Ketika Allah Tersenyum Kepada Kita

Merealisasikan Rasa Syukur 

Masa sememangnya ajaib. Apabila ianya lapang, kita kadang merasakan seolah tidak tahu apa yang mahu dilakukan. Kerana ianya terlalu lapang. Tetapi, apabila ianya mulai sempit, dikala itulah kita dapat merasakan bahawa… 

“Argh! Kenapa seminggu ni cuma ada 7 hari sahaja! Tambahlah lagi 5 hari ke jadikan 12 hari seminggu, barulah logik nak settlekan semua ni.” 

Merungutlah macam mana sekalipun. Memang itulah sikap manusia. Menghargai sesuatu apabila sudah kehilangannya. 

Kerana itu Rasulullah SAW berpesan kepada kita, 

"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." 
[HR Al-Hakim dan Al-Baihaqi] 

Jangan kita sudah kehilangan yang namanya muda, barulah kemudian menangisi pemergiaannya ketika kita sudah tua. Itu ok lagi. Jangan sampai hilang yang namanya hidup, barulah kita mahu belajar erti menghargainya. Bak kata orang dulu-dulu, ketika itu “menangis air mata darah pun dah tak guna”

Sempatkah lagi aku mensyukurinya?

Bersyukurkah kita? 

Syukur. Satu kata yang selalu kita dengar orang ucapkan. Selalunya orang mengucapkan ‘syukur” ini ketika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan hatinya. Sama ada sekadar latahan atau dzikir, kita pulangkan kepada Allah kerana Allah Maha Mengetahui. 

Tetapi, apa yang cuba saya bahaskan di sini ialah, apa bukti dan apa usaha yang telah kita letakkan sebagai tanda syukur kita kepada Allah SWT? Adakah cukup hanya sekadar di lidah? Sedangkan hati dan perbuatan kita berpaling?

Kadang-kadang, kita dapat lihat di kaca televisyen, ketika mana seorang artis wanita diumumkan sebagai pemenang satu-satu anugerah, maka si dia akan dengan sangat gembiranya berjalan menaiki pentas dengan kasut yang keletak keletuk dengar sampai ke speaker, dengan pakaian yang hanya sekadar membalut apa yang difikirkan “patut” pada tafsiran dia dan penganjur. Kemudiannya mengucapkan di mikrofon, 

“Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana memberikan saya peluang untuk merasai nikmat yang tidak terkira ini…. Semoga Allah memberkati usaha saya selama ini yang ikhlas semata untuk mencari keredhaan-Nya…” 

Inikah cara kita membuktikan rasa syukur? 

Mengucapkan rasa syukur, dalam keadaan kita sedang melakukan nilai-nilai hina kemaksiatan! 

Secara analoginya, kita mengucapkan terima kasih kepada ayah kita kerana membelikan motor untuk kita, namun pada masa yang sama kita calarkan keretanya dengan kunci motor yang dia berikan kepada kita. Tambahan, kita sibah cat minyak warna merah lagi dan pecahkan tingkap serta tendang kasi bengkok dia punya pintu. 

Agak-agak, apa yang ayah kita akan buat lepas tu? 

“Tak cukup tanah lari…” 

Tapi, adakah Allah berbuat perkara yang sama ketika mana seorang hamba lalai dalam mengucapkan rasa terima kasih kepada-Nya? 

… 

Tanyakan pada diri kita sendiri. Sejauh mana kita mensyukuri mata, telinga dan hati kita, dan kita mengarahkan ia sesuai dengan panduan serta ketetapan Allah? Atau… 

“Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah.” 
[QS Al-A’raf, 7:179] 

Sejauh mana hati kita digunakan untuk memahami ayat-ayat Alah? Memikirkan mengenai hal-hal yang dapat mendekatkan diri kita dengan Allah? 

Atau memahami majalah hiburan atau komik Kreko dan Utopia itu lebih mendapat tempat? Juga, memikirkan nasib serta masa depan artis pujaan itu lebih bernilai dari memikirkan sama ada diri kita ke syurga atau neraka? 

Sejauh mana pula mata kita digunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah? Atau kemaksiatan itu lebih digemari ditontoni? 

Sejauh mana telinga kita digunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah, mendengar peringatan yang dapat mendekatkan diri kita dengan Pencipta? Atau muzik yang melalaikan serta umpatan dan gossip yang lebih dianjurkan untuk mengenakkan telinga kita? 

Adakah kita termasuk mereka yang disebut Allah dalam ayatnya, 

"Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan ruh (ciptaan)-Nya ke dalam tubuhnya dan Dia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati bagimu, (tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur." 
[QS As-Sajadah, 32:9] 

Sedikit sekali mereka yang bersyukur. 

