بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
"Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) memancar daripadanya. Dan ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan."
[QS Al-Baqarah, 2:74]

Thursday, 22 December 2011

Menulislah Dari Hati


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillah. Segala kepujian bagi Allah kerana masih lagi membenarkan kita untuk sama-sama berbuat sedikit amal kebaikan walaupun terlalu sering kita melupakan dia dan lebih teruk lagi seringkali kita bermaksiat kepadanya, tetapi tidak sesaat pun Allah melupakan kita dalam terus menebarkan nikmatnya kepada diri kita, terutamanya nikmat iman dan islam; yang semakin luntur disyukuri oleh kebanyakan masyarakat dunia sekarang.

Selawat dan salam dihulurkan kepada Nabi Muhammad SAW, para nabi dan Rasul, para sahabat dan sahabiahnya, ahli keluarga baginda, dan juga untuk mereka yang terus menerus beriltizam, istiqomah dan beristimrar dalam berbuat yang terbaik untuk agama Allah SWT.

Seterusnya, satu peringatan yang jangan hanya sekadar dijadikan omongan kosong dan adat dalam bertazkirah iaitu, IKHLASKAN NIAT kita. Ikhlaskan niat kita dalam menulis. Ikhlaskan niat kita dalam membaca. Ikhlaskan niat kita juga dalam menyampaikan pada orang lain nanti. Kita berbuat bukan kerana mahukan kemuliaan dan keredaan daripada mata manusia, tetapi keredaan dan kemuliaan daripada Allah itu yang paling utama.


Mereka Juga Menulis

Sebenarnya, ramai orang yang menulis. Baik menulis untuk blog, akhbar, surat cinta, buku karangan, dinding sekolah, pintu tandas dan lain-lain.


Cuma, sesuatu yang kita kena perhatikan ialah, ada orang yang menulis dari otak. Kalau kita baca tulisannya, sangat ilmiah! Dikutip dari buku itu, dikutip dari buku ulama ini, habis semua buku dia kutip. Tetapi, dia sendiri belum tentu mengamalkan apa yang dia tulis, kerana dia hanya menulis dari otak. Ada orang yang menulis dari poket. Hanya untuk kepentingan wang. Dia akan sentiasa memastikan tulisannya menjadi yang terbagus kerana apa yang dikejar bukannya perubahan bagi pembaca, tetapi perubahan pada poketnya. Ada juga yang menulis dari hawa nafsu. Ini yang paling bahaya. Menulis kerana kepentingan harta, diri dan sanggup kadang-kadang menulis sesuatu yang menggadaikan nilai-nilai kemuliaan Islam demi kepentingan dan nafsu diri.

Tetapi, apa yang kita mahukan ialah seorang penulis yang menulis dari hati. Kalau kita perhatikan kata-kata Abdul Hamid Al-Bilali dalam bukunya Taujih Ruhiyah, dia mengatakan bahawa,

“Hanya kata-kata yang hidup mampu menghidupkan hati-hati yang mati”

Menurut Ibnul Qayyim Al-Jauziah dalam bukunya Nasihat-nasihat Keimanan, hati adalah bejana untuk lisan. Maknanya, setiap yang keluar dari lisan itu datangnya dari hati. Jika kata-katanya hidup, maka pasti hatinya juga hidup. Kita juga mesti selalu dengar pepatah,

“Hanya yang keluar dari hati yang akan masuk ke hati.”

Poin yang saya cuba untuk sampaikan ialah, sebagai seorang yang mahu mendeklarasikan bahawa dirinya adalah penulis dan pendakwah, maka perkara pertama yang perlu dia perhatikan ialah,

“Kenapa aku menulis?”

Adakah semata-mata untuk mempertontonkan bakat yang ada? Atau mungkin kerana mahu mempamerkan ilmu yang berbuku-buku di dalam kepala semata-mata? Atau mungkin kerana mahu memenuhkan sijil dan poket dengan wang? Atau yang lebih malang lagi kerana mahu memenuhi kepentingan hawa nafsu?

