mereka tahu ialah apa yang dicintai olehnya itu mendapat apa yang dimahukan, dan dia menjadi salah satu daripada penyumbang untuk hal itu. Dan dia akan sentiasa berusaha dan terus berusaha untuk memastikan Dzat yang dicintainya itu juga dicintai oleh semua manusia! Itulah cinta buta orang yang beriman.

Kemudian raikanlah cinta itu. 

Cuma, pastikanlah cinta itu adalah cinta yang dapat membawa kita ke syurga, bukannya seronok ke neraka..

“Katakanlah: ‘Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.’ Dan, Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani”  

[QS Ali ‘Imran, 3:31]

Diceritakan dalam Asbabun Nuzul karangan Al-Imam As-Suyuti, dalam suatu riwayat dari Ibn Munzir dari al Hasan ada dikemukakan bahawa terdapat satu kaum pada zaman Rasul SAW yang berkata,

“Demi Allah hai Muhammad! Sesungguhnya kami benar-benar yakin dan cinta kepada Tuhan kami.”

Maka Allah menurunkan ayat di atas sebagai tuntutan bagaimana seharusnya mencintai Allah.


عَنْ أَنَسٍ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: مَنْ كَانَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللَّهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ   

“Dari Anas bin Malik RA, bersabda Rasulullah SAW: “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih dari cintanya kepada yang lain; siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah ; dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (dari kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api.” 
[HR Muslim]

Jadi, inilah masanya untuk kita juga mengumumkan cinta kita dan berbuat seperti yang diminta oleh Allah dalam ayat itu tadi.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?