Tanyakan diri kita, tanyakan iman di dada. 

“Kita di mana?” 
Masih sempat untuk cari jalan keluar jika kita mahu

Realisasi syukur mereka 

Pernah tak kita dengar kisah daripada Aishah RA berkata: 

''Bahawasanya Rasulullah SAW selalu beribadat di waktu malam sehingga bengkak kedua belah kakinya. Maka saya pun berkata kepadanya: ''Kenapa kau beribadat sampai jadi begini ya Rasulullah sedangkan Allah SWT telah mengampuni dosa-dosa mu yang terdahulu dan dosa-dosa mu yang terkemudian.”  
Lalu Nabi SAW menjawab: 
''Bukankah lebih elok kalau aku menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur''.  
[HR Bukhari] 

Masya-Allah! Seorang lelaki yang ma’sum. Dosanya yang terdahulu mahupun yang akan datang itu sudah pasti diampunkan oleh Allah SWT, bahkan syurga sememangnya sudah sangat pasti untuknya, tetapi masih betah berdiri di tengah malam tatkala bantal dan selimut menjadi dambaan ramai ketika itu? 

Kenapa? 

Kerana ingin merealisasikan satu perkara… 

Rasa syukurnya pada Allah. 

Kalau kita di mana? 

Sebengkak mana kaki kita dalam mendirikan solat? Atau yang bengkak cuma hati kita kerana terlalu banyak solat yang kita lalaikan? 

“Maka celakalah orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai terhadap solatnya, yang berbuat riya’, dan enggan memberikan bantuan.” 
[QS Al-Ma’un, 107:4-7] 

Lihat juga ketika dalam Perang Badar. Ketika Abu Bakar menginfakkan semua hartanya, dan dia hanya meninggalkan Allah dan Rasul untuk keluarganya, kemudian Umar satu pertiga daripada hartanya. Masya-Allah. Harta mereka banyak tu! Dan mereka buat perkara itu bukan sekali itu sahaja. Bahkan ada sahabat yang sanggup berlari-lari anak untuk memenuhi seruan berinfak ketika Perang Tabuk dengan membawa segenggam kurma (kerana itu sahaja yang ada pada dirinya) di tangannya hingga ditertawakan oleh orang-orang munafik. 

Cuba bayangkan kalau segala harta yang kita ada sekarang ni, baik handset, iPad, motor semuanya kita serah gitu je pada mereka yang mahu berbuat untuk agama Islam. Sanggup tak kita? Orang mungkin mengatakan kita gila jika kita berbuat seperti itu. 

Tetapi bagi mereka, itulah realisasi kepada tanda syukur mereka kepada Tuhan mereka. Bukan hanya pandai cakap, tetapi berbuat. 

“Walk his talk” 

Cukuplah dua contoh keadaan yang saya utarakan di sini untuk kita sama-sama membacanya bukan untuk sekadar menambah ilmu, tetapi dapat mencetus mahu dalam mengaplikasikannya dalam setiap sudut kehidupan kita. Sia-sia jika hanya sekadar seronok membaca dan menambah ilmu, tetapi tidak dilanjutkan dengan yang namanya beramal dan mengajak orang lain turut beramal. 


Nikmatnya tarbiyah 

Alhamdulillah dan syukur kepada Allah Azza Wa Jalla kerana membenarkan diri kita untuk merasakan nikmat tarbiyah. Nikmat yang kita kadang-kadang sering dan selalu berfikir, 

“Kenapa harus aku yang duduk di atas jalan ini?” 

Kenapa kita? Bagus sangatkah diri kita ni? 

Penuh dengan karat-karat dosa. Lalai dan leka serta terlena dalam kemaksiatan. 


Kenapa harus kita? 

Satu sahaja jawapan yang saya dapat simpulkan.

“Kerana Allah masih sayangkan kita.” 

"Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." 
[HR Bukhari dan Muslim]

Allah sayangkan kita. Tetapi, sejauh mana kita sudah mencintai diri kita sendiri? 

Sudah sejauh mana pula kita telah membuktikan rasa syukur kita dengan nikmat tarbiyah ini? 

Jika benar kita mensyukurinya, maka kita pasti tidak dan tidak akan pernah selesa dengan keadaan diri kita sekarang yang begitu selesa hidup dalam suasana berukhuwwah dengan orang yang ditarbiyah, tetapi dalam masa yang sama ahli keluarga kita, adik beradik kita, kawan-kawan serta musuh-musuh kita masih lagi terus hidup bergelumang dengan kegelapan jahiliyyah yang menipu! 