“Habiskan 24 juta untuk beli cincin itu wajar kerana takut membazir..”

Jangan bangga dengan amal

Tujuan utama saya menulis adalah semata-mata untuk memberikan sedikit kontribusi di dalam dakwah itu sendiri. SEDIKIT. Bahkan mungkin lebih rendah tarafnya daripada SEDIKIT. Kerana tiada seorang pun daripada kita akan masuk syurga kerana amal yang kita perbuat.

Dari Abu Hurairah RA, ia berkata,

“Rasulullah bersabda, ‘Mirip-miripkanlah dan tepatkanlah. Ketahuilah, sesungguhnya tidak ada seorang pun dari kalian yang selamat kerana amalnya.’ Para sahabat bertanya, ‘Juga termasuk anda, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, ‘Juga termasuk aku, kecuali jika Allah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya.’” 
[HR Muslim, Kitab: Iman 1/65 No. 38]

Tetapi, perlu tak kita beramal? Tentunya perlu. Orang bodoh sahaja yang kata kita tidak perlu beramal. Sudahlah diri itu penuh dengan maksiat, lepas itu penuh dengan dosa, kemudian mengharapkan rahmat Allah turun kepadanya tanpa ada amal? Logikkah?


Mari kita perhatikan beberapa kisah dalam Riyadhus Shalihin karangan Imam Nawawi, Rasulullah yang sudah pasti masuk syurga itu sendiri amalnya bukan main hebat. Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, dari Abdullah Hudzaifah Ibnul Yaman, dia menceritakan betapa solat malamnya Rasulullah itu sahaja membaca surah Al-Fatihah, kemudian Al-Baqarah kemudian An-Nisa’ kemudian Ali Imran dalam rakaat pertamanya sahaja, lamanya sujud beliau sama hampir sama dengan lamanya berdiri! Dalam hadith yang lain diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, dan lainnya, Ibnu Mas’ud mengatakan,

“Pada suatu malam saya solat bersama Nabi. Beliau berdiri cukup lama sehingga timbul niat buruk saya. Saya ditanya, ‘Niat buruk apa itu?’ Saya menjawab, ‘Saya ingin duduk lalu meninggalkan beliau.’” 
[Muttafaq alaih]

Tapi, cuba kita lihat, baginda Rasulullah SAW masih lagi mengatakan,

“Juga termasuk aku, kecuali jika Allah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya.’”

Jadi, jangan pernah kita berbangga dengan amal. Solat malam Rasulullah baca 6 juz satu rakaat. Patutlah bengkak-bengkak kaki Rasulullah SAW. Kita? 6 muka surat dah merasakan macam pegang kunci pintu syurga, tinggal nak bukak dan masuk sahaja. Yang bengkak cuma hati sahaja sebab tak puas hati kena kejut bangun tahajjud.

Akhi wa ukhti, buatlah amal itu untuk membersihkan hati kita, mengurangkan kesan dosa dan khilaf, dan yang paling pasti ialah kita dapat hadirkan keikhlasan dalam kita beramal AGAR kita juga mendapat rahmat daripada Allah. Amin.

“Dan laksanakan solat pada kedua hujung siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan malam. Perbuatan-perbuatan baik itu menghapuskan kesalahan-kesalahan. Itulah peringatan bagi orang-orang yang selalu mengingat (Allah).” 
[QS Hud, 11:114]



Dakwah itu Perubahan

Sama juga dalam dakwah. Ada orang yang berdakwah dari otak. Kalau kita lihat ke dalam ceramahnya, fuh mantap! Terkedu kita dibuatnya. Bukan saya kata salah jika berdalil dengan hujah yang sangat nyata, boleh sebut kitab apa, apa nama ulama’, siap nombor, muka surat dan perenggan ke berapa boleh disebutnya. Cuma, bagaimana pula dari sudut aplikatif? Cerita tentang bab zuhud, tapi berceramah pakai Alphard kerana supaya nanti Jemaah masjid segan kalau tak bagi duit kurang-kurang RM50 ke atas. Teringat aduan seorang ustaz yang menggunakan kereta buatan Malaysia,

"Ustaz-ustaz ini kadang-kadang beli kereta mahal kerana nanti bila dia berceramah dapat duit banyak. Makin mahal kereta, makin mahal duit yang dia dapat."

