Hubungkan Kembali Keterikatan Kita dengan Allah

Stress. Itulah suasana yang mungkin sedang menyelubungi kebanyakan ikhwah pada saat ini. Di saat tanggungjawab dakwah semakin besar dan berat. Ujian menimpa dari segi penurunan prestasi akademik, maka satu proses reformasi harus dilakukan segera. Pastinya memerlukan usaha dan masa yang bukan sedikit. Ditambah lagi dengan fitnah itu dan ini menghentam dari kanan dan kiri. Ada ikhwah mahupun akhwat yang dihimpit dengan masalah kewangan, ada yang baru mengalami kemalangan, dan macam-macam lagi ujian yang diberikan kepada kita. 

Secara langsung atau tidak langsung, mungkin ada di antara kita yang sudah mulai merasakan hambarnya nikmat tarbiyah. Tawarnya nikmat ukhuwwah. 

Bangkit wahai ikhwahku! 

Itu semua bayangan dari syaitan yang sememangnya sentiasa mencari ruang dan peluang untuk merosakkan, menjatuhkan serta menjerumuskan kita ke dalam jurang kebinasaan. 

Ikhlaskan kembali niat antum. Tanyakan kembali kepada diri antum. Kenapa antum berdakwah? Kenapa antum masih berada di dalam tarbiyah? Kenapa antum berukhuwah? Kenapa antum belajar? 

Tidak kisahlah apa jawapannya wahai ikhwah ku, tapi pastikanlah ianya menemui satu titik yang menjadi paksi segala kebahagiaan dan ketenangan. Iaitu semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. 


Paksikan segala rasa cinta kita atas keimanan. Paksikan segala rasa rindu kita atas keimanan. Paksikan pengharapan kita atas keimanan. Dan paksikanlah segala rasa takut dan sedih kita atas keimanan. Insya-Allah, kita akan merasai nikmat yang sangat besar kelak. 

Saya kongsikan satu cerita yang saya kutip dari buku, Dalam Dekapan Ukhuwwah karangan Salim A. Fillah. Satu kisah yang mana, insya-Allah, ada manfaat untuk diri kita masing-masing. 

+++ 

Seharusnya dia boleh berehat di malam hari. Kerana siang demi siang hari terasa baginya sangat panjang, melelahkan, dan menyesakkan dada. Dia berulang alik dari satu penjuru ke satu penjuru di kota Mekah. Semata-mata untuk berbisik dan menyeru. Seorang demi seorang, kabilah demi kabilah, demi mengajak mereka mengimani risalah yang telah diamanahkan kepadanya. 

Kadang-kadang kita boleh nampak dia di bukit Safa, membacakan ayat-ayat Allah yang dibalas dengan caci maki dan hamun serta hinaan yang menjijikkan dari pakciknya serta kaumnya sendiri. 

Kadang-kadang dia harus meninggalkan satu kaum dalam keadaan dilempari batu dan dan kotoran sambil diteriaki gila, dukun, ahli sihir dan penyair hingusan. 

Kadang-kadang dia bersujud di hadapan Kaabah, lalu ada sahaja insan-insan yang akan menuangkan setimba isi perut unta ke kepalanya, atau menjeratkan selendang ke lehernya ketika dia rukuk. 

Hinggakan kadang-kadang dia terpaksa menangis dan menggumamkan ketidakberdayaan dia melihat sahabat-sahabat dia yang lemah di seksa bahkan dibunuh dihadapan matanya dengan kejam dan keji. 

Pastinya dia sangat letih. Baik jiwa mahupun raga. Lahir mahupun batin. Luar mahupun dalam. 

Memang sepatutnya dia memperoleh istirehat di malam hari, meskipun kerisauan atau kebimbangan akan tetap menghantuinya. 

Di saat Khadijah membentangkan selimut untuknya dan dia mulai terlelap dalam kehangatan, sebuah panggilan dari langit memaksanya untuk terjaga. 

“Hai orang yang berselimut. Bangunlah di malam hari kecuali sedikit. Separuhnya, atau kurangilah separuh itu sedikit. Atau tambahlah atasnya, dan bacalah al-Qur’an dengan tartil" 
[QS al-Muzammil, 73:1-4] 

Kerana apa? 

“Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat” 
[QS al-Muzammil, 73:5] 

Seberat apa? 

“Kalau sekiranya Kami menurunkan al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah berantakan disebabkan takut kepada Allah.” 
[QS al-Hasyr, 59:21] 

Itulah dia kalimat yang berat. Itulah dia beban yang berat. 

Beban yang gunung-gunung sendiri tak sanggup untuk menanggungnya. Beban yang dihindari oleh langit dan bumi. 


Dan Muhammad harus menerimanya. Dia harus menanggungnya. Maka hatinya mestilah kukuh dari gunung yang ada. Dan jiwanya menstilah lebih perkasa daripada bumi. Dadanya mestilah lebih lapang daripada lautan. Kerana itulah dia mesti bangun pada waktu malam untuk menghubungkan diri dia dengan sumber kekuatan yang Maha Perkasa. 

Maka Rasulullah SAW pun bangun dan solat. 

+++ 

Masya-Allah. Seorang nabi yang kedudukannya di sisi Allah itu sangat dekat pun diuji dengan sebegitu rupa. Inikan kita, yang kalau dilihat dari segi peribadinya memang sangat penuh dengan noda dan dosa. 

Jika Rasulullah SAW kembali kepada Allah apabila terasa berat akan beban dan ujian yang dia terima, diri kita pula bagaimana?

Saad bin Abi Waqqash berkata, 

"Aku bertanya kepada Rasulullah saw., 'Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat ujian dan cobaannya?' 

Nabi saw. menjawab, 

'Para nabi, kemudian yang menyerupai mereka, dan yang menyerupai mereka. Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau agamanya tipis (lemah), dia diuji sesuai dengan itu (ringan); dan bila imannya kokoh, dia diuji sesuai itu (keras). Seorang diuji terus-menerus sehingga dia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa'." 
[HR Bukhari]

Maka akhi, kita pasti akan diuji. Terutamanya apabila kita mengatakan kita mahu menjadi insan yang lebih baik dari semalam. 


Ana suka mengingatkan kepada diri kita sama-sama. Ujian itu datangnya dari Allah. Sebesar mana atau sekecil manapun. Ianya tetap dari Allah. Diberikan kepada kita agar kita kembali kepada Dia. Bukan malah semakin menjauh! 

“Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangna harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” 
[QS al-Baqarah, 2:155] 

Siapa itu orang-orang yang sabar? 

“(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “inna lillahi wa inna ilaihi roji’un” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya lah kami kembali).” 
[QS al-Baqarah, 2:156] 

Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya lah kami kembali.. 

Inilah sikap orang beriman.. 

Sama-sama kita bersabar atas apa yang berlaku. 

Ikhlaskan niat kita, bina kembali mutabaah kita, tingkatkan kualiti mutabaah kita, dan sama-sama dalam dekapan ukhuwwah kita meningkatkan kualiti mutabaah ikhwah-ikhwah kita yang lain. 

Insya-Allah.. 

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (bersama) orang-orang yang sabar.” 
[QS Al-Baqarah, 2:153] 

Allah bersama orang-orang yang sabar.



"inginkan semangat dulu"
khir al-imtiaz
1536 hours
17-Jun-2011

Comments

  1. Allahukbar..
    terima kasih ya akh..

    Semoga Allah menguatkan kita dalam perjuangan ini..

    ReplyDelete
  2. subhanAllah..shukran krn share
    rabbana ma3aki..inshaAllah

    ReplyDelete
  3. subhanAllah...moga ia dpt memberi manfaat buat kita...insyaAllah...

    ReplyDelete
  4. subhanallah...tma ksh atas peringatan & semangat yg tlh anta semaikan disini..sgt2 berguna & b'syukur dpt bce article ni..trase kerdil sgt diri ni utk stress dlm ujian Allah.sdgkan Muhammad Rasulullah pn diuji lbh berat lg..syukran krne mngingatkan sy ttg ini.;)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rasa Semakin Jauh dari Allah?

Mereka yang Mengabaikan Al-Quran

Merasakan Hidup Tidak Bermakna?