“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezeki datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)-nya mengingkari nikmat-nikmat Allah, kerana itu Allah menimpakan kepada mereka bencana kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang mereka perbuat.” 
[QS An-Nahl, 16:112] 

Terlalu luas nikmat-Nya 

Kita kata kita selalu bersyukur… 

Tetapi mana buktinya? 

Sebanyak mana pula harta telah kita habiskan untuk Allah? 

Sebanyak mana pula idea telah kita kuraskan untuk Allah? 

Sebanyak mana pula jiwa dan perasaan yang telah korbankan demi Allah? 

Sebanyak mana? 

Lupakah kita dengan peringatan Allah kepada kita? 

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka azab-Ku sangat keras.” 
[QS Ibrahim. 14:7] 

Cuba kita renung kembali.. 

Sebanyak mana nikmat yang telah Allah berikan kepada kita? 

Kita tidak dan tidak akan pernah mampu untuk mengiranya!!! 

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang." 
[QS An-Nahl, 16:18]

Tetapi, kita masih lagi kadang-kadang berkira-kira untuk memberikan sedikit sahaja daripada sebahagian hidup kita untuk Allah. 

Belum cerita tentang hidup dan matinya untuk Allah, sedangkan, itulah perintah-Nya. 

“Katakanlah (Muhammad), “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan seluruh alam.”” 
[QS Al-An’am, 6:162] 

Sama-sama kita melihat kembali ke dalam diri kita. 

Sejauh mana kita telah membuktikan atau merealisasikan rasa syukur kita kepada Allah? 

Dan dalam masa yang sama kita kita tidak cuba untuk mencemari ia dengan nilai hina kemaksiatan. 

Mulakanlah revolusi dalam merealisasikan makna syukur dari sekarang. 

Semuanya bertumpuk atas kemahuan yang tinggi

Belajar dari sekarang untuk menjadi hamba yang bersyukur! 

Mulakan dengan belajar untuk mengorbankan rasa cinta kita kepada tidur dengan bertahajjud. 

Mulakan dengan belajar untuk mengorbankan rasa cinta kita kepada perut dengan berpuasa. 

Mulakan dengan belajar bersedekah atau berinfak ketika mana hati kita merasa berat, takut akan kemiskinan. Ada seorang ikhwah pernah mengadu, 

“Ikhwah ni kalau nak berinfak, mereka akan cuba bagi seminimum yang boleh. Bukannya sebanyak yang boleh.” 

Mulakan juga dengan belajar untuk mengorbankan rasa sayang kita kepada makhluk dengan mengejar cinta Allah. 

Kerana apabila selesai cinta kita sama Allah, maka Allah akan selesaikan urusan cinta dengan penduduk dunia. Tak percaya, cuba buka buku Riyadhus Shalihin, cari hadis ni, 

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, beliau bersabda, 

“Apabila Allah mencintai seseorang, Jibril akan berseru, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan. Oleh kerana itu cintailah ia.’ Kemudian Jibril mencintai orang itu dan berkata kepada penghuni langit, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan. Oleh kerana itu cintailah ia.’ Kemudian penghuni langit mencintai orang itu. Selanjutnya kecintaan tersebut diteruskan kepada penghuni bumi.’” 
[Muttafaq alaih] 

Senyuman Terindah 


Ayuh.. Tersenyumlah.. 

Dan yang paling utama itu adalah, mari kita berusaha agar Allah tersenyum dengan kita! 

Kerana kita adalah hamba yang pandai bersyukur. 

“Seutama-utama orang yang mati syahid adalah orang-orang yang berperang di barisan yang paling pertama dengan tidak memalingkan wajah mereka sama sekali hingga terbunuh. Mereka itu akan berguling-guling di kamar-kamar utama di syurga. Rabb-mu tersenyum kepada mereka. Jika Rabb-mu tersenyum kepada seorang hamba di suatu tempat, maka tiada hisab (perhitungan) lagi atasnya.” 
[HR Ahmad, Abu Ya’la dan Thabrani dari Abu Nu’aim bin Hammad] 

Jangan sampai Allah tidak mahu memandang wajah kita kelak! Na’uzubillah.. 

Adakah kita masih lagi berkira-kira dengan Allah? 

“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”  
[QS Ar-Rahman, 55:13]


"determintation"
khir al-imtiaz
27-08-2011

Comments

  1. Subhanalah.. Jazakallah akh atas nukilan ini..
    Tersentak ana.. kerna benar apa yg diungkapkan..
    Sungguh TIDAK BERADAB kita dengan ALLAH.. Malulah kita meminta-minta padanya..sedangkan perintahnya kita lupa.. i feel shame with myself.. :(
    Tidaklah dgn terhenti disini perjuangan kita... kerna ALLAH sentiasa ada..
    Jazakallahu khair sekali lagi..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?