Ada orang yang ceramah untuk poket. Itu yang kadang-kadang kita lihat ceramahnya penuh dengan lawak-lawak yang mengarut. Bila nak tempah untuk berceramah, kalau setakat RM500, maka tunggulah 2014 nanti baru dapat dengar dia berceramah. Tapi, kalau ada RM2000, esok pun tidak mengapa.

"Kenapa nak jemput ustaz itu berceramah?" 
"Sebab ceramah dia best, banyak lawak."

Bila kita dengar kadang-kadang pelik. Pelik kerana tujuan berceramah sepatutnya dapat mencetuskan rasa untuk berubah dalam diri pendengar, tapi yang kita dapat lihat cuma gelak tawa memanjang, keluar masjid hilang dah semua. Teringat ada kata seorang ustaz,

“Kalau setakat nak panggil berceramah untuk berlawak, baik panggil raja lawak, lagi best!”

Ada juga yang berceramah kerana hawa nafsu. Ini yang kadang-kadang kita dapat lihat beberapa yang mengklaim diri mereka ulama, tetapi menyokong pemerintahan yang zalim. Apa sahaja yang dibuat mereka adalah betul. Tak kisahlah kerajaankah, pembangkangkah, kalau sesuatu yang benar itu ditegakkan, itu wajar. Tetapi, hakikatnya tidak seperti yang kita harapkan. Kerana apa?

Masing-masing ada jawapan masing-masing berdasarkan kepentingan masing-masing. Kalau kata Ustaz Hasrizal, di laman web beliau,

“Berdakwah bukan untuk memberi TAHU, tetapi ingin mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU. Pencerahan bukanlah pada menghimpun maklumat dan pengetahuan, tetapi membuka jalan kembara insan mengenal TUHAN.” 
[Abu Saif]

Tulislah dari hati

Konklusinya, sampaikanlah sesuatu itu dari hati. Berdakwahlah kepada masyarakat dari hati. Hati yang dimaksudkan di sini pastilah hati yang selalu dimandikan dengan ayat-ayat al-Quran dan hadith nabi, kemudian semuanya itu dizahirkan dengan perbuatan amal soleh yang real. Bukan hati yang kotor dengan lagu-lagu maksiat dan keinginan-keinginan yang membusukkan lagi amal yang akan terzahir. Sebab hati yang kotor dikhuatiri akan mengotorkan hati orang lain pula.

Terakhir, doakan saya istiqomah dan bukan setakat seronok menulis, tetapi juga seronok dalam berbuat di dunia real seperti yang dicontohkan oleh Dr Abdullah Azzam, Hasan Al-Banna, Sayyid Qutb dan mereka-mereka yang dibunuh kerana mereka bukan setakat menulis, tetapi mereka berbuat apa yang mereka tulis. Penegasan, mereka mati bukan kerana mereka menulis, tetapi mereka mati kerana berbuat apa yang ditulis. Tambahan, mereka juga mampu mencetuskan kemahuan dalam diri masyarakat sampai hari ini dalam berbuat seperti apa yang mereka perbuat. Masya-Allah.

"Jari telunjuk ini yang menjadi saksi setiap kali di dalam sembahyang bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah tidak mungkin sama sekali akan menulis coretan yang hina dan mengampu-ampu. Jikalau sememangnya saya layak dipenjara, saya reda menerimanya. Tetapi jika saya dipenjara dengan zalim, saya sama sekali tidak akan tunduk memohon belas kasihan daripada orang yang zalim." 
[Sayyid Quthb, Inilah Islam, m/s 10 (Pustaka Salam, 2000)]



Saya menulis hanya untuk kebaikan kepada diri saya sendiri. Adapun yang terasa, terkesan, terkena, itu semua datangnya dari Allah 'azza wajalla. Kerana Allah-lah yang mempunyai hak dalam memasukkan taufik serta hidayahnya ke dalam hati sesiapapun yang Dia kehendaki. Bukan saya...


"bangkit"
khir al-imtiaz
2238 hours
22-12-2011

Thursday, 15 December 2011

Layakkah Aku Dicintai Rasulullah?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Dalam sebuah riwayat hadith dikisahkan.

Ketika itu baginda Rasulullah SAW tengah duduk berkumpul bersama sahabat-sahabatnya. Di situ ada saidina Ali, Uthman, Abu Bakar, Umar dan lainnya. Lalu kemudian baginda bertanya, 

"Wahai sahabatku, tahukah kalian siapa hamba Allah yang mulia di sisi Allah?"

Para sahabat terdiam. Lalu ada seorang sahabat berkata, 

"Para malaikat, Rasulullah, merekalah yang mulia." 

Rasulullah menjawab,

"Ya, para malaikat itu mulia, mereka dekat dengan Allah dan mereka sentiasa bertasbih dan beribadah kepada Allah, tentulah merekalah mulia tapi bukan itu yang aku maksudkan." 

Lalu para sahabat kembali terdiam, tiba-tiba seorang sahabat kembali berkata,

"Ya Rasulullah, tentu para nabi, merekalah yang mulia itu." 

Nabi Muhammad tersenyum. Baginda berkata, 

"Ya, para nabi itu mulia, mereka adalah utusan Allah di muka bumi, bagaimana mungkin mereka tidak mulia, mereka mulia. Tapi ada lagi yang lain."

Para sahabat terdiam, tertanya siapalah lagi mereka itu. Lalu salah seorang sahabat berkata,

"Apakah kami sahabatmu, ya Rasulullah? Apakah kami yang mulia itu?"

Bayangkan, Baginda memandang wajah mereka semua satu persatu, Baginda tersenyum melihat para sahabat. Baginda berkata,

"Tentulah kalian mulia, kalian dekat denganku, kalian membantu perjuanganku, mana mungkin kalian tidak mulia, Tentulah kalian mulia, tetapi ada yang lain yang mulia." 

Para sahabat terdiam kesemuanya, mereka tidak mampu berkata apa-apa lagi. 

Lalu bayangkan. Tiba-tiba, baginda Nabi Muhammad menundukkan wajahnya. Bayangkan tiba-tiba baginda menangis di hadapan sahabat-sahabat. Para sahabat tertanya,

"Mengapa engkau menangis ya Rasulullah?"

Lalu bayangkan, Rasulullah mengangkat wajahnya, terlihat bagaimana air mata berlinang membasahi pipi dan janggutnya. Lalu baginda berkata, 

"Wahai sahabatku, tahukah kalian siapa yang mulia itu. Mereka adalah manusia-manusia. Mereka akan lahir jauh setelah wafatku nanti. Mereka begitu mencintai Allah, dan tahukah kalian, mereka tak pernah memandangku. Mereka tidak pernah melihat wajahku. Mereka hidup tidak dekat dengan aku seperti kalian. Tapi mereka begitu rindu kepadaku. Dan saksikanlah wahai sahabatku semuanya, aku pun rindu kepada kepada mereka, mereka yang mulia itu, merekalah itulah UMATKU."

Bayangkan saat itu Nabi Muhammad menitiskan air matanya, semua sahabat menangis. 


+++


Cuba tanyakan pada diri kita kembali, 

"Siapa yang dirindukan Nabi Muhammad, siapa yang didoakan nabi Muhammad setiap waktu. Demi Allah, cuba tanya pada diri kita masing-masing."

Tanyalah jauh ke dalam lubuk hati kita, ikhwah-ikhwah, 

"Sudahkah aku mencintai Nabi Muhammad?"

Cuba lihat dalam kehidupan kita, siapakah yang menjadi sanjungan kita selama ini? Siapa pula sanjungan rakan-rakan kita yang lainnya, bagaimana pula dengan sanjungan kaum keluarga kita. Adakah kaum keluarga kita sedang lupa terhadap Nabi Muhammad, lalai kepadanya. 

Kita kadang-kadang terlalu mudah untuk berbangga dengan sanjungan seperti para artis, kita juga kadang-kadang selalu berbangga dengan pemain-pemain bola sepak yang kita kagumi. Bila pula kali terakhir kita berbangga dengan Nabi Muhammad SAW?

Sudah berapa lama sebenarnya kita lalai? Sudah berapa lama kita tidak bersungguh-sungguh mendidik atau mentarbiah kawan-kawan kita untuk mencintai baginda Nabi Muhammad. 

Jika kita berani mengaku sebagai umat Nabi Muhammad, sudahkah kita mencintai Nabi Muhammad, sudahkan ada air mata yang berlinang kerana kita rindu Nabi Muhammad? Sudah berapa lama kita lalai? Sudah berapa lama kita leka hidup di dunia? Sudah berapa lama kita melupakan Nabi Muhammad. 

Maka mari pada malam ini kita hadirkan atau hidupkan rasa cinta yang telah lama hilang itu, semoga di Padang Masyar kelak, kita akan berkumpul bersama Baginda SAW.. Amin..

Wednesday, 14 December 2011

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?

Kehidupan adalah sesuatu yang abstrak dari kaca mata seseorang yang tidak tahu apa tujuan hidupnya. Kehidupan pula merupakan sesuatu yang sangat objektif bagi mereka yang tahu apa tujuan hidup mereka. 

Apabila merasakan hidup ini seolah-olah tiada makna, itu beerti dia tidak tahu apa sebenarnya tujuan hidupnya. Seperti kita membaca buku kimia, tetapi tidak tahu apa tujuan kita membacanya. Tiada siapa pula yang menerangkan kepada kita apa tujuan kita membaca. Maka kita akan merasakan benda itu sia-sia dan tiada makna, dan pasti kita akan meninggalkan pekerjaan tersebut kerana perkara itu tidak membawa apa-apa makna dalam kehidupannya berbanding main games, bercouple atau stay up tengok movie yang for sure dapat memuaskan hawa nafsu dengan alasan release tension kononnya.



Mengapa hidup perlu ada tujuan? 

Segala yang berlaku itu pastilah ada tujuannya, tidak akan saja-saja ada. Sedangkan tahi di tepi jalan pun ada tujuan kenapa ia diciptakan di situ, inikan pula manusia yang semulia-mulia dan sebaik-baik ciptaan.

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ  
"Dan sungguh, Kami telah memuliakan anak cucu Adam.." 
[QS Al-Isra', 17:70] 


لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

"Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." 
[QS At-Tin, 95:4]
Mustahillah bagi sesuatu yang dimuliakan Allah dan dicipta dengan baik dengan Allah, tetapi hidupnya tak ubah seperti sampah yang kita lihat mereka seolah tiada tujuan kenapa ia wujud, tetapi hakikatnya menyusahkan masyarakat sekitar.


Hidup kita tidak sia-sia

Perhatikanlah pesanan Allah kepada mereka yang mengimani dan menjadikan al-Quran sebagai pakaian dalam kehidupannya,

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ  
Apakah kamu mengira bahawasanya Kami menciptakan kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maha tinggi Allah Raja Yang Maha benar. Tiada sesembahan -yang benar- kecuali Dia, Rabb Yang memiliki Arsy yang mulia.”  
[QS al-Mu’minun, 23:115-116]

وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاءَ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا بَاطِلًا ۚ ذَٰلِكَ ظَنُّ الَّذِينَ كَفَرُوا ۚ فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ كَفَرُوا مِنَ النَّارِ 
"Tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala sesuatu yang ada di antara keduanya ini untuk kesia-siaan. Itu adalah persangkaan orang-orang kafir saja, maka celakalah orang-orang kafir itu kerana mereka akan masuk ke dalam neraka.”  
[QS Shaad, 38:27]

Carilah tujuan atau matlamat dalam hidup kita. Ayuh kita bersama-sama, menyusun kembali matlamat kehidupan kita berpaksikan untuk mencari keredaan Allah.

Apabila kita sudah bermatlamat, maka langkah seterusnya ialah menuju ke sana, perlu kita sama-sama sedar bahawa jalan untuk ke sana tidak mudah seperti yang kita dambakan. Kita perlu persiapkan diri kita dengan keimanan dan keislaman yang sempurna. Di sini terletaknya kepentingan tarbiyah dalam memastikan perkara itu sentiasa berkesinambungan. Tiada jalan lain selain jalan dakwah dan tarbiyah yang dapat menjanjikan kita dan keluarga kita untuk memelihara keimanan dan keislaman itu. 

"Kalau macam itu Ya Allah, kau matikanlah hamba-Mu ini. Aku hidup di dunia hanya untuk menyusahkan orang lain." 

Ingat semula pesan Rasulullah SAW kepada kita,

"Jangan sekali-kali seseorang diantara kamu mengharapkan kematian karena penderitaan yang dialaminya. Jika ia harus berbuat begitu, maka hendaklah ia mengucapkan, 'Ya Allah, hidupkanlah aku jika hidup itu lebih baik bagiku; dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku." 
[HR Bukhari dan Muslim] 
"Dan jangan sekali-kali salah seorang di antara kamu mengharapkan kematian, karena kalau ia orang baik maka boleh jadi akan menambah kebaikannya; dan jika ia orang yang jelek maka boleh jadi ia akan bertaubat dengan tulus." 
[HR Bukhari] 
"Jangan sekali-kali salah seorang diantara kamu mengharapkan kematian dan jangan pula berdoa memohon kematian sebelum datang waktunya. Sesungguhnya kematian itu apabila datang kepada salah seorang di antara kamu maka putuslah amalnya, dan sesungguhnya tidak bertambah umur orang mukmin itu melainkan hanya menambah kebaikan baginya." 
[HR Muslim] 

+++

"ya ALLAH, aku bagai batu yang berselerak dipijak, tidak memberi apa-apa makna,"

Sekali lagi saya tegaskan, sedangkan tahi di tepi jalan pun ada tujuan kenapa ia diciptakan dan diletakkan di situ,  inikan manusia yang ada akal untuk berfikir mengenai Tuhannya.

"Aku harap benda ni dapat buat kau faham yang aku bukannya selalu gembira"

Nabi Muhammad pun pernah bersedih. Siap ada Tahun Kesedihan lagi. Sedih kerana kematian isterinya,Khadijah, pakciknya Abu Talib, penolakan dakwah di Taif dan lain-lain. Takkanlah kita nak sentiasa happy. Sedangkan kita tahu iman Nabi Muhammad itu sangat tinggi dan dia adalah kekasih Allah. 

Kita?

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ 
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.”  
[QS al-‘Ankabut, 29:2-3] 




كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ 
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi, boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyenangi sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
[QS al-Baqarah, 2:216]


"looking"
khir
11.40pm
13-December-2011

Sunday, 11 December 2011

Indahnya Taubat, jika..


Ka'ab bin Malik

Seorang sahabat yang bernama Ka'ab bin Malik RA tertinggal dari perang Tabuk, hingga Nabi Muhammad SAW marah dan memerintahkan kaum muslimin agar memboikotnya selama lima puluh hari. Dan setelah lima puluh hari, Allah mengampuninya. Al-Quran datang dengan taubat Allah padanya. Ka'ab lantas memasuki masjid setelah ia diboikot lima puluh hari.

Lihat apa kata Rasulullah SAW setelah ia (Ka'ab) diboikot lima puluh hari,

"Wahai Ka'ab, bergembiralah menyambut hari yang paling indah setelah ibumu melahirkanmu,.. Allah tellah mengampunimu." 
[HR Bukhari dan Muslim]

Jika anda bertanya kepada seseorang,

"Apa hari yang paling indah bagi kamu?"

Apa yang dia akan katakan? Dia mungkin akan menjawab,

"Hari ketika aku berjaya.. hari ketika aku menikah.. hari itu dan ini."

Sesungguhnya ikhwah sekalian, memang itu semua benar hari yang indah. Tetapi, perlu kita sedar hakikat bahawa hari yang paling indah adalah ketika Allah mengampuni kita... dan ketika kita mengeluarkan maksiat yang memenuhi hati kita dan bertaubat kepada Allah.

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik." 
[QS Al-Hadid, 57:16]



Indahnya ampunan

Perhatikanlah hadith ini,

Seorang lelaki datang bertemu dengan Rasulullah SAW seraya berkata,
"Jika aku berbuat dosa, apakah akan ditulis?"
Rasul menjawab,
"Ya. Akan ditulis"
Ia bertanya lagi,
"Bagaimana jika aku bertaubat?"
Rasul menjawab,
"Akan dihapus."
Ia berkata lagi,
"Bagaimana jika aku mengulangi lagi?"
Rasul menjawab,
"Akan ditulis."
Ia berkata lagi,
"Ya Rasul, bagaimana kalau aku bertaubat?"
Rasul menjawab,
"Akan dihapus."
Lelaki itupun berkata,
"Ya Rasul, sampai bilakah Allah akan menghapus?"
Rasul menjawab,
"Allah tidak akan bosan memberi ampunan sampai kalian bosan meminta ampun."
[HR Thabrani dan al-Hakim]


"terjatuh"
Khir Al-Imtiaz
1737 hours
11 Disember 2011

Tuesday, 6 December 2011

Khusyuk yang Tiada Lagi


Air Mata Mahal

Api maksiat yang masuk ke dalam hati manusia mengubah hati mereka menjadi arang hitam. Api maksiat hanya boleh dipadamkan dengan air mata yang mengalir deras sebab takut kelak dihisab pada Hari kiamat dan perasaan semua perkataan dan perbuatan selalu diawasi Allah SWT. Tentang air mata mahal ini, Al-Hasan Al-Bashri berkata,

"Jika mata seseorang menguncurkan air mata kerana takut Allah, maka Dia mengaharamkan neraka menyentuh tubuhnya. Jika air mata mengalir ke pipinya, maka wajahnya tidak hitam dan hina pada Hari Kiamat. Tidak ada amal perbuatan yang berbobot berat dan diberi pahala, kecuali air mata yang keluar kerana takut Allah. Air mata seperti itu memadamkan panasnya api neraka. Jika ada seseorang pada suatu umat menangis kerana takut Allah, aku berharap umat itu secara keseluruhan dirahmati Allah gara-gara tangis satu orang tersebut." 

[Al-Hasan Al-Bashri, hal. 96]

Api maksiat dan kelalaian telah merasuki hati kita, lalu membuat hati kita tidak mampu khusyuk. Mahukah kita memadamkan api maksiat itu dengan air mata mahal seperti di atas dan kita berbenah diri mulai sekarang juga?
[Abdul Hamid Al-Bilali, Taujih Ruhiyah, m/s 86 (An-Nadwah, 2008)]

kredit untuk Freezer Always

khir al-imtiaz
07.15pm
6-12-2011

Saturday, 3 December 2011

Masa Untuk Berhijrah?

Assalamu'alaikum,

Apabila kita berfikir mengenai Hijrah (penghijrahan Nabi dari Makkah ke Madinah), jarang kita bayangkan kesukaran yang telah dihadapai oleh Nabi yang kita cintai (Salam sejahtera kepadanya) dan para sahabat dalam meninggalkan rumah-rumah mereka, perniagaan mereka, keluarga mereka, dan berhijrah ke bandar baru yang berbeza. Bolehkah kita membayangkan andainya diri kita yang melakukan perkara itu? Meninggalkan semua kemudahan yang kita telah bina sejak beberapa tahun yang lalu di kampung halaman kita dan kemudian memulakan hidup baru di bandar baru dengan tiada apa-apa bekalan sekalipun?

Ia tidak mudah seperti yang disangka. Tetapi kita harus sedar bahawa kadang-kadang penghijrahan itu sangat diperlukan untuk memulakan satu kehidupan baru yang akan mendorong kita untuk menjadi seorang muslim yang produktif, sama seperti ia diperlukan pada masa Nabi (Salam sejahtera kepadanya) dalam usaha untuk menegakkan Islam dengan mencari rumah baru di Madinah dan kesannya ialah Islam dapat merebak dengan lebih bebas di Semenanjung Arab.

Hari ini saya menjemput kita semua untuk membentuk rohani Hijrah, Hijrah demi Allah SWT daripada dosa-dosa kepada perbuatan baik, daripada rakan-rakan yang buruk kepada rakan-rakan baik, daripada kerja yang tidak halal kepada kerja yang halal, daripada hidup untuk dunia kepada hidup untuk akhirat, dan perubahan daripada tidak produktif kepada produktif!

Perlu kita ingat bahawa penghijrahan rohani ini tidak akan dapat dilakukan dengan begitu mudah dan mungkin mencabar pada masa-masa tertentu, tetapi jika dilakukan kerana Allah SWT, insya-Allah ia akan memberi manfaat baik pada akhirnya.

Ayuh. Mulakan langkahmu!



khir al-imtiaz
0049 hours
3 Disember 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

+++


"Wahai kaum Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia, memboikot produk-produk buatan Israel dan Amerika adalah kewajipan bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia. Setiap dolar yang kita bayarkan untuk sebotol Coca-Cola misalnya, akan menjadi sebutir peluru di dalam senjata orang-orang Amerika atau Israel yang akan diacu ke arah kita. Kita telah menyumbangkan wang kita setiap hari kepada McDonalds, KFC, Burger King dsb, tanpa memikirkan ke mana wang itu akan dibelanjakan.

Menurut pendapat saya, setiap Muslim harus bertanggungjawab dalam hal yang mempengaruhi keluarga dan gaya hidup mereka. Lihatlah kepada orang-orang Amerika yang telah membatalkan (veto) resolusi PBB untuk mengutuk aksi tentera Israel di Palestin. Jika mereka itu adalah pemelihara perdamaian seperti yang mereka dakwa, apakah mungkin mereka melakukannya (membatalkan resolusi PBB)?

Wahai manusia, tidakkah anda berfikir? Tidakkah anda memiliki perasaan lagi? Tidakkah anda merasakan kepahitan negara-negara Arab dan Islam dalam hal ini? Darah yang paling murah adalah darah kita! Kita telah menjadi bahan percubaan bagi senjata-senjata dan peluru-peluru serta teknologi mereka. Persenjataan perang ini dibiayai oleh kita, dalam gaya hidup konsumerisme yang mereka paksakan ke atas kita.

Saya bertanya kepada anda semua, dengan nama Allah. Saya bertanya pada anda semua, atas nama ribuan orang yang mati di tangan pengganas-pengganas itu pada tahun 1948, 1967, 1973 di Qana, di Dir Yassin, di Bahr al-Bakar semenanjung Gaza dan di al-Quds. Saya bertanya kepada anda semua, atas nama orang yang mati syahid untuk kehormatan kita. Saya bertanya ke atas anda, atas nama seorang anak kecil bernama Muhammad al-Durrah, yang syahid dalam pelukan ayahnya ditembusi peluru-peluru, dari wang yang telah kita sumbangkan kepada mereka.

Apakah akan jadi kepada kita? Kita memiliki mata yang tidak dapat kita gunakan untuk melihat. Kita memiliki telinga, tetapi kita tidak gunakan untuk mendengar. Kita memiliki hati, tetapi tidak lagi dapat merasai. Mereka telah menjadikan kita sebagai pengguna-pengguna yang buta, yang rela membayar wang untuk membiayai senjata mereka, untuk mendukung aksi keganasan mereka di dunia Arab dan Islam.

Boikot mereka sekarang! Sekarang atau peluang ini tidak muncul lagi selamanya!

Dunia Arab dan Islam harus bersatu agar menjadi kuat. Kembali dan siapkan persenjataan kita. Kembalikanlah dan bangunkanlah ekonomi kita agar kita dapat menghancurkan mereka. Allahu Akbar!!"

[Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 8 Oktober 2001 (Qatar)]